Raline Publish time 14-12-2023 07:50 AM

Ghibah dan fitnah mampu merosakkan umat Islam

Ghibah dan fitnah mampu merosakkan umat Islam

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/26nt13palestine1_1702508450.jpg
KONFLIK di Gaza, Palestin menuntut umat Islam bersatu bagi mendepani zionis Israel.


Lidah adalah organ yang dilihat kecil dalam tubuh manusia, namun mampu memberikan kesan yang besar kepada kehidupan seseorang, bahkan kepada kehidupan orang lain.

Setiap perkara dan ciptaan Allah SWT mempunyai fungsi yang tersendiri, bergantung kepada pengguna memanfaatkan untuk tujuan yang baik atau sebaliknya, termasuklah fungsi lidah yang perlu diberi perhatian.

Islam telah mengatur semua aspek kehidupan manusia supaya berada di atas landasan betul dan sejahtera, termasuklah ketetapan aturan berkaitan lidah supaya melazimi berkata baik atau diam dari berkata buruk.

Diam bukanlah bererti tidak berbicara langsung, malah diam dalam erti hanya berbicara jika ada keperluan. Diam juga bukan bermakna seseorang itu kalah, tetapi diam itu menandakan kematangan untuk mengalah.

Menahan diri daripada berbicara atau berkata perkara yang tidak berfaedah adalah antara kemuliaan dalam Islam. Nabi SAW menasihatkan agar orang yang beriman kekal diam jika tidak ada perkara yang baik untuk diperkatakan.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah ia berkata baik atau diam..." (Riwayat al-Bukhari, no.6475 dan Muslim no.47)

Terdapat banyak persengketaan yang wujud hanya kerana lisan yang tidak terjaga. Malah, orang yang sentiasa berbicara tanpa berfikir terlebih dahulu diibaratkan seperti tin kosong yang berbunyi tetapi tiada berguna dan bermanfaat.

Sewajarnya, bagi orang yang beriman menggunakan lidah yang dikurniakan Allah SWT untuk menyampaikan mesej dan info yang bermanfaat dan berusaha tidak digunakan untuk berbicara sesuka hati dan sia-sia.

Seterusnya, memanfaatkan peranan diam sebagai benteng dan perisai bagi lidah manusia daripada mengucapkan perkataan yang sia-sia atau yang tidak bermanfaat sehingga mencetuskan perkara negatif.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Antara kebaikan keislaman seseorang, dia meninggalkan perkara yang tiada kaitan dengannya." (Riwayat al-Tirmizi, no.2317)

Terdapat beberapa bahaya lisan yang dilihat merebak dan membarah dalam kalangan masyarakat dari dahulu hingga kini sama ada melalui percakapan secara langsung atau medium media sosial seperti Facebook, Instagram, Tiktok, WhatsApp, Telegram dan sebagainya.

Pertama,'ghibah'. Ghibah ialah membicarakan aib atau keburukan orang lain berdasarkan kenyataan atau juga disebut mengumpat. Salah satu sebab manusia mengumpat ialah membuatkan diri berasa lebih bagus berbanding orang yang diumpat.

Allah SWT melarang perbuatan ghibah dan menggambarkan pelakunya sebagai pemakan bangkai saudaranya. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, dan jangan pula sesetengah kamu mengumpat yang lain. Sukakah salah seorang kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentu kamu benci memakannya. Takutlah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang." (Surah al-Hujurat 12)

Ibn Kathir menjelaskan ayat di atas bahawa sebagaimana secara fitrahnya seseorang benci memakan daging saudara sendiri, maka bencilah juga ghibah itu sebagaimana yang ditetapkan secara syarak.

Kedua,fitnah atau 'buhtan'. Fitnah bermaksud kekacauan, bencana, cubaan atau penyesatan. Menurut situasi masyarakat pada hari ini, kata fitnah itu memberi maksud berita bohong atau tuduhan yang diada-adakan untuk membinasakan seseorang.

Namun, pengertian fitnah daripada definisi Islam mempunyai maksud lebih luas dan mempunyai persamaan dengan ghibah (mengumpat). Bezanya, ghibah membicarakan keburukan orang lain berdasarkan kenyataan, sedangkan fitnah berunsur pembohongan.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Wahai Rasulullah, apakah ghibah itu? Lalu Rasulullah menjawab: Menyebut sesuatu yang tidak disukai saudaramu semasa ketiadaannya. Kemudian sahabat kembali bertanya, Bagaimana jika apa yang disebutkan itu benar? Rasulullah kemudian menjawab: Sekiranya yang disebutkan itu benar, maka itulah ghibah, tetapi jika hal itu tidak benar, maka engkau telah melakukan buhtan (kebohongan besar)." (Riwayat Muslim, Abu Daud dan al-Tirmidi)

Imam al-Ghazali dalam menjelaskan tentang fitnah menyatakan bahawa fitnah adalah sama ertinya dengan 'namimah' yang bermaksud membesar-besarkan perihal seseorang kepada pendengar lain. Biasanya, dalam proses membesar-besarkan berita itu, terdapat penambahan yang tidak benar atau biasanya manusia yang lemah iman suka menyebar cerita sensasi dengan pembohongan. Oleh sebab itu, namimah terkandung di dalamnya fitnah dan mengumpat. Cuma perbezaan antara keduanya ialah fitnah lebih buruk dosanya daripada mengumpat.

Ketiga,'namimah'. Perbuatan melagakan atau mengadu domba antara dua individu atau kelompok sehingga menimbulkan permusuhan dan saling membenci. Perlakuan ini cenderung menghasut orang lain untuk saling menjatuhkan dan mengakibatkan perpecahan dan pergaduhan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang yang perempuan beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta dan berbuat dosa yang amat nyata." (Surah al-Ahzaab: 58)

Demikianlah, sesuatu yang keluar daripada mulut seseorang sebenarnya menentukan keadaan dan keperibadian dirinya. Sebaiknya, setiap orang perlu berusaha menghalang diri daripada mengeluarkan perkataan buruk atau cuba menyakiti hati orang sekeliling.

Perlu ditegas dan diingatkan bahawa ancaman terhadap orang yang akan menyesal pada hari akhirat kelak apabila pahala kebaikannya boleh 'berpindah milik' kepada orang lain gara-gara tidak menjaga lidah atau lisan.



Penulis Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/2023/12/1040533/ghibah-dan-fitnah-mampu-merosakkan-umat-islam

Pages: [1]
View full version: Ghibah dan fitnah mampu merosakkan umat Islam


ADVERTISEMENT