Raline Publish time 15-12-2023 08:29 AM

Saidatina ‘Aishah gadis bertuah pilihan Allah

Saidatina ‘Aishah gadis bertuah pilihan Allah

https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/2023/12/Maqam-Para-Isteri-Rasulullah-SAW-1140x855.jpg
Jenazah Saidatina ‘Aishah dikebumikan di perkuburan al-Baqi‘ di kawasan permakaman isteri Rasulullah SAW.

Saidatina ‘Aishah binti Abu Bakr al-Siddiq, anak perempuan Saidina Abu Bakr al-Siddiq dikahwini Rasulullah SAW semasa beliau berusia enam tahun iaitu pada bulan Syawal dua tahun sebelum Hijrah. Ada berpandangan bahawa perkahwinan tersebut berlaku tiga tahun sebelum peristiwa Hijrah.

Walau bagaimanapun beliau mula tinggal serumah dengan baginda ketika beliau berusia sembilan tahun di al-Madinah al-Munawwarah.

Beliau satu-satunya isteri Rasulullah SAW yang tidak pernah dikahwini oleh mana-mana lelaki sebelum baginda. Adapun isteri-isteri baginda yang lain, mereka pernah berkahwin dengan orang lain sebelum dikahwini Rasulullah SAW.

Melihat malaikat

Beliau pernah melihat malaikat Jibril berbicara dengan Rasulullah SAW yang meminta agar baginda meneruskan peperangan dengan golongan Yahudi Bani Qurayzoh. Bahkan Rasulullah SAW sendiri sebagaimana yang direkodkan di dalam Sohih al-Bukhoriyy dan Sohih Muslim pernah menyatakan kepada Saidatina ‘Aishah bahawa malaikat Jibril menyampaikan salam kepada beliau. Rasulullah SAW bersabda kepada beliau:

Sesungguhnya Jibril menyampaikan salam kepadamu. Lalu Saidatina ‘Aishah berkata: Salam dan rahmat Allah ke atas beliau.

Fitnah Menggila

Ketenangan hidup berumahtangga antara Saidatina ‘Aishah dengan Rasulullah SAW pernah terusik apabila beliau dituduh berzina dengan seorang sahabat Rasulullah SAW bernama Sofwan bin al-Mu‘attol al-Sulamiyy al-Dzakwaniyy yang dihebah-hebah dengan begitu dahsyat sekali oleh orang-orang munafiq, diketuai ‘Abdulloh bin Ubayy bin Salul. Allah Taala menurunkan ayat al-Qur’an menjelaskan kepada manusia tentang kesucian Saidatina ‘Aishah daripada tuduhan keji tersebut. Firman Allah Taala di dalam Surah al-Nur ayat ke-11.

Cinta Rasulullah

Baginda SAW pernah ditanya oleh Saidina ‘Amr bin al-‘As: Siapakah orang yang paling anda sayangi? Lalu baginda bersabda: Aishah. Saidina ‘Amr bin al-‘As bertanya lagi: Daripada kalangan orang lelaki? Rasulullah SAW menjawab: Bapanya. Saidina ‘Amr bin al-‘As bertanya lagi:
Siapa pula seterusnya? Baginda menjawab: ‘Umar bin al-Khottob.

Tokoh Agama Dan Ilmu

Saidatina ‘Aishah ilmuan di kalangan para sahabat Rasulullah SAW sehingga beliau menjadi tempat rujukan sahabat Rasulullah SAW apabila mereka tidak memahami sesuatu permasalahan agama. Kuat beribadat malah berpuasa setiap hari melainkan pada hari-hari diharamkan berpuasa.

Menurut guru hadith kami; Fadhilat al-Shaykh Dr. Yusri bin Rushdi al-Hasaniyy ketika beliau menghuraikan hadith-hadith daripada Sunan al-Nasa-iyy perihal berpuasa setiap hari; Saidatina ‘Aishah hanya berpuasa setiap hari selepas kewafatan Rasulullah SAW. Ini kerana semasa hayat baginda, Saidatina selaku isteri akan sentiasa bersedia sekiranya baginda memerlukan diri beliau.

Menurut al-Qosim bin Muhammad bin Abu Bakr iaitu cucu kepada Saidina Abu Bakr al-Siddiq, setiap kali apabila beliau ingin keluar pada awal pagi, beliau singgah terlebih dahulu di rumah Saidatina ‘Aishah yang merupakan ibu saudaranya agar beliau dapat memberikan salam kepada
Saidatina ‘Aishah.

Pada satu awal pagi, al-Qosim telah singgah di rumah Saidatina ‘Aishah lalu beliau mendapati Saidatina ‘Aishah sedang mendirikan solat sunat dan sedang membaca ayat ke-27 daripada Surah al-Tur yang bermaksud: Lalu Allah menganugerahkan kepada kami dan Dia menyelamatkan kami daripada azab yang sangat berbisa.

