Besi dari angkasa, membongkar apa yang tersirat di dalam al-Quran
Besi dari angkasa, membongkar apa yang tersirat di dalam al-Quranhttps://utusantv.com/wp-content/uploads/2023/12/b6-696x464.jpg
Besi adalah antara unsur teras yang terpenting di bumi. Ia merupakan logam yang paling banyak ditemui, dan sejak zaman berzaman lagi manusia telah mengaplikasikan penggunaan besi di dalam kehidupan sejagat.
Sejarah penggunaan besi oleh manusia pertama kali dicatatkan ialah di Sumeria dan Mesir, sekitar 4000 tahun sebelum Masihi (SM). Ketika itu, manusia menggunakan besi untuk menghasilkan benda-benda kecil seperti mata lembing, mata anak panah dan barangan perhiasan.
Teknologi besi terus berkembang sekitar tahun 3000 SM hingga 2000 SM, di mana semakin banyak objek daripada besi dihasilkan di Mesopotamia, Anatolia dan Mesir. Sehinggalah pada 1200 SM, besi terus digunakan secara lebih meluas di Timur Tengah untuk menggantikan penggunaan gangsa.
Malah pada suatu ketika, besi turut dijadikan sebagai mata wang kerana harganya yang dianggap lebih mahal daripada emas. Namun pada ketika itu, tiada kajian saintifik yang dilakukan ke atas besi dan tiada sesiapa yang mempersoalkan bagaimana besi terhasil.
https://utusantv.com/wp-content/uploads/2023/12/b7.jpg
Spekulasi mengenai asal-usul besi mulai timbul pada abad ke-19 dan 20. Saintis dunia telah mengkaji perkara ini dan mendapati bahawa 98 peratus alam ini terdiri daripada Hidrogen dan Helium, yang mana kedua-duanya adalah unsur paling ringan. Manakala dua peratus selebihnya merupakan unsur yang lebih berat dan jumlahnya adalah 105 unsur.
Ini menyebabkan saintis mengeluarkan natijah bahawa realiti pembentukan bahan-bahan yang lebih berat seperti besi berlaku melalui proses penyatuan atom yang diiringi oleh tenaga yang besar.
Profesor Thomas P.Armstrong atau nama Islamnya Mohamed Asadi dari Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika (NASA) pernah menyatakan keadaan fizikal bumi tidak mampu untuk menghasilkan besi kerana ia sejenis logam berat. Penciptaan besi memerlukan darjah kepanasan yang amat melampau. Malah, matahari yang kepanasannya mencecah 6000 darjah Celsius di permukaan dan 20 juta darjah Celsius di terasnya pun tidak mampu untuk menghasilkan besi.
Justeru, saintis mengandaikan besi dihasilkan oleh bintang di luar sistem tata suria kita yang mempunyai saiz dan suhu yang berkali-kali ganda lebih besar daripada matahari. Bintang ini akan meletup (supernova) dan menyebarkan besi di angkasa sebagai meteorit yang mengandungi besi.
Ia kemudian ditarik oleh daya graviti bumi. Melalui proses evolusi, ketulan-ketulan besi itu telah membentuk teras bumi. Bukti yang paling kukuh untuk teori ini ialah berlaku hentaman meteor besi di selatan Namibia pada 1920,dan yang berlaku di Argentina apabila meteor besi seberat 37 tan menghentam wilayah Campo del Sielo pada 1990.
https://utusantv.com/wp-content/uploads/2023/12/b4-1068x601.jpg
Teori ini dianggap sebagai hipotesis yang paling tepat tentang kewujudan besi kerana tidak ada lagi teori-teori lain yang menghuraikan bagaimana besi boleh terhasil di muka bumi ini. Secara tidak langsung, ia turut membongkar apa yang tersirat di dalam al-Quran.
Sepotong ayat dari surah Al-Hadid (besi) sudah cukup untuk menerangkan besi tidak dihasilkan di bumi. Firman Allah yang bermaksud : “… Dan Kami turunkan (anzalna) besi yang di dalamnya mempunyai kekuatan yang amat dahsyat dan memberi manfaat untuk manusia…”(Al-Hadid, ayat 25)
Ayat Al-Quran di atas dengan yakin menegaskan besi diturunkan atau dihantar dari suatu tempat yang lain. Hal ini jelas sekali kerana Allah menggunakan istilah ‘anzalna’ yang membawa maksud ‘kami turunkan’.
Lazimnya Allah menggunakan perkataan ‘jaalna’ atau ‘kholaqna’ yang membawa maksud ‘kami jadikan’ apabila membicarakan tentang penciptaan manusia, langit, bumi dan sebagainya. Namun dalam kes penciptaan besi, istilah ‘anzalna’ ini menunjukkan bagaimana Allah mencipta besi di tempat lain yang lebih tinggi lalu dihantar ke bumi. Sebagai perbandingan, perkataan ‘anzalna’ juga tertera di dalam Al-Quran ketika membicarakan tentang proses penurunan air hujan.
https://utusantv.com/wp-content/uploads/2023/12/b1-1068x641.jpg
Selain itu, surah Al-Hadid turut menyimpan maksud tersirat yang tersendiri. Surah ini merupakan surah ke-57 di dalam Al-Quran. Jika dilihat dari sudut kimia, besi atau ferum adalah unsur dalam jadual berkala yang mempunyai simbol Fe. Unsur-unsur di dalam jadual berkala ini disusun mengikut struktur elektron yang terdapat padanya. Fe-57 adalah salah satu isotop besi yang stabil. Susunan ini dilihat mempunyai persamaan dengan urutan surah besi Al-Hadid.
Manakala jumlah ayat dalam surah ini ialah 25 ayat. Sekiranya ditambah dengan lafaz bismillah, jumlah ayatnya akan menjadi 26 – sama dengan nombor atom untuk besi dalam jadual berkala. Adakah ini semua kebetulan?
Percaya atau tidak, ini yang telah dinyatakan di dalam Al-Quran lebih 1400 tahun yang lalu tatkala ilmu pengetahuan manusia tentang alam semesta masih terlalu cetek. Inilah antara mukjizat dan kehebatan kitab suci umat Islam. Sesungguhnya Allah lebih mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
https://utusantv.com/wp-content/uploads/2023/12/b5.png
https://utusantv.com/2023/12/01/besi-dari-angkasa-membongkar-apa-yang-tersirat-di-dalam-al-quran/
Pages:
[1]