mattzzx Publish time 29-4-2024 02:52 PM

Polis bongkar makmal dadah, 13 ditahan termasuk 'tukang masak' dadah

https://assets.bharian.com.my/images/articles/SIDANG_MEDIA_NARKOTIK_IPD_KAJANG_1714371277.jpg
Khaw Kok Chin (empat dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan dadah serta rampasan lain hasil serbuan yang menumpaskan sindiket pemprosesan dan pengedaran bahan itu di IPD Kajang. - NSTP/HAZREEN MOHAMAD

KAJANG: Polis membongkar sebuah makmal memproses dadah dan menahan 13 ahli satu sindiket pengedaran bahan terlarang itu dalam tiga serbuan serentak sekitar Lembah Klang, Jumaat lalu.

Menerusi serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman itu, polis merampas 312.7 kilogram (kg) dadah pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM1.48 juta.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin, berkata semua suspek membabitkan warga tempatan terdiri lapan lelaki dan lima wanita berusia antara 21 hingga 51 tahun

Beliau berkata, polis pada mulanya membuat pemeriksaan pada sebuah kereta jenis Honda City dipandu seorang lelaki di tepi jalan utama Lebuhraya Cheras-Kajang yang mana polis menemui 1,200 bungkusan disyaki dadah heroin seberat 2.441kg.


"Polis seterusnya menyerbu sebuah rumah teres di Semenyih dan menjumpai 16 bungkusan plastik disyaki berisi dadah jenis heroin seberat 7.31kg, satu bungkusan berisi bahan kimia disyaki dadah seberat 4.58kg serta lapan botol kaca bahan kimia disyaki dadah seberat 13.64kg.

"Di rumah itu, kita turut menemui pelbagai bahan kimia serta peralatan untuk memproses dadah termasuk dua ketuhar besar. Siasatan mendapati rumah berkenaan digunakan sebagai makmal memproses dadah.

"Serbuan ketiga dijalankan di sebuah unit kediaman sebuah kondominium di KL Sentral di Kuala Lumpur yang dipercayai disewa untuk dijadikan stor penyimpanan dadah.

"Di situ, kita merampas 26.25kg dadah jenis syabu, 55.33kg heroin dan 4.2kg ganja," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) JSJN Bukit Aman, Datuk Zainuddin Ahmad dan Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan.

Kok Chin berkata, siasatan mendapati sindiket ini aktif memproses dan mengedar dadah sejak tahun lalu dan memasarkan bahan itu kepada tokan serta pengedar jalanan yang dikenali di sekitar Lembah Klang.

Sindiket didalangi 'tukang masak' dadah

Tambah beliau, siasatan awal mendapati sindiket ini didalangi lelaki berusia 24 tahun yang juga berperanan sebagai 'tukang masak' dadah.

"Siasatan mendapati dalang utama mempelajari cara memasak dadah secara dalam talian, manakala isterinya bersama empat wanita lain dipercayai menguruskan kewangan dan pemasaran dadah sindiket ini.

"Suspek yang lain turut mempunyai peranan masing-masing antaranya 'runner' (penghantar), pengedar, koordinator, penjaga stor dan sebagainya," katanya memaklumkan sindiket ini turut menggunakan khidmat kurier untuk menghantar bekalan dadah dipesan pelanggan.

Menerusi tangkapan ini, beliau berkata polis menyita pelbagai aset serta wang tunai terdiri sembilan kereta, sebuah lori dan tiga motosikal, wang tunai RM213,000, 26 barang kemas pelbagai jenis dengan jumlah sitaan dianggarkan RM1.08 juta.

"Semakan mendapati dua premis kediaman digunakan suspek disewa, masing-masing dengan kadar sewa RM2,000 (rumah teres) dan RM3,200 (unit kondominium)," katanya.

Tambah Kok Chin, ujian saringan air kencing dijalankan ke atas semua suspek mendapati dua daripada positif dadah jenis delta 9-tetrahidrokanibinol (THC), manakala 11 yang lain negatif.

Semakan rekod jenayah pula mendapati lima daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah.

Kok Chin berkata polis sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan sindiket lain yang mempunyai kaitan dengan kegiatan ini.

Semua suspek kini direman enam hari bermula kelmarin hingga 3 Mei ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2024/04/1240570/polis-bongkar-makmal-dadah-13-ditahan-termasuk-tukang-masak-dadah
Pages: [1]
View full version: Polis bongkar makmal dadah, 13 ditahan termasuk 'tukang masak' dadah


ADVERTISEMENT