tatod Publish time 24-3-2025 11:46 PM

Hadiah terhebat dari Allah kepada umat Nabi Muhammad s.a.w.


Bulan Ramadan adalah bulan rahmat dan berkat. Semua amalan baik yang mendapat ganjaran pahala akan digandakan termasuklah amalan solat. Rasulullah s.a.w. bersabda

“Sesiapa yang menghidupkan bulan Ramadan dengan solat dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan, pastinya akan diampunkan dosanya seperti yang lalu” (HR Bukhari & Muslim)

Rasulullah s.a.w. juga bersabda,

“Setiap amalan baik anak Adam akan digandakan 10 sehingga 700 kali ganda…” (HR Bukhari & Muslim)

Inilah antara hadis-hadis yang menceritakan tentang rahmat bulan Ramadan di mana Allah S.W.T. menzahirkan sifatnya yang Maha Kaya dan Maha Pemurah. Allah telah menjadikan sebulan bulan Ramadan sebagai bulan pesta ibadah. Bulan Ramadan juga digambarkan oleh Rasulullah s.a.w. sebagai bulan di mana pintu syurga terbuka luas, manakala pintu neraka tertutup rapat, dan semua syaitan dirantai.

Ini menggambarkan betapa di bulan Ramadan amat mudah dan senang untuk melakukan ibadah kepada Allah dan nilai ganjaran pahala pula berganda-ganda. Bulan Ramadan adalah diibaratkan sebagai bulan hadiah oleh Allah kepada umat Nabi Muhammad yang tidak diberikan kepada umat nabi yang lain.

Umat Islam diwajibkan menjalani ibadah puasa dengan menahan diri daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa sepanjang hari, mulai dari terbit fajar sehingga terbenam matahari. Ini secara tidak langsung menjadikan seseorang itu berada dalam keadaan beribadah kepada Allah sepanjang hari.

Jika pada hari biasa seseorang itu mungkin hanya melakukan ibadah dan ketaatan kepada Allah hanya pada waktu solat sahaja sebanyak lima waktu sehari semalam, namun puasa menjadikan tempoh seseorang itu dalam keadaan ibadah dengan lebih panjang selagi dia tidak melakukan perkara yang membatalkan puasa tersebut.

Bahkan Allah tidak meletakkan sebarang garis panduan nilai ganjaran ibadah puasa. Dia mengatakan bahawa hanya Dialah yang akan menetapkan ganjaran ibadah puasa sebagaimana yang Dia kehendaki.

Begitu juga Allah memperjelaskan lagi kelebihan bulan ini dengan menggambarkan bahawa setiap amalan baik setiap muslim, yang dilakukan semata-mata kerana Allah akan digandakan 10 ganda pahalanya berbanding hari-hari di bulan yang lain.

10 kali ganda itu adalah tahap yang paling minima dan Allah dengan sifat Nya yang Maha Kaya dan Maha Pemurah menyebut bahawa dia akan menggandakan ganjaran pahala kepada hamba Nya yang ikhlas sehingga ke tahap 700 kali ganda.

Allah Taala dengan sifatnya yang Maha Melihat, Maha Mendengar dan Maha Mengetahui segala gerak laku hamba Nya setiap masa dan ketika akan menilai sendiri tahap usaha dan keikhlasan hamba Nya melakukan ibadah khusus dan umum seterusnya menetapkan tahap pahala yang berhak diberikan kepada hamba Nya adakah hamba Nya itu berhak hanya 10 kali ganda atau mungkin ia boleh mencecah sehingga 700 kali ganda.


Kaedah kiraan ganjaran ini lebih besar daripada kaedah peratus yang biasa kita gunakan dalam memberi ganjaran atau insentif kepada mereka yang berjaya. Pernah kita dengar ada pihak menyediakan ganjaran 1000 peratus kepada sesiapa yang berjaya menyelesaikan tugasan?

Ini menggambarkan bahawa kerdilnya manusia berbanding dengan kekayaan Allah Taala. Ibadah solat disebut secara lebih khusus kelebihan di bulan Ramadan ini dengan sabdanya,

“Sesiapa yang menghidupkan bulan Ramadan dengan solat dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan pastinya akan diampunkan dosanya yang lalu” (HR Bukhari & Muslim)

Solat lima waktu yang wajib dilakukan pada hari-hari biasa jika dilakukan secara sendirian akan mendapat ganjaran satu pahala dan akan mendapat ganjaran 27 pahala jika ianya dilakukan secara berjemaah.

Ganjaran pahala solat ini akan digandakan sekurang-kurangnya 10 kali ganda di bulan Ramadan ini dan boleh digandakan sehingga tahap tertinggi yaitu 700 kali ganda. Itu belum dikira lagi pahala solat berjemaah yang dilakukan secara berjemaah di masjid yang ganjarannya lebih besar kerana ia menuntut usaha dan masa yang lebih untuk menunaikannya.

Di bulan Ramadan yang penuh berkat ini Allah telah mengkhususkan ibadah solat yang tiada pada bulan yang lain. Bahkan para ulama berpandangan bahawa inilah yang dimaksudkan dalam hadis Nabi s.a.w.

“Sesiapa yang memeriahkan Ramadan dengan solat…”

Solat yang dimaksudkan adalah solat tarawih. Solat tarawih ini ialah solat sunat yang dilakukan selepas solat Isyak. Ia boleh dilakukan sekurang-kurang 8 rakaat dengan empat kali salam dan ia diamalkan oleh Rasulullah s.a.w.

Solat tarawih juga boleh dilakukan sebanyak 20 rakaat sebagaimana yang dilaksanakan di Masjidil Haram di Mekah dan juga sebahagian besar masjid di Malaysia. Ia tidak menjadi masalah dan tidak perlu menjadi pertikaian kerana amalan solat sunat terawih ini dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. sebanyak 8 rakaat di masjid dan selebihnya di rumah Baginda s.a.w. kerana bimbang ia akan menjadi amalan yang berat bagi umat Islam.

Tetapi jika kita memilih untuk solat sebanyak 20 rakaat ia adalah lebih baik kerana ia akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah Taala kerana ia menuntut lebih masa dan tenaga dengan syarat ia perlu dilaksanakan dengan tenang dan tertib penuh pengharapan pada Allah.

Solat tarawih ini boleh dilakukan secara sendirian di rumah tetapi lebih afdal jika ia dilakukan secara berjamaah di masjid atau surau berdasarkan contoh yang ditunjukkan oleh Baginda s.a.w.

Walaupun Baginda hanya bersolat tarawih sebanyak lapan rakaat secara berjemaah dan menyempurnakannya di rumah, tetapi sahabat Baginda, Saidina Umar al-khattab r.a. telah memulakan solat tarawih berjemaah di masjid sebanyak 20 rakaat, setelah mempertimbangkan beberapa perkara yang lebih positif untuk umat Islam.

Di samping solat tarawih, kita juga dianjurkan untuk melazimi solat sunat rawatib iaitu solat sunat sebelum dan selepas solat iaitu dua rakaat sebelum Subuh, empat rakaat sebelum Zohor, dua rakaat selepas Zohor, dua rakaat selepas Maghrib dan dua rakaat selepas Isyak. Jumlah keseluruhan sunat rawatib ialah 12 rakaat.

Walaupun ada yang melakukan solat sunat sebelum Asar, sebelum Maghrib atau sebelum Isyak, ia adalah solat sunat biasa yang tidak termasuk dalam kategori sunat rawatib. Solat sunat ini juga akan digandakan pahalanya di bulan Ramadan sehinggakan disebut oleh para ulama bahawa besarnya ganjaran sehingga boleh menyamai ganjaran solat fardhu bagi hari-hari biasa.

Begitu juga dengan amalan solat sunat yang lain yang digalakkan malah termasuk dalam kategori solat sunat muakkad iaitu solat sunat yang dituntut seperti solat sunat dhuha dan juga solat tahajud.

Kedua solat ini merupakan amalan-amalan para nabi, juga orang-orang soleh yang digalakkan oleh Allah di dalam al-Quran surah al-Isra’: 79,

“Bangunlah bertahajud kepada Allah pada sebahagian dari waktu malam sebagai ibadah sunat agar kamu akan dibangkitkan di kalangan mereka yang terpuji”

Nah! Sudah masuk 10 malam terakhir ini, tambahkanlah momentum ibadah sebagaimana yang dilakukan Rasulullah s.a.w. Mana tahu dengan usaha kita memperbanyakkan solat dan menghidupkan malam dengan ibadah akan diberi ganjaran bertemu Lailatulqadar iaitu malam yang lebih baik dari seribu bulan.

Allah telah memberi kita nikmat kehidupan dunia yang cukup indah, tinggal lagi kita perlu berusaha untuk memastikan kejayaan kehidupan di akhirat yang merupakan kehidupan yang kekal selama-lamanya. Rebutlah peluang bulan Ramadan kali ini dengan melaksanakan solat fardhu dan sunat dengan sebaik-baiknya. Mungkin ini adalah Ramadan terakhir bagi kita, siapa tahu, kan!


Sumber: Utusan TV

Pages: [1]
View full version: Hadiah terhebat dari Allah kepada umat Nabi Muhammad s.a.w.


ADVERTISEMENT