Ayat tersebut begitu menyentuh hati Saidatina ‘Aishah sehingga beliau berdoa terus-menerus sambil mengulang-mengulang ayat tersebut dalam keadaan menangis. Adapun al-Qosim, beliau cuba untuk menunggu Saidatina ‘Aishah sehingga selesai solat. Namun Saidatina ‘Aishah tetap berdiri di dalam solatnya sambil membacakan ayat berkenaan berulang-ulang kali dalam keadaan menangis dalam tempoh yang lama. Akhirnya disebabkan sudah terlalu lama menunggu, al-Qosim meninggalkan rumah Saidatina ‘Aishah dan terus menuju ke pasar.

Selesai beliau membeli keperluannya di pasar, al-Qosim kembali semula ke rumah Saidatina ‘Aishah.

Apabila beliau sampai di rumah Saidatina ‘Aishah, beliau terkejut sekali apabila beliau mendapati Saidatina ‘Aishah masih lagi sedang berdiri melaksanakan solat sunat dalam keadaan beliau masih lagi menangis.

Sifat takutkan Allah ada pada diri Rasulullah SAW mengalir pada diri Saidatina ‘Aishah yang menerima pentarbiahan secara langsung daripada baginda Nabi SAW.

Golongan Syiah

Saidatina ‘Aishah antara para sahabat Rasulullah SAW yang teruk dicaci dan dimaki oleh golongan Syiah yang tidak gentar pada larangan Rasulullah SAW yang pernah bersabda: Janganlah kamu semua mencela para sahabatku. Janganlah kamu semua mencela para sahabatku.

Demi tuhan yang jiwaku berada di dalam kekuasaanNya, kalaulah salah seorang daripada kamu semua membelanjakan seumpama emas sebesar gunung Uhud (pada jalan Allah), dia tidak akan dapat mencapai (pahala sedekah) yang (hanya) memenuhi dua tapak tangan salah seorang daripada mereka (iaitu para sahabat) bahkan (dia sama sekali) tidak (akan dapat mencapai pahala sedekah yang hanya memenuhi) satu tapak tangan (salah seorang daripada mereka). Sekiranya mencaci para sahabat secara umum pun sudah dilarang oleh Rasulullah SAW, maka apatah lagi sekiranya yang dicaci tersebut adalah para isteri baginda yang hidup sebumbung dan sebantal dengan baginda.

Cacian serta makian tidak beradab dan tidak berasas oleh golongan Syiah yang ditujukan kepada Saidatina ‘Aishah selaku ibu bagi orang-orang mukmin tidak lain dan tidak bukan hanyalah akan meninggikan lagi martabat Saidatina ‘Aishah di sisi Allah Taala. (Saidina) Abu Huroyroh pernah meriwayatkan bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda (kepada para sahabat baginda): “Adakah kamu semua tahu apakah (hakikat) orang yang muflis? Mereka berkata: Orang yang muflis di sisi kami adalah orang yang tidak mempunyai dirham dan tidak mempunyai barang yang bermanfaat.

Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya orang yang muflis daripada umatku adalah orang yang akan datang pada hari Kiamat dengan (membawa ibadah) solat, puasa dan zakat.

Dia datang dalam keadaan dia dahulu telah memaki orang ini, telah melemparkan ke atas orang ini, telah makan harta orang ini, telah menumpahkan darah orang ini dan telah memukul orang ini. Maka orang ini (yang pernah dizaliminya) akan diberikan (pahala) daripada kebaikan-kebaikannya dan orang ini (yang turut pernah dizaliminya akan diberikan juga pahala) daripada kebaikan-kebaikannya.

Sekiranya kebaikan-kebaikannya telah habis (diagihkan seluruhnya kepada orang-orang yang pernah dizaliminya) sebelum (seluruh hutang) kejahatannya dilunasi, maka kesilapan-kesilapan (yang telah dilakukan oleh) insan-insan yang pernah dizaliminya (pula) akan diambil lalu dicampakkan kepadanya. Kemudian dia dicampakkan ke dalam api neraka”.

Wafat Sang Ibunda

Menurut al-Imam Hisham bin ‘Urwah; Saidatina ‘Aishah meninggal dunia pada tahun 57 Hijriyyah. Solat jenazah beliau diimamkan Saidina Abu Huroyroh. Jenazah Saidatina ‘Aishah dikebumikan di perkuburan al-Baqi‘ di kawasan permakaman 9 orang isteri Rasulullah SAW.
PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.

—–
PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.

Sumber:https://www.utusan.com.my/gaya/2023/12/saidatina-aishah-gadis-bertuah-pilihan-allah/

Pages: [1]
View full version: Saidatina ‘Aishah gadis bertuah pilihan Allah


ADVERTISEMENT