KUALA LUMPUR - Selepas dua tahun ratu rock negara, Ella melayari alam berumahtangga, akhirnya kakak kepada penyanyi itu, Jojie pula bakal membina rumah tangga pada bulan Jun depan. Jojie atau nama sebenarnya Rozita Aminuddin, 50, bakal mendirikan rumah tangga bersama pilihan hatinya, Syahrizal Ismail, 36, iaitu seorang ahli perniagaan dalam bidang pengurusan acara.
Bagaimanapun, pasangan itu masih belum menetapkan tarikh sebenar majlis pernikahan mereka.
Namun apa yang pasti, majlis tersebut akan dilangsungkan sebelum kedatangan bulan Ramadan yang dijangka jatuh pada tanggal 18 Jun depan. “Saya dan Syah sudah setahun berkenalan. Selepas mengenali hati budi masing-masing dengan mendalam, kami sepakat untuk membawa hubungan ini ke peringkat yang lebih serius.
“Kami tidak mengikat tali pertunangan dan merancang untuk terus berkahwin. Sebab itu, rombongan merisik sudah pun dilakukan oleh pihak keluarga Syah baru-baru ini sebagai adat dan tanda,” ujar Jojie ketika ditemui semasa majlis pelancaran single terbaharu Ella di The Royal Chulan Damansara, Damansara, Petaling Jaya hari ini. - KOSMO!
|