Khazanah ilmu membentuk pemikiran manusia
https://assets.hmetro.com.my/images/articles/14hm15za_1741906822.jpgAl-Quran mukjizat teragung yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad SAW sebagai hidayah dan pedoman dalam kehidupan manusia. Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 185 maksudnya: "Bulan Ramadan yang diturunkan padanya al-Quran memberi hidayah (petunjuk) kepada manusia dan penjelasan bagi petunjuk itu…"
Firman Allah dalam Surah al-Isra' ayat 9, maksudnya: "Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang benar (Islam), dan memberikan berita menggembirakan kepada orang beriman mengerjakan amalan soleh, dan mereka akan memperoleh pahala yang banyak."
Menurut Sheikh Manna' Qattan dalam bukunya 'Mabahith fi 'Ulum al-Quran', proses penurunan al-Quran berlaku dalam dua peringkat.
Peringkat pertama, ia diturunkan daripada luh mahfuz ke langit dunia secara sekali gus. Peringkat kedua pula diturunkan daripada langit dunia kepada Nabi SAW secara beransur-ansur melalui perantaraan malaikat Jibril AS. Al-Quran yang diturunkan secara beransur-ansur ini mengambil masa selama hampir 23 tahun. Ayat pertama diturunkan ialah ayat 1-5 daripada Surah al-Alaq yang diturunkan pada 17 Ramadan 610 Masihi di Gua Hira'. Ayat terakhir diturunkan ialah ayat 281 Surah al-Baqarah yang diturunkan sembilan malam sebelum kewafatan Nabi SAW.
Penurunan al-Quran sebenarnya memberikan sejuta rahmat kepada manusia. Imam al-Razi dalam kitab tafsirnya menjelaskan bahawa al-Quran penawar kepada penyakit rohani dan jasmani. Namun apa yang menyedihkan terdapat ramai masih tidak menghargai al-Quran dan masih terdapat mereka memandangnya sebagai sesuatu yang tidak bernilai. Kalaulah diberi pilihan antara wang dengan al-Quran, rasanya ramai yang memilih wang. Kalau pun ada yang mengatakan bahawa dia memilih al-Quran, mungkin ibarat menanam tebu di bibir, tetapi hakikatnya adalah di sebaliknya. Sehubungan itu, kita wajar bermuhasabah adakah benar-benar menghayati kepentingan al-Quran dalam kehidupan atau sebaliknya?
Masyarakat Islam hari ini masih ketinggalan jauh daripada menghayati isi kandungan al-Quran dengan sebenar-benarnya. Justeru, kita dapati al-Quran hanya akan berkumandang apabila berlaku kematian atau hanya akan dialunkan pada pembukaan majlis tertentu. Selepas itu, al-Quran kembali ditinggalkan. Inilah fenomena yang sepatutnya diubati agar tidak berterusan. Setiap orang Islam mesti berusaha sedaya upaya untuk membaca, memahami, menghayati dan mengamalkan keseluruhan isi kandungan al-Quran dalam kehidupan.
Dr Solah Abdul Fattah al-Khalidi dalam bukunya 'Mafatih li al-Ta'amul ma'a al-Quran' menyenaraikan beberapa tujuan utama al-Quran itu diturunkan. Antaranya ialah:
1. Untuk mendapat hidayah daripada Allah.
2. Untuk mewujudkan peribadi Muslim yang unggul dan seimbang.
3. Mewujudkan masyarakat Islam tulen.
4. Sebagai senjata dalam menghadapi musuh Islam yang berusaha untuk menghancurkan Islam.
Oleh itu, marilah bertanya kepada diri kita, sejauh manakah usaha untuk menambah keimanan dan keyakinan terhadap al-Quran dan sejauh manakah kita menjadikan al-Quran sebagai pedoman dan petunjuk dalam kehidupan sehari-hari dan sejauh manakah usaha untuk menghayati isi kandungan al-Quran. Untuk melihat bahawa kita benar-benar beriman dan yakin terhadap kandungan al-Quran perlulah ada pada diri kita beberapa ciri sebagai tanda dan ukuran. Ciri-ciri yang dimaksudkan itu ialah:
1. Hendaklah kita sentiasa membaca dan berusaha menghafaznya. Dengan membaca al-Quran ia dapat menambah kebersihan jiwa, ketenangan, keimanan dan ketaqwaan kepada Allah. Dengan membaca al-Quran itu juga, kita akan mendapat ganjaran pahala dan syafaat daripada Allah sebagaimana maksud sabda junjungan kita Nabi Muhammad SAW: "Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya."
2. Al-Quran hendaklah dibaca dengan tartil iaitu dengan bacaan yang terang, jelas dan betul mengikut ilmu tajwid.
3. Hendaklah kita sentiasa meneliti, memahami kandungan dan pengertian yang disampaikan dalam al-Quran. Allah berfirman dalam Surah Muhammad ayat 24 yang bermaksud:"Maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup yang menghalangnya daripada menerima ajaran al-Quran?"
Al-Quran adalah gedung ilmu dan petunjuk yang benar. Ia khazanah ilmu yang mampu membentuk pemikiran dan akal manusia. Sebab itu apabila seseorang berfikir dengan berlandaskan al-Quran, ia menjadi satu pemikiran yang kukuh dan sepadu serta berjaya memimpin diri, keluarga, masyarakat serta negara ke arah yang diredai Allah SWT. Apabila pemikiran berpaksi dengan al-Quran, dengan sendiri kita akan menjadi orang yang berprinsip dan berpendirian. Jika sebaliknya kita akan menjadi manusia yang tidak mempunyai prinsip dan sentiasa berubah-ubah mengikut arus. Orang yang tidak berprinsip hanya menjadi pengikut, penterjemah dan pentafsiran pemikiran orang lain tanpa melihat sama ada pemikiran dikemukakan itu benar atau tidak di sisi Allah SWT.
Penulis Mufti Pulau Pinang
Sumber: Harian Metro
Pages:
[1]