Edited by Jenabmurai at 22-1-2015 08:52 AM
SAYU hatinya untuk memberitahu bahawa dia tidak berada di samping anak pertamanya Ummi Umairah, 4, pada hari pertama persekolahan minggu lalu. Bagi Siti Saerah Tarudin, 31, mana-mana ibu juga tentu faham apa yang dilaluinya. Bukan mudah untuk menghadamkan perasaan tersebut. Namun berikutan keputusan yang dibuat atas persetujuan bersama dengan bekas suami dia tahu adalah lebih baik buat masa ini anak-anaknya yang kini terpisah 400 kilometer (km) jauh dari dirinya. Menjelaskan keadaan sebenar, adik kepada penyanyi nombor satu negara Datuk Siti Nurhaliza itu berkata, bukan sebab mementingkan diri dia tidak berada bersama anak-anaknya, semua itu akibat desakan keadaan. Dia tahu melalui pengorbanan itu mampu memberi keselesaan buat anak-anaknya.
Buat masa ini, ketiga-tiga anaknya dijaga oleh bekas suami, Saiful Anuar Ahmad Shafie di Kuantan, Pahang, selepas mereka bercerai pada 27 Oktober 2014. Selain Umairah, Saerah juga mempunyai dua lagi anak iaitu, Ahmad Daiyan, 3, dan Ahmad Aisy, setahun.
“Memang sekarang saya tinggal di Kuala Lumpur tanpa mereka. Tipu kalau tidak rindu, tambah-tambah yang paling kecil mana saya pernah berpisah, sehingga sekarang saya masih bawa bajunya ke mana-mana. “Tiap kali rindu saya akan cium bajunya, malah kerap menelefon mereka untuk bertanyakan khabar,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan hari lahir Siti Nurhaliza di Hotel Ritz Carlton, Kuala Lumpur baru-baru ini. Bukan situasi yang biasa berlaku dalam kalangan mereka yang sudah bercerai, namun kali ini tugas menjaga anak-anak diberikan kepada bekas suami Saerah. Menjelaskan keadaan itu, Saerah merayu supaya tidak dihukum tanpa sebab kerana dia lebih tahu apa yang terbaik buat anak-anaknya. “Memang saya tahu ada yang bertanyakan mengapa saya tidak mengambil alih tugasan untuk menjaga anak-anak. Tetapi dalam keadaan ini saya hanya pentingkan keselesaan anak-anak saya. “Anak sulung saya memang rapat dengan bekas mentua, jadi saya tahu mereka dalam jagaan yang baik bersama keluarga bekas suami,” katanya. Tatkala ada yang sibuk bertanyakan apa yang dilakukan Saerah di ibu kota sehingga sanggup berjauhan dengan anak-anak, kata penyanyi itu, tiada apa lagi impian yang tinggal buat dirinya selain mencari rezeki buat menampung kehidupan dia bersama anak-anak. “Saya perlu mencari rezeki. Di sini saya menjalankan perniagaan pakaian online, tetapi memandangkan keadaan ini masih baru, sukar untuk saya sesuaikan diri. “Sebab itu saya rela anak-anak berjauhan dahulu sebab saya tahu mereka lebih selamat di sana. “Pada waktu sekarang memang saya sudah berpindah sepenuhnya ke Kuala Lumpur, untuk bertemu dengan anak-anak itu memang susah tetapi saya akan pasti menjenguk mereka. “Di sini saya tinggal berdekatan keluarga, jadi orang kata masih baru menapak dan tolong doakan agar semuanya berjalan lancar untuk saya,” katanya.
Berjanji dia tidak akan selama-lamanya berjauhan dengan anak-anak, jelas Saerah, akan tiba masanya dia kembali membesarkan anak-anaknya. Tambahan pula, kata Saerah sehingga ke saat ini hubungan dengan bekas suaminya juga tidak mengalami masalah. “Hubungan saya dengan bekas suami masih baik, malah kami tidak membawa masalah hak penjagaan anak-anak ini ke mana-mana. Secara aman kami membuat keputusan ini. Saya juga faham kesukaran bagi pihak saya jika mahu menjaga anak-anak. “Apa juga yang berlaku mereka adalah anak-anak saya, tentu suatu hari nanti saya mahu mereka berdekatan dengan saya semula,” katanya. Bagi pengikut setia laman Instagram Siti Nurhaliza, pasti ada yang perasan kehadiran Umairah yang kadang kala menghiasi laman sosial milik penyanyi ini. Tidak dinafikan si kecil ini cukup terkenal melalui kepintarannya. Namun tidak sekadar itu, anak kecil yang baru berusia empat tahun ini kata Saerah cukup faham apa yang dilalui ibunya kini. “Memang saya terharu Umairah seawal ini sudah memahami apa yang dilalui saya dan ayahnya. Mungkin ini kemudahan yang diberikan buat saya dalam menghadapi keadaan ini. “Pernah ketika adiknya terlalu rindu dengan saya, dia memujuk adiknya dengan memberitahu, adik jangan risau kakak ada, nanti ibu balik. Itu kata-kata Umairah ketika adiknya menangis mencari saya,” katanya sebak.
|