Raline Publish time 8-12-2023 08:27 AM

Miliki ilmu pengetahuan, akhlak & takwa

Miliki ilmu pengetahuan, akhlak & takwa

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/1204rsaddin_1701727268.jpg
ISLAM meletakkan keseluruhan tanggungjawab di bawah satu peranan umum iaitu pengabdian yang sepenuhnya hanya kepada Allah SWT.


Manusia adalah antara makhluk ciptaan Allah SWT yang mempunyai kedudukan yang lebih tinggi berbanding makhluk lain.Allah SWT menyatakan dengan jelas tujuan manusia diciptakan adalah sebagai khalifah di bumi.

Menurut bahasa, kata 'khalafa' dalam bahasa Arab bermaksud ganti, iaitu seseorang yang menggantikan seseorang yang lain, melaksanakan sama ada secara bersama-sama dengan orang yang digantikan atau melaksanakan ketika ketiadaannya.

Sementara menurut istilah pula adalah generasi manusia yang dipilih oleh Allah SWT sebagai pengganti-Nya untuk mentadbir, mengurus dan memakmurkan muka bumi ini dengan menjalankan syariat Allah SWT sama ada di peringkat peribadi, keluarga, masyarakat, negara dan antarabangsa.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi." Mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui."

Nabi SAW turut bersabda yang bermaksud: "Setiap kalian adalah pemimpin dan setiap pemimpin akan dipertanggungjawabkan atas yang dipimpinnya." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Allah SWT telah memberi amanah kepada manusia supaya menjalankan tugas sebagai khalifah-Nya di muka bumi ini. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Adalah Dia yang telah menjadikan engkau khalifah-Nya, pewaris bumi ini, Dia telah meningkatkan darjat sebahagian di antaramu lebih tinggi daripada sebahagian yang lain. Sehingga Dia dapat mengujimu mengenai caramu memperlakukan pemberian-Nya, sesungguhnya Tuhanmu cepat memberi seksaan namun Dia juga Sangat Pengampun dan Maha Penyayang." (Surah al-Anam: 165)

Allah SWT melepaskan manusia di muka bumi yang terbentang luas ini supaya manusia mencari atau menerapkan sifat-sifat yang baik dan buruk menurut pertimbangan yang dianggap baik oleh manusia.

Oleh itu, manusia diberikan kelebihan oleh Allah SWT iaitu nikmat akal berbanding makhluk yang lain. Otak yang diberikan Allah SWT kepada manusia juga adalah instrumen atau kelengkapan yang utama sekali bagi manusia agar dapat menjadi khalifah Allah SWT dengan bijaksana.

Akal manusia timbul yang bersumber atau berpangkal dari otak yang berfungsi membuat suatu pertimbangan dengan cara yang diredai dan selari dengan kehendak Allah SWT.

Paduan akal dan berpandukan pula ajaran Islam yang syumul, maka peranan dan tanggungjawab manusia sebagai khalifah tentunya besar dan berat untuk menyempurnakan tanggungjawab terhadap Allah SWT serta hubungan sesama manusia dan alam sekitar.

Islam telah meletakkan keseluruhan tanggungjawab tersebut di bawah satu peranan umum iaitu pengabdian yang sepenuhnya hanya kepada Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku (Allah)." (Surah al-Zariyat: 56)

Melalui akal yang dibekalkan dan diberikan Allah SWT inilah yang menjadikan manusia sebagai pewaris Allah SWT di muka bumi dan cuba mengatasi cabaran kehidupan yang sentiasa berkembang.

Terdapat beberapa ciri atau tanda manusia sebagai khalifah yang telah dijelaskan di dalam al-Quran melebihi makhluk ciptaan Allah SWT yang lain.

Pertama,memiliki ilmu pengetahuan. Ciri ini adalah paling utama dan menonjol yang dikurniakan kepada manusia sebagai khalifah oleh Allah SWT untuk membuktikan kepada malaikat tentang sebab dan tujuan Nabi Adam AS diciptakan.

Allah SWT telah mengajarkan Nabi Adam AS nama-nama benda yang tidak diketahui oleh malaikat untuk menunjukkan kemuliaan Nabi Adam AS kepada malaikat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan Dia mengajarkan kepada Adam nama-nama (benda-benda) seluruhnya, kemudian mengemukakannya kepada para Malaikat lalu berfirman: "Sebutkanlah kepada-Ku nama benda-benda itu jika kamu memang benar orang-orang yang benar." (Surah al-Baqarah: 31)

Kedua,mempamerkan akhlak mulia dan tinggi. Seseorang ketua perlu mempunyai nilai akhlak dan keperibadian yang tinggi supaya menjadi orang yang mulia antaranya ialah mengambil berat perihal dan keadaan orang di sekeliling.

Akhlak dan adab merupakan cerminan dan refleksi daripada baik atau buruk perangai seseorang. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia." (Riwayat Ahmad)

Soal akhlak dan adab adalah selari dengan tugas dan misi utama pengutusan Nabi SAW untuk membimbing akhlak manusia. Nabi SAW adalah contoh dan ikutan terbaik dalam berakhlak mulia dan tinggi.

Ketiga,memiliki dan mencapai nilai takwa di sisi Allah SWT. Secara mudah, perkataan atau konsep takwa boleh didefinisikan sebagai pengabdian yang menyeluruh seseorang hamba kepada Tuhannya.

Menurut al-Quran, takwa manusia terhadap Allah SWT digerakkan oleh empat faktor asas iaitu takut, harap, sabar dan syukur. Takut terhadap siksa Allah sekiranya melanggar batas-batas yang ditetapkan oleh Allah, sentiasa mengharap rahmat dan nikmat Allah, sabar terhadap ujian serta cabaran daripada Allah dan akhirnya syukur terhadap kurniaan Allah.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal." (Surah al-Hujurat: 13)

Demikianlah, betapa penting direnungkan tujuan Allah SWT memilih manusia sebagai khalifah supaya menjadi manusia yang memiliki hala tuju, prinsip dan nilai-nilai yang baik dalam hidup.

Perlu ditegaskan bahawa pemikiran yang dianut oleh golongan yang menyatakan kehidupan manusia tidak mempunyai matlamat dan tujuan tertentu, adalah salah dan tidak benar.

Penulis Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/2023/12/1037222/miliki-ilmu-pengetahuan-akhlak-takwa

Pages: [1]
View full version: Miliki ilmu pengetahuan, akhlak & takwa


ADVERTISEMENT