mattzzx Publish time 7-5-2024 05:10 PM

Ceroboh hutan simpan negara, 4 warga asing dicekup

https://assets.hmetro.com.my/images/articles/gari_1715068353.jpg
GAMBAR hiasan

Raub: Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub menahan seorang warga Myanmar dan tiga Nepal yang menceroboh Hutan Simpan Gunung Benom di sini, semalam.

Keempat-empat individu itu diberkas dalam Operasi Bersepadu 'Ops Sekat', di sini.

Warga asing berumur antara 19 hingga 37 tahun itu dipercayai menjadikan hutan simpan berkenaan sebagai laluan utama mereka keluar masuk ke kawasan pertanian diusahakan.

Pegawai Hutan Daerah (PHD) Raub, Safiah Aimi Md Isa berkata, dalam operasi itu, pihaknya turut menyita motosikal, dua lori dengan muatan tomato dan kenderaan pacuan empat roda bersama peralatan pertanian.


Menurutnya, operasi bersepadu itu disertai agensi Polis Diraja Malaysia (PDRM) Raub, Pasukan Gerakan Am (PGA), Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) dan Unit Penguat kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Pahang Barat.

Katanya, pasukan penguatkuasaan dibahagi kepada dua kumpulan yang memasuki hutan simpan Gunung Benom, Kampung Temalian dan Sungai Chalit.

"Kumpulan kedua pula memasuki kawasan Tras dan Hutan Simpan Kekal Batu Talam.

"Siasatan yang dilakukan mendapati tiga warga asing yang ditahan bersama dua lori dengan muatan tomato menjalankan aktiviti pertanian di atas tanah milik persendirian. Bagaimanapun mereka tidak memiliki permit atau kebenaran melalui jalan dalam hutan simpan Gunung Benom.

"Kami turut menemui seorang lelaki tempatan yang sedang melakukan kerja membersih kebun durian yang diusahakan secara haram di atas tanah kerajaan di KampungTras," katanya.

Beliau berkata, warga asing yang ditahan kemudian dibebaskan selepas mendapat jaminan polis dan barangan yang sita disimpan di Stor Rampasan JPNP Batu 18, Tersang di sini.

Safiah Aimi berkata, mereka diambil tindakan mengikut Seksyen 47 (1) Akta Perhutanan Negara 1984 kerana berada dalam hutan simpan tanpa permit atau kebenaran daripada JPNP, sabit kesalahan boleh didenda RM10,000 atau penjara tiga tahun.

Beliau menambah, Operasi Bersepadu 'Ops Sekat' yang bermula Selasa lalu dilakukan bertujuan untuk memastikan Hutan Simpan Gunung Benom yang sebelum ini diusahakan dengan tanaman durian Musang King tidak terus diceroboh oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, operasi bersepadu yang diadakan kali ini dilakukan susulan tindakan tegas JPNP memusnahkan kebun durian Musang King seluas 101 hektar membabitkan kira-kira 15,000 pokok durian yang diusahakan kira-kira 20 pekebun secara haram dalam Hutan Simpan Batu Talam pada 2021.

Menurutnya, pihaknya akan melakukan operasi dan pemantauan secara berterusan dari semasa ke semasa menggunakan dron dalam memastikan kawasan berkenaan tidak terus diceroboh oleh mana-mana pihak.
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/05/1087774/ceroboh-hutan-simpan-negara-4-warga-asing-dicekup
Pages: [1]
View full version: Ceroboh hutan simpan negara, 4 warga asing dicekup


ADVERTISEMENT