Seiring perkembangan teknologi, radio Internet semakin mendapat perhatian.
Kalau ikutkan ia perkembangan yang bagus buat penyanyi tanah air dan memberi lebih pilihan kepada pendengar.
Sedia maklum persaingan yang kian sengit, pemilik sebuah radio Internet sanggup mendapatkan khidmat perunding profesional bagi mempromosikan stesennya.
Gaji yang ditawarkan boleh tahan lumayan juga.
Bagi membalas kepercayaan yang diberikan, individu berkenaan melakukan kerjanya dengan bersungguh-sungguh sehingga radio itu mula menjadi sebutan ramai.
Malangnya ibarat habis madu sepah dibuang, khidmatnya kini tidak lagi diperlukan.
Lebih malang, gajinya yang sudah lama tertunggak tidak dilunaskan.
Siapa yang boleh tahan sekiranya diperlakukan begitu rupa.
Mulanya dia berunding secara baik tetapi pemilik radio terbabit tidak endah dengan permintaannya.
Bengang dengan sikap tidak bertanggungjawab pemilik radio itu, individu ini merancang mengambil tindakan undang-undang.
Bagi SS perkara ini boleh diselesaikan di luar mahkamah.
Bukan apa, kalau di bawa ke tengah, panjang pula cerita dan pastinya ia menyusahkan semua pihak.
Harap pemilik radio itu sedar kesilapannya dan segera selesaikan perkara ini secara baik. Bukan susah pun nak bayar gaji seperti yang dijanji.
Tak tahulah pula kalau dia spesies cakap tak serupa bikin.
SS: Selalu sangat kerana duit orang bergaduh.