Siap sedia kedutaan malaysia di jakarta dan konsulat malaysia di sumatera
GEMAS – Mahasiswa yang berasal dari negeri ini mampu memainkan peranan penting dalam memperkenalkan dan menghidupkan amalan adat perpatih dalam kalangan generasi muda.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu Negeri Sembilan, Abd Razak Ab Said berkata, langkah itu amat penting terutamanya dalam memastikan kesinambungan pengamalan adat perpatih di negeri ini untuk masa akan datang.
Menurut Abd Razak, beliau mengalu-alukan penglibatan mahasiswa mengadakan program menonjolkan adat serta budaya masyarakat di negeri ini, sekali gus memberi pendedahan kepada golongan muda mengenai adat perpatih.
“Kita yakin langkah ini akan mampu untuk memartabatkan lagi amalan adat perpatih dalam generasi masa kini dan mereka juga bertanggungjawab dalam memastikan ia terus relevan serta diterima masyarakat pelbagai peringkat umur serta latar belakang,” katanya sempena Program Mahasiswa Menyusur Adat di Felda Pasir Besar, dekat sini, baru-baru ini.
Sementara itu, pengarah program, Nina Sakina Kamaruddin, 22, berkata, program berkenaan merupakan program pertama Persatuan Waris Adat Perpatih, Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang dilaksanakan di luar universiti.
Menurutnya yang juga pelajar tahun tiga Kejuruteraan Awam, persatuan yang ditubuhkan sejak dua tahun itu bertujuan untuk menghimpunkan anak jati Negeri Sembilan dan kini mencatatkan lebih 200 ahli di kalangan mahasiswa.
"Kali ini kita turut membawa mahasiswa negeri lain bagi memperkenalkan mereka keistimewaan adat perpatih dari segi amalan perkahwinan, penganjuran acara, dan makanan.
“Malah, kita juga mengadakan program khidmat bakti ceramah motivasi kepada adik-adik di Felda ini bagi memberikan semangat kepada mereka menjejakkan kaki ke institusi pengajian tinggi (IPT) dan seterusnya turut mempertahankan amalan adat perpatih di negeri ini," katanya.
Adat Perpatih berasal dari tanah Minangkabau, Sumatera, diasaskan oleh seorang pemimpin Minang bernama Sutan Balun yang bergelar Dato' Perpatih Nan Sebatang. Adat ini adalah amalan dan peraturan hidup yang ditentukan bagi masyarakat Minangkabau yang rata-ratanya adalah petani ketika itu. Tidak ada tarikh yang tepat dicatatkan bila adat ini diwujudkan. Tetapi Adat Perpatih telah dibawa ke Semenanjung Tanah Melayu (Semenanjung Malaysia) oleh perantau-perantau Minangkabau pada abad ke 14 Masehi.
Di Malaysia, Adat Perpatih ini masih lagi wujud dan diamalkan oleh masyarakat Melayu di Negeri Sembilan dan sebahagian dari Melaka terutamanya Masjid Tanah. Majoriti mereka adalah keturunan Melayu Minangkabau.
Masyarakat Adat Perpatih terbahagi kepada tiga kumpulan utama iaitu Perut Suku dan Luak. Perut adalah unit sosio-politik yang terkecil di mana anggota sesuatu perut itu adalah berasal daripada moyang (keturunan perempuan) yang sama. Mereka ini sangat rapat dan lazimnya tinggal di sesuatu perkampungan atau kawasan yang sama. Setiap perut mempunyai seorang ketua yang digelar Buapak.Buapak ini dipilih oleh anak-anak buah di dalam sesuatu perut berkenaan. Kumpulan yang kedua ialah suku. Suku dibentuk oleh beberapa perut yang menjadikan keluarga berkenaan semakin besar. Suku diketuai oleh seorang ketua yang digelar Dato' Lembaga. Kumpulan ketiga ialah Luak. Luak adalah unit kawasan pentadbiran dari segi adat di mana ada empat luak utama iaitu Rembau, Sungai Ujung, Johol dan Jelebu. Setiap luak diketuai oleh seorang Undang. Selain daripada empat luak utama ini ada satu lagi luak yang kelima dipanggil Luak Tanah Mengandung. Luak Tanah Mengandung ini adalah terdiri daripada lima luak kecil di Seri Menanti iaitu Luak Inas, Luak Ulu Muar, Luak Gunung Pasir, Luak Terachi dan Luak Jempol. Setiap luak kecil ini ditadbirkan oleh seorang ketua yang bergelar Penghulu Luak.
Adat Perpatih ini diwariskan dari generasi ke generasi melalui kata-kata perbilangan. Ia merangkumi pelbagai aspek kehidupan masyarakat termasuk soal harta pusaka, perlantikan pemimpin, hukum nikah kahwin, amalan bermasyarakat, sistem menghukum mereka yang melanggar adat atau melakukan kesalahan dan pelbagai aspek lagi. Setiap peraturan atau adat itu ada perbilangannya dan setiap peraturan itu ada rasional atau sebab-sebab terjadinya hukum atau adat itu.
Perlantikan pemimpin, misalnya, banyak yang menyamakan sistem Adat Perpatih dengan amalan demokrasi. Contohnya ialah perlantikan Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan di mana bukannya melalui keturunan dari bapa ke anak tetapi adalah melalui pemilihan oleh Undang Luak yang empat iaitu Undang Rembau, Undang Sungai Ujung, Undang Johol dan Undang Jelebu. Empat undang ini akan bermesyuarat untuk melantik salah seorang keturunan dari raja Pagar Ruyung untuk menjadi Yang DiPertuan. Undang Luak pula dilantik oleh Dato'-Dato' Lembaga di luak (daerah) masing-masing. Dato' Lembaga ini pula adalah pemimpin-pemimpin yang dilantik secara muafakat oleh pemimpin-pemimpin keluarga yang digelar Buapak. Oleh itu secara keseluruhannya kuasa melantik pemimpin itu sebenarnya berada di tangan rakyat biasa.Inilah satu sistem Adat Perpatih yang ada persamaan dengan demokrasi.
Dalam amalan Adat Perpatih di Negeri Sembilan, setiap orang ada suku masing-masing. Suku ini dinamakan menurut nama asal kampung nenek moyang masing-masing di tanah Minangkabau. Kesemuanya ada 12 suku iaitu: (1) Tanah Datar, (2) Batu Hampar, (3) Seri Lemak,(4)Anak Melaka,(5)Mungkal,(6)Payakumbuh,(7)Seri Melenggang,(8)Tigo Batu,(9)Tigo Nenek,(10)Anak Aceh,(11)Batu Belang, (12)Biduanda
Suku Biduanda terbahagi kepada 2 bahagian iaitu "Biduanda Di Air" iaitu yang datang dari Sumatera dan "Biduanda Di Darat" iaitu golongan penduduk asal iaitu golongan orang asli yang sedia ada di Negeri Sembilan ketika itu iaitu Semang, Sakai dan Jakun. Suku Biduanda Di Air adalah suku yang layak menjawat jawatan Undang atau Penghulu dalam luak-luak Adat Perpatih. Suku Anak Acheh pula bukan berasal daripada nama kampung di Minangkabau tetapi dipercayai diberi nama menghormati seorang pemimpin agama yang berasal dari Acheh.