Pakaian semakin menonjol, beringat ketika Aidilfitri
Adakah Islam melarang wanita untuk kelihatan cantik?
Islam tidak melarang wanita untuk kelihatan cantik, tetapi kecantikan itu perlu dijaga mengikut batasan yang ditetapkan oleh syariat. Islam membenarkan berhias untuk suami, namun berpakaian yang menarik perhatian lelaki bukan mahram adalah dilarang.
Nabi SAW bersabda: "Sebaik-baik wanita adalah yang menyenangkan suaminya apabila dia memandangnya…" (Hadis Riwayat Ahmad)
Hadis ini menggalakkan kaum wanita untuk menjaga adab, penampilan dan akhlak yang baik terhadap suami, yang merupakan antara ciri wanita solehah dalam Islam.
Apakah yang dimaksudkan dengan berpakaian tetapi telanjang?
Istilah ini merujuk kepada wanita yang berpakaian tetapi masih menampakkan bentuk tubuh atau aurat mereka. Ini termasuk pakaian yang ketat, nipis atau singkat. Hadis Nabi SAW menyebut bahawa wanita sebegini tidak akan mencium bau syurga kerana melanggar batasan Islam.
Nabi SAW bersabda: "Ada dua golongan ahli neraka yang belum aku lihat sekarang iaitu kaum yang membawa cemeti seperti ekor lembu untuk memukul manusia dan wanita yang berpakaian, tetapi telanjang yang berlenggang-lenggok serta condong rambutnya seperti bonggol unta yang condong. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya padahal bau syurga itu dapat dicium dari perjalanan sejauh ini dan ini." (Hadis Riwayat Muslim)
Bagaimana trend fesyen hari ini berkait dengan hadis Nabi SAW dan tanda kiamat?
Hadis Nabi SAW telah menggambarkan keadaan wanita akhir zaman yang berpakaian tetapi telanjang, berlenggang-lenggok dan rambut mereka seperti bonggol unta. Trend fesyen moden yang semakin mengetepikan adab berpakaian dalam Islam jelas menunjukkan kebenaran hadis ini.
Nabi SAW bersabda: "Pada umatku yang akan datang ini, akan ada orang lelaki yang naik pelana kuda menyerupai pelana unta, lalu turun di pintu masjid. Wanita mereka berpakaian tetapi telanjang, rambut kepala mereka bagaikan bonggol unta yang tinggi. Laknatlah mereka kerana mereka ialah wanita terlaknat. Kalau di belakangmu (sesudahmu) nanti masih ada umat lain, nescaya wanita kamu akan melayani wanita mereka sebagaimana dahulu kamu dilayani oleh wanita bangsa sebelum kamu."(Hadis Riwayat Ahmad)
Hadis ini menggambarkan salah satu tanda kecil kiamat, di mana manusia akan semakin jauh daripada syariat Islam dan lebih mementingkan duniawi.
Apakah maksud rambut bagaikan bonggol unta dalam konteks fikh?
Dalam hadis, Nabi SAW menggambarkan wanita yang mempunyai 'rambut seperti bonggol unta' sebagai antara tanda akhir zaman. Dalam hukum fikah, tafsiran ini merujuk kepada wanita yang menghias rambutnya dengan cara yang tidak menepati syarak, seperti:
Pertama mengikat rambut dengan cara yang menonjol di atas kepala hingga menyerupai bonggol unta. Kedua: menggunakan sanggul palsu atau alat tambahan untuk menampakkan rambut lebih tebal dan tinggi. Ketiga memakai gaya rambut yang menarik perhatian, terutama jika dilihat oleh lelaki bukan mahram.
Para ulama menyatakan bahawa perbuatan ini termasuk dalam kategori tabarruj (berhias secara berlebihan) yang ditegah dalam Islam kerana boleh mengundang fitnah dan bertentangan dengan adab berpakaian seorang Muslimah. RujukIRSYAD AL-HADITH SIRI KE-550 (Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)
Adakah semua jenis fesyen dilarang dalam Islam?
