DidiAndFren Publish time 27-4-2024 09:57 PM

Pernah ikat perut, jamah nasi dengan kuah... Pemuda berani berhenti kerja makan gaji, buka bisnes aiskrim ‘homemade’

BERSUSAH-SUSAH dahulu, bersenang-senang kemudian.

Ketika dirasakan diri dihimpit kegagalan, usaha keras dan iltizam merupakan kunci untuk kehidupan yang lebih baik.

Begitulah kisah inspirasi seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Maleek, 28, apabila dia berani untuk bertukar kerjaya menjadi seorang penjual aiskrim.

Melalui satu perkongsian tular di laman X, Maleek berkata pada mulanya dia berkerja sebagai seorang pembantu gerai di sebuah medan selera sebelum menyahut cabaran untuk bergelar usahawan pada usianya 25 tahun.

Menurut Maleek, pekerjaannya pada waktu itu menyekat kemajuannya dalam kerjaya atas beberapa faktor.

"Keputusan untuk meninggalkan tempat kerja (gerai) ni merupakan pilihan terbaik sepanjang hidup aku. Ketika bekerja di situ selama sembilan bulan, boleh dikatakan hidup aku terabai.

"Antaranya waktu raya Aidilfitri dan Aidiladha aku tak dapat cuti, aku dipanggil untuk bekerja ketika yang lain bersama keluarga.

"Itu belum masuk prestasi medan selera tu. Sepanjang masa rugi dan ramai peniaga dengki sesama sendiri, siap hantar santau. Lebih mendukacitakan apabila wujud pula politik antara staf, sampai sanggup menipu.

"Saya juga terpaksa ikat perut ketika di sini, makan nasi dengan kuah, harga RM2.50 sepinggan. Nak berjimat punya pasal, saya hanya makan dua kali sehari dengan jumlah perbelanjaan RM5," kata Maleek mengenang masa susahnya.

Selain itu Maleek turut membuat pekerjaan sambilan bagi menyara kehidupannya yang sekadar kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

"Dulu aku kerja part-time dekat pasar raya tolak troli ke tempat pengumpulan, satu troli yang aku tolak masuk dapat 50 sen. Sehari aku cuba cari 10 troli supaya boleh dapat RM5, cukup untuk makan dan minum aku.

"Kalau hujung minggu waktu ramai orang boleh dapat RM8. Lebihan duit tu aku simpan dalam tabung simpanan, ini namanya kemahiran kelangsungan hidup.

"Alhamdulillah sekarang aku berniaga aiskrim dan aku dapat rasakan kehidupan yang lebih berkualiti. Inilah tempat yang sesuai dengan jiwa aku sebenarnya," ujar Maleek.

Bercerita lanjut kepada mStar, Maleeq berkata perniagaan aiskrim yang dinamakan Scoopa Doopa itu pada awalnya adalah milik abangnya.

"Abang saya bertukar tumpuan ke perniagaan lain, maka saya pun ambil alih bisnes yang ditinggalkan. Kalau nak tahu, saya juga salah seorang pelabur ketika perniagaan aiskrim abang dimulakan.

"Sedikit penceritaan tentang perniagaan ni, aiskrim tu semua saya buat sendiri. Saya ambil resipi daripada abang dan saya ubah suai ikut kesesuaian.

"Setakat hari ni saya ada 15 perasa dan akan terus ditambah daripada semasa ke semasa. Antara perasa kegemaran pelanggan saya adalah vanila, coklat dan strawberi," jelasnya.

Maleek seterusnya berkata dia berasa bebas untuk mengejar apa yang diminati sepanjang empat tahun bergelar penjual aiskrim sepenuh masa,

"Saya tak boleh bekerja dengan orang sebab saya suka berinovasi. Apabila kita bekerja dengan orang susah sikit nak cambahkan idea yang kita ada tu. Keusahawanan adalah jalan yang lebih mesra dengan saya.

"Kalau nak tahu, saya ni bukanlah minat berniaga pun tapi perkara yang menyebabkan saya berpotensi adalah kebolehan saya untuk bersembang dengan sesiapa sahaja.

"Dengan cara itu saya mampu tarik pelanggan dan kembangkan empayar aiskrim saya, selain tidak melupakan kualiti dan cita rasa aiskrim yang mantap," kata Maleek menutup bicara.

https://www.mstar.com.my/image/830/553?url=https%3A%2F%2Fapicms.mstar.com.my%2Fuploads%2Fimages%2F2024%2F04%2F27%2F2664982.jpeg

DidiAndFren Publish time 27-4-2024 09:57 PM

https://apicms.mstar.com.my/uploads/images/2024/04/27/2664990.jpeg

DidiAndFren Publish time 27-4-2024 09:57 PM

https://apicms.mstar.com.my/uploads/images/2024/04/27/2664991.jpeg

DidiAndFren Publish time 27-4-2024 09:57 PM

https://apicms.mstar.com.my/uploads/images/2024/04/27/2664994.jpeg

monsterwife Publish time 28-4-2024 12:55 AM

Geli tengok muka tok danish :I
Pages: [1]
View full version: Pernah ikat perut, jamah nasi dengan kuah... Pemuda berani berhenti kerja makan gaji, buka bisnes aiskrim ‘homemade’


ADVERTISEMENT