CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 6004|Reply: 0

[Perlis] 6 motosikal rosak dihempap batu di Gua Kelam

[Copy link]
Post time 1-5-2024 06:20 PM | Show all posts |Read mode
6 motosikal rosak dihempap batu di Gua Kelam


Aizat Sharif
am@hmetro.com.my



Kejadian proses luluhawa di Gua Kelam menyebabkan berlaku runtuhan batu yang merosakkan enam motosikal pegunjung yang di parkir di kawasan Gua Kelam, Pekan Kaki Bukit, Padang Besar. FOTO IHSAN ORANG AWAM





Padang Besar: Enam motosikal yang diparkir di kawasan Kompleks Ekopelancongan Gua Kelam, Pekan Kaki Bukit, di sini rosak selepas dihempap batu dalam kejadian runtuhan kecil di kawasan itu tengah hari ini.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 1.30 tengah hari itu bagaimanapun tidak membabitkan kemalangan jiwa.

Pengarah Perhutanan Negeri Perlis, Ag Shaffie Ag Ahmadni berkata, kawasan berkenaan terletak di bawah seliaan Jabatan Perhutanan Negeri Perlis dan lokasi kejadian terletak sekitar 30 meter di sebelah kanan pintu masuk Gua Kelam 1 yang juga adalah tapak parkir motosikal orang awam.

"Kejadian runtuhan kecil batu di kawasan gua itu berlaku dari ketinggian antara 10 hingga 20 meter dipercayai disebabkan kejadian semulajadi akibat proses luluhawa iaitu satu proses penyepaian, pemecahan dan penguraian atau pereputan batuan di kawasan gua itu.

"Dalam kejadian itu, kita mendapati terdapat enam buah motosikal pengunjung yang dihempap batu namun ia tidak membabitkan kecederaan dan kemalangan jiwa.

"Kita percaya ini adalah kejadian kali pertama sejak 10 tahun lalu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, untuk langkah keselamatan, pihaknya sudah pun menutup menutup serta merta buat sementara waktu aktiviti memasuki Gua Kelam 1 sehingga diberitahu kelak.

"Namun begitu, penutupan itu tidak menjejaskan aktiviti lain di Gua Kelam 2 seperti aktiviti mandi manda, pameran galeri serta Rumah Cermin yang terus dibuka kepada pengunjung.

"Sehubungan itu, satu kajian lanjut akan diselaraskan bersama pihak Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) untuk menilai kawasan tebing bukit sekitar kawasan Kompleks Ekopelancongan Gua Kelam," katanya.

Sementera itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Tinjauan di kawasan itu mendapati walaupun Gua Kelam 1 sudah ditutup, orang ramai masih terus berkunjung ke kawasan Gua Kelam 2 sempena cuti Hari Pekerja pada hari ini.



Disiarkan pada: Mei 1, 2024 @ 5:50pm






Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

17-5-2024 02:34 PM GMT+8 , Processed in 0.529583 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list