mattzzx Publish time 30-4-2024 03:21 PM

Pesara PTG dituduh tipu pecah lot rizab Melayu

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/TIPUTANAH1_1714452578.jpg
ROSLI mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas pertuduhan menipu Lembaga Tanah Ladang Negeri Perak sehingga menyebabkan pemecahan lot Tanah Rizab Melayu membabitkan kawasan seluas kira-kira 649.2 hektar, pada Januari 2012. FOTO BERNAMA

Ipoh: Pesara kerajaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan menipu jabatan kerajaan negeri Perak hingga menyebabkan pemecahan lot tanah rizab Melayu seluas 649.2 hektar, 12 tahun lalu.

Rosli Che Mohamed, 64, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaa itu dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ibrahim Osman.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh ketika kesalahan dilakukan adalah sebagai Timbalan Pendaftar Hakmilik di Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri Perak didapati menipu Lembaga Tanah Ladang Negeri Perak untuk mempercayai bahawa tanah dengan nombor hak milik PN 174770-174772, No. Lot PT 17527-17529, Mukim Sitiawan, Manjung adalah bukan tanah rizab Melayu melalui Borang Pembetulan Data Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Perak bertarikh 25 Mac 2011.

Perbuatan itu kemudiannya mendorong Lembaga Tanah Ladang Negeri Perak untuk meluluskan Permohonan Pecah Sempadan Tanah bagi hak milik PN 174772, Lot 17527 kepada 317 Plot seluas kira-kira 649.2 hektar Mukim Sitiawan kepada Nadi Agrobusiness Sdn Bhd.


Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di Pejabat PTG Perak, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, di sini pada 4 Januari 2012.

Jika sabit kesalahan, Seksyen 418 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor bersama Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Sharul Azuan Ghazali manakala tertuduh diwakili peguam, Muhamad Syahrul Nizam Mohd Rabi.

Maziyah menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dikehendaki melapor diri setiap bulan di Pejabat SPRM Perak.

Muhamad Syahrul Nizam bagaimanapun mohon jumlah itu diringankan kepada RM3,000, berikutan tertuduh sudah bersara, menanggung seorang anak, menghidap penyakit jantung yang memerlukan pemeriksaan berkala.setiap enam bulan di Institut Jantung Negara (IJN) selain memberi kerjasama amat baik sepanjang proses mengambil keterangan dan siasatan dijalankan.

Hakim kemudiannya membenarkan tertuduh dijamin RM6,000 dengan seorang penjamin serta membenarkan syarat tambahan seperti diminta oleh pihak pendakwaan.

Mahkamah turut menetapkan tarikh 30 Mei depan sebagai tarikh untuk serahan dokumen.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/04/1085312/pesara-ptg-dituduh-tipu-pecah-lot-rizab-melayu
Pages: [1]
View full version: Pesara PTG dituduh tipu pecah lot rizab Melayu


ADVERTISEMENT