DidiAndFren Publish time 27-4-2024 07:32 PM

Genting Malaysia nafi terbabit projek kasino di Forest City

KUALA LUMPUR: Genting Malaysia Berhad (Genting Malaysia) menafikan dakwaan syarikat itu terbabit dalam projek kasino yang didakwa akan dibuka di Forest City di Johor.

Dalam satu kenyataan, syarikat itu menegaskan, laporan diterbitkan agensi berita asing itu memuatkan dakwaan bahawa Genting Malaysia dan Timbalan Pengerusi merangkap Ketua Eksekutifnya, Tan Sri Lim Kok Thay terlibat dalam perbincangan mengenai pembukaan kasino di Johor.

Kelmarin, Berjaya Corporation Berhad juga menolak laporan yang mendakwa pengasasnya, Tan Sri Vincent Tan terlibat dalam perbincangan mengenai kasino.

Menurut syarikat berkenaan, artikel yang dikeluarkan Bloomberg LP bertajuk 'Malaysia In Talks With Tycoons On Casino To Revive $100 Billion Forest City' dan artikel bertajuk 'Malaysia Mulls Casino At Forest City' oleh The Edge Singapore, telah memasukkan maklumat tidak tepat.

Genting Malaysia seperti dilaporkan New Straits Times, menegaskan baik syarikat mahupun Kok Thay, tidak terlibat dalam sebarang perbincangan atau mesyuarat sedemikian dan dakwaan yang dibuat adalah tidak benar.

"Kami meminta semua pihak untuk segera menghentikan penyebaran maklumat palsu terbabit, menarik balik dakwaan yang tidak benar dan memberikan penjelasan kepada orang ramai untuk mengelakkan kekeliruan yang lebih lanjut.

"Genting Malaysia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan lanjut yang diperlukan bagi melindungi kepentingan syarikat dan pemegang sahamnya," menurut kenyataan berkenaan.

Penjelasan itu menyusul selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin menafikan laporan bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan lesen kasino untuk menghidupkan semula Forest City di Johor, menegaskan laporan media itu yang memetik sumber sebagai tidak betul dan bohong.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi juga mengesahkan bahawa tiada kasino akan dibenarkan dibuka atau beroperasi di negeri itu.

Sebelum ini, Bloomberg yang memetik sumber, melaporkan bahawa Perdana Menteri bertemu dengan Tan dan Kok Thay untuk membincangkan rancangan pembukaan kasino di Forest City.

https://assets.bharian.com.my/images/articles/gentingmalaysia_1714213598.jpg
Pages: [1]
View full version: Genting Malaysia nafi terbabit projek kasino di Forest City


ADVERTISEMENT