DidiAndFren Publish time 27-4-2024 07:39 PM

Akta 750 sah, terpakai walaupun ditolak DUN Terengganu

KUALA LUMPUR: Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) adalah sah dan terpakai di seluruh negara termasuk Terengganu walaupun Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu memutuskan menolaknya.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini berkata, akta yang mengehadkan sempadan maritim negeri sehingga tiga batu nautika iaitu 5.5 kilometer dari kawasan pantai itu hanya terbatal jika ia diisytiharkan sebaliknya oleh mahkamah.

"Ingin ditegaskan, adalah menjadi pendirian Kerajaan Persekutuan bahawa Akta 750 telah dibuat dan diluluskan oleh Parlimen secara sah di sisi Perlembagaan Persekutuan.

"Walaupun DUN Terengganu telah membuat keputusan menolak pemakaiannya, namun ia masih sah dan terpakai di seluruh Malaysia termasuk di negeri Terengganu, melainkan ia diisytiharkan sebaliknya oleh mahkamah," katanya.

Pejabat Perdana Menteri berkata, tujuan Akta 750 digubal adalah bagi mengadakan peruntukan mengenai laut wilayah Malaysia dan memelihara keutuhan sempadan wilayah.

"Akta terbabit juga bagi melindungi hak kedaulatan Malaysia dan menjamin keutuhan keselamatan serta integriti wilayah.

"Penggubalan Akta 750 juga memenuhi obligasi Malaysia di bawah Konvensyen Undang-Undang Laut 1982 (United Nations Convention on the Law of the Sea (UNCLOS)," katanya.

Pejabat Perdana Menteri turut menegaskan, adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan untuk memastikan hak kedaulatan Malaysia termasuk perairan negara sentiasa dilindungi.

Tambahnya, selaras dengan nilai Malaysia MADANI, Kerajaan Persekutuan juga sentiasa memberikan peruntukan pembangunan kepada semua negeri termasuk Terengganu.

Khamis lalu, pada sidang DUN Terengganu, Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata negeri itu menolak Akta Laut Wilayah 2012 kerana ia membataskan hak negeri menerokai sumber dan hasil melalui sempadan maritim negeri sekadar tiga batu nautika dari garis air surut wilayah Terengganu.

Ahmad Samsuri dilaporkan berkata, DUN Terengganu meluluskan usul menolak Akta Laut Wilayah 2012 kerana dilihat tidak menepati syarat seperti mana yang ditetapkan di dalam Perkara 2 (b) dan Perkara 38 (4) Perlembagaan Persekutuan.

https://assets.bharian.com.my/images/articles/pmoooo_1714206307.jpg
Pages: [1]
View full version: Akta 750 sah, terpakai walaupun ditolak DUN Terengganu


ADVERTISEMENT