Vellfire Publish time 1-5-2024 09:55 PM

Pindaan Ordinan Buruh Sarawak dijangka dibentang pada sidang Parlimen akan datang

https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20240501/kch-ub010524-hh-slogala-p1.jpg

Gerawat (tengah) menerima cenderamata kenang-kenangan daripada Zaidi (dua kiri) sambil disaksikan yang lain.
KUCHING: Pindaan Ordinan Buruh Sarawak (SLO) dijangka akan dibentang pada sidang Parlimen akan datang untuk diluluskan, menurut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala.
Beliau berkata, pindaan terhadap peruntukan undang-undang Ordinan Buruh (Sarawak bab 76) telah dimuktamadkan serta diserahkan kepada Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan selanjutnya dihantar ke Jabatan Peguam Negara.
Menurutnya, cadangan-cadangan pindaan kepada SLO sedia ada adalah selaras dengan standard antarabangsa.
“Terdapat pelbagai pindaan dibuat untuk manfaat pekerja di Sarawak. Ini termasuklah masa kerja disingkatkan daripada 48 jam kepada 45 jam, cuti paterniti ditingkatkan kepada tujuh hari dan pindaan cuti bersalin daripada 60 hari kepada 98 hari,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selesai merasmikan Majlis Sambutan Hari Pekerja 2024 di Hotel Imperial di sini, hari ini.
Jelas beliau, SLO yang dibentang dan diluluskan di Parlimen tidak perlu dikemukakan semula di Dewan Undangan Sarawak.
“SLO merupakan undang-undang persekutuan yang hanya terpakai di Sarawak, namun sebarang pindaan kepada SLO perlu diluluskan oleh Parlimen dan bukannya Dewan Undangan Sarawak.
“Hal ini bermakna Menteri Sumber Manusia akan menentukan tarikh berkuat kuasa undang-undang termasuk pindaan tersebut,” katanya.
Terdahulu ketika berucap pada majlis tersebut Gerawat berkata kerajaan Sarawak telah bersetuju untuk meminda SLO bagi memastikan ia selari dengan Konvensyen Buruh Antarabangsa dan juga pindaan terbaharu Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) yang diluluskan di Parlimen pada Mac 2022.
Akta ini katanya, telah berkuatkuasa pada 1 Januari 2023 yang lalu untuk manfaat kedua-dua pihak antara majikan dan juga pekerja.
Dalam perkembangan lain, Gerawat ketika berucap semasa majlis berkata kerajaan Sarawak melalui Unit Pengurusan Imigresen dan Buruh (ILMU), Jabatan Premier Sarawak sedang membangunkan sistem holistik dan komprehensif iaitu sistem Foreign Workers Transformation Approach (FWTA) untuk menambahbaik proses pengambilan pekerja asing di Sarawak.
Menurutnya, sistem FWTA bakal menjadi saluran utama majikan tempatan mengiklankan sebarang kekosongan jawatan di syarikat mereka dan memberi peluang kepada pencari kerja tempatan memohon jawatan kosong ini di Sarawak.
Matlamat sistem FWTA katanya, adalah untuk menambah baik masa pemprosesan dan dalam mengambil/membawa pekerja asing ke Sarawak.
“Kita mahu mempunyai sistem yang sangat cekap untuk memastikan kita mengawal selia pengambilan pekerja asing dengan betul di negeri ini.
“Sudah tentu kita akan memastikan bahawa ia (pengambilan) dilaksanakan hanya selepas ketiadaan bakat atau pekerja tempatan sedia ada, barulah kita akan membenarkan pekerja asing masuk.
“Setiap negara mempunyai keperluan pekerja asing. Tetapi ini tidak akan mengorbankan keutamaan dan kepentingan pekerja tempatan Sarawak mahupun Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Majlis Sambutan Hari Pekerja 2024 peringkat Sarawak yang berlangsung hari ini merupakan anjuran Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bahagian Sarawak bersama Kesatuan Sekerja Gabungan MTUC.
Bertemakan Pekerja Kesuma Bangsa, majlis berlangsung meriah dengan kehadiran ahli-ahli jawatankuasa MTUC bahagian Sarawak, pengarah, timbalan pengarah dan ketua bahagian, serta kepimpinan Kesatuan Sekerja Gabungan MTUC dan ahli-ahli Kesatuan Sekerja.
Hadir sama, Pengerusi MTUC Sarawak Zaidi Nasar; Setiausaha Agung MTUC Pusat Kamarul Baharin Mansor; Setiausaha MTUC Bahagian Sarawak Chung Fui San dan Timbalan Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Sarawak Nizar Zakaria.


https://www.utusanborneo.com.my/2024/05/01/pindaan-ordinan-buruh-sarawak-dijangka-dibentang-pada-sidang-parlimen-akan-datang
Pages: [1]
View full version: Pindaan Ordinan Buruh Sarawak dijangka dibentang pada sidang Parlimen akan datang


ADVERTISEMENT