tatod Publish time 7-4-2025 07:42 PM

Motif seni Uthmaniyah pengaruhi hiasan manuskrip Melayu



KUALA LUMPUR: Tidak asing untuk melihat manuskrip Melayu lama diperindahkan dengan ragam hias atau dikenali sebagai iluminasi. Lazimnya ragam hias itu bermotifkan alam tumbuhan dan didominasi warna emas, kuning dan merah selain hitam, hijau dan biru.

Satu hal yang menarik untuk diperhatikan, di alam Melayu ragam hiasnya turut dipengaruhi elemen seni Islam dari Empayar Turki Uthmaniyah.

Pensyarah Kanan, Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr Harleny Abd Arif, berkata antara motif warisan Turki Uthmaniyah yang boleh ditemui dalam manuskrip tempatan adalah Hayat Agaci atau pohon kehidupan.

Harleny berkata, ketika berkunjung ke Masjid Agung Divrigi di Sivas, di bahagian timur Turkiye, beliau mengesan motif berkenaan pada mimbarnya.





"Masjid itu dibina pada era Anatolia Seljuk, saya dapat melihat motif Hayat Agaci di mimbar, walaupun diukir dalam skala yang amat kecil, tetapi ia tetap diolah dengan penuh kehalusan dan ketelitian.

"Ukiran itu lebih kecil daripada kuku ibu jari dan ia mencerminkan betapa teliti dan rumitnya seni ukiran hasil sentuhan tangan pengukir pada zaman itu," katanya dalam Program Wacana Manuskrip Melayu Bil 1/2025 bertajuk Dari Mimbar Ke Manuskrip: Pengaruh Hayat Agaci Turki Uthmaniyah dalam Ragam Hias Manuskrip Nusantara anjuran Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu (PKMM), Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), baru-baru ini.

Harleny berkata, Dogan Kuban, Pengarang Gates of Paradise menjelaskan bahawa Hayat Agaci adalah simbol kosmogoni (perihal asal usul alam semesta) kuno dan tersebar luas yang boleh dianggap melambangkan kehidupan abadi atau kehidupan selepas mati.



"Simbolisme pohon ini jugamerujuk kepada cahaya dan ini adalah pandangan pengarang buku itu.

"Dia sudah membuat kajian secara spesifik ke atas bangunan atau binaan Divrigi Camii era Anatolia Seljuk yang dikenali sebagai Anatolia Alhambra di wilayah Sivas," katanya.

Pada masa sama katanya, pengarang buku Spirits of Wood juga menulis mengenai motif pohon kehidupan ini, yang turut ditemukan dalam bentuk ukiran, wayang kulit, tenunan dan sebagainya sekali gus menunjukkan dalamnya kepercayaan serta pengaruh motif berkenaan dalam budaya masyarakat Melayu.

Ombak beralun

Katanya, antara manuskrip alam Melayu yang dikesan mempunyai motif serupa adalah al-Quran (MSS 3238) yang dihasilkan antara 1700M sehingga 1800M.

"Ia adalah naskhah al-Quran yang dijilid dengan kulit keras bertinta emas lengkap dengan 114 surah terdiri daripada ayat-ayat Makiyyah dan Madaniyyah.

"Manuskrip ini mempunyai iluminasi indah bermotifkan hiasan