mattzzx Publish time 2-5-2024 02:21 PM

Sebat di khalayak ramai seiring maqasid syariah mengikut budi bicara hakim

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/9hmklil1x_1714621026.jpg
DR Muhammad Khalil Abdul Hadi. FOTO Arkib NSTP.

Kuala Terengganu: Pelaksanaan hukuman sebat di tempat awam yang sedang dalam pertimbangan kerajaan negeri bukan tindakan semborono.

Sebaliknya, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pihaknya terlebih dahulu merujuk pihak yang lebih arif dan pakar dalam bidang berkenaan.

Beliau berkata, kerajaan negeri berusaha semaksimum mungkin memperkasakan agenda pelaksanaan syariah di Terengganu antaranya meluluskan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 dengan memaksimumkan keseluruhan hukuman jenayah syariah kepada tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam kali sebatan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) penggal yang lalu.

"Kenyataan saya itu sebenarnya bukan saya buat semborono tapi sudah merujuk kepada pihak yang berkenaan (dan) dalam konteks ini mereka yangdalam bidang mahkamah syariah itu sendiri.


"Dalam konteks Enakmen Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu), ia memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan enam kali sebatan bagi kesalahan syariah. Itulah had yang diizinkan oleh Perlembagaan Persekutuan kepada negeri " katanya ketika dihubungi.

Muhammad Khalil berkata, pelaksanaan hukuman sebat di tempat awam bukan bertujuan untuk menjatuhkan maruah pesalah semata-mata sebaliknya ia bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat.

"Di sisi syarak, kita perlu melihat kepada maqasid syariah iaitu tujuan pelaksanaan satu-satu hukuman (dan) dalam konteks hukuman sebat di khalayak ramai, tujuannya bukan sahaja untuk menghukum orang yang bersalah sebagai satu kafarah di atas dunia tetapi sebagai iktibar kepada masyarakat supaya tidak melakukan satu-satu perbuatan jenayah.

"Jika diikutkan apa yang dilaksanakan sekarang ini iaitu di dalam penjara mungkin sudah memadai kerana ia disaksikan oleh sebilangan saksi tetapi jika dilaksanakan di khalayak ramai, maka ia lebih baik bagi menyedarkan masyarakat supaya menjauhi maksiat dan kemungkaran.

"Soal ia memalukan pesalah, ia perlu dipertimbangkan dengan maslahah yang lebih besar iaitu menggerunkan masyarakat supaya tidak melakukan perbuatan terkutuk," katanya.

Bagaimanapun, katanya lagi, pelaksanaannya tetap mengikut budi bicara hakim kerana setiap pesalah berbeza antara satu sama lain.

"Sebagai contoh, bagi pesalah kali kedua mungkin boleh dipertimbangkan pelaksanaannya di khalayak ramai," katanya.

Terdahulu, kerajaan negeri sedang mempertimbangkan pelaksanaan hukuman sebat bagi pesalah syariah di khalayak ramai atau tempat awam seperti kawasan masjid atau sebagainya.

Ia menimbulkan pelbagai reaksi termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said yang dilaporkan berkata, tiada sebarang perbincangan di antara Kerajaan Negeri Terengganu dan Kerajaan Persekutuan berhubung cadangan pelaksanaan hukuman sebat bagi kesalahan syariah di khalayak atau tempat awam.

Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na'im Mokhtar dilaporkan berkata, sebarang cadangan untuk melaksanakan hukuman sebat di khalayak ramai perlu mempertimbangkan keperluan menjaga maruah pesalah

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/05/1085912/sebat-di-khalayak-ramai-seiring-maqasid-syariah-mengikut-budi-bicara-hakim
Pages: [1]
View full version: Sebat di khalayak ramai seiring maqasid syariah mengikut budi bicara hakim


ADVERTISEMENT