Ketahui 9 laluan taubat
Melalui perjalanan 10 malam terakhir di bulan Ramadan ini kita digalakkan untuk bertaubat dengan memohon keampunan dari Allah dengan sebanyak-banyaknya. Malah Baginda s.a.w. pernah ditanya oleh Saidatina Aisyah r.ha tentang doa yang seharusnya diucapkan apabila berada di 10 malam terakhir dan Baginda s.a.w. bersabda,
“Bacalah (Ya Allah ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan amat suka akan keampunan, maka berikanlah keampunan kepadaku)” (HR Tirmizi)
Untuk merasai nikmat taubat, ketahui sembilan laluan ini iaitu:
Pertama: Fahami hakikat bertaubat
Yang dikatakan bertaubat itu ialah menyesali kemungkaran-kemungkaran yang telah dilakukan, meninggalkan kemaksiatan tersebut dan berazam untuk tidak mengulanginya lagi.
Kedua: Merasai akibat dosa yang dilakukan
Sesetengah kita tidak faham akibat dosa-dosa yang dilakukan boleh dilihat pada diri pelaku atau orang-orang di sekelilingnya seperti ahli keluarga. Contohnya akibat minum arak, tubuhnya sakit, anak-anak dan isteri menderita, dan rumah tangga musnah.
Ketiga: Jauhi persekitaran buruk yang membawa kepada maksiat
Manusia amat mudah dipengaruhi persekitarannya. Jika selama ini kita hidup dalam suasana yang penuh maksiat, berhijrahlah ke tempat lain atau beralihlah ke persekitaran yang lebih baik untuk merangsang amal kebaikan
Keempat: Membaca dan menghayati ayat-ayat al-Quran
Membaca satu huruf daripada al-Quran pun sudah mendapat pahala. Baca dan hayatilah pengajaran-pengajaran yang terkandung di dalam kitab suci ini. Insya-allah ia dapat membantu menyembuhkan jiwa yang sakit dan penuh dosa.
Kelima: Berdoa
Sedangkan para nabi pun berdoa agar diampuni dosa-dosa mereka, inikan pula kita orang biasa. Contohnya Nabi Ibrahim a.s. yang berdoa,
“Ya Tuhan kami. Jadikanlah kami berdua orang yang tunduk patuh kepada Engkau dan jadikanlah di antara anak cucu kami umat yang tunduk patuh kepada Engkau dan tunjukkanlah kepada kami cara-cara dan tempat-tempat ibadat haji kami, dan terimalah taubat kami. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang”
Keenam: Sedar akan keagungan Allah yang Maha Pencipta
Jika anda merasakan dosa-dosa yang telah anda lakukan itu kecil, maka lihatlah keagungan Tuhan yang telah diderhakai.
Ketujuh: Mengingati mati yang datang tiba-tiba
Fikirkanlah sekiranya ditakdirkan menemui Tuhan setengah jam lagi, atau esok hari. Bagaimana hendak menjawab soalan-soalan yang bakal ditanya?
Kelapan: Memperingati diri dengan ayat al-Quran dan hadis berkaitan amaran kepada golongan yang melakukan dosa
Apabila anda faham, sedar dan menginsafi diri, akan timbul rasa takut kepada janji Allah S.W.T. yang pasti akan datang. Tidak ada orang yang berdosa yang terlepas daripada balasan Nya. Maka bersegeralah bertaubat
Kesembilan: Membaca kisah-kisah mereka yang bertaubat
Insya’ allah anda juga mungkin akan terbuka hati dan memberi inspirasi untuk melakukan perkara yang sama. Wallahu a’lam
Sumber: Utusan TV
Pages:
[1]