Tidak, Islam tidak melarang fesyen selagi pakaian itu menutup aurat, longgar, tidak berlebihan dan tidak menyerupai pakaian kaum yang tidak beriman. Berfesyen dengan mengekalkan syariat adalah dibenarkan.
Nabi SAW bersabda: "Makanlah, bersedekahlah dan berpakaianlah, tetapi jangan berlebihan dan jangan sombong." (Hadis Riwayat Ahmad)
Hadis ini menunjukkan bahawa berpakaian (termasuk berfesyen) dibolehkan, asalkan tidak berlebihan dan tidak disertai dengan kesombongan.
Bagaimana dengan wanita menyambung rambut atau memakai rambut palsu?
Menyambung rambut atau memakai rambut palsu untuk kelihatan cantik adalah dilarang dalam Islam. Hadis Nabi SAW menyebut bahawa Allah melaknat wanita yang menyambung rambut dan yang meminta rambutnya disambungkan.
Rasulullah SAW bersabda "Allah melaknat al-washilah (orang yang menyambung rambut) dan al-mustaushilah (orang yang minta disambungkan rambutnya)." (Hadis Riwayat Muslim)
Dalam hadis lain, Aisyah RA meriwayatkan bahawa seorang gadis Ansar baru berkahwin dan jatuh sakit sehingga menyebabkan rambutnya gugur. Keluarganya hendak menyambung rambut itu (dengan rambut palsu). Mereka kemudian bertanya kepada Rasulullah SAW lalu baginda bersabda maksudnya: "Allah melaknat orang yang menyambung rambut dan yang minta disambungkan rambutnya."(Hadis Riwayat al-Bukhari)
Imam al-Nawawi berkata, hadis ini secara tegas menunjukkan haramnya menyambung rambut dan laknat untuk wanita yang menyambung rambut atau pemakai yang disambungkan rambutnya secara mutlak.
Apakah kesan pemakaian yang tidak menepati syarak kepada masyarakat?
Pemakaian yang tidak menutup aurat boleh menimbulkan fitnah, merosakkan moral masyarakat dan mengundang kemurkaan Allah. Ia juga boleh menjadi punca gangguan sosial dan masalah akhlak dalam kalangan umat Islam. Hal ini juga merupakan sebahagian daripada tanda-tanda akhir zaman yang telah diberitakan oleh Nabi SAW.
Nabi SAW bersabda: "Tidak aku tinggalkan setelahku suatu fitnah yang lebih berbahaya bagi kaum lelaki daripada (fitnah) wanita." (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Hadis ini menunjukkan bahawa wanita yang tidak menjaga aurat dan berpakaian tidak menepati syarak boleh menjadi punca fitnah bagi kaum lelaki dan menggugat kestabilan moral masyarakat
Apakah nasihat kepada wanita yang ingin berhias pada Aidilfitri?
Berhiaslah dengan cara yang sopan dan mengikut syariat Islam. Pakailah pakaian yang menutup aurat dengan sempurna, tidak ketat, tidak nipis dan tidak menyerupai fesyen yang melanggar batas agama. Berpakaian cantik untuk menyambut Aidilfitri adalah dibenarkan, tetapi pastikan ia tidak menjadi punca dosa.
Allah SWT berfirman: "Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang Mukmin, agar mereka melabuhkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu agar mereka lebih mudah dikenali (sebagai wanita yang baik) dan tidak diganggu. Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang." (Surah Al-Ahzab ayat 59)
Dalil ini menunjukkan bahawa wanita Muslim dituntut untuk berpakaian dengan menutup aurat dengan sempurna, tidak nipis dan tidak ketat supaya tidak menarik perhatian yang tidak sepatutnya. Semoga kita semua dapat mengambil iktibar dan memperbaiki cara berpakaian agar selari dengan tuntutan Islam, terutama pada hari yang penuh keberkatan seperti Aidilfitri. Marilah kita berusaha untuk menjauhkan diri daripada perkara yang dilarang oleh Allah dan Rasul-Nya serta bersiap sedia menghadapi akhir zaman dengan penuh ketakwaan.
Penulis Timbalan Pengarah USIM 'ALAMIYYAH Universiti Sains Islam Malaysia
Sumber: Harian Metro
Pages:
[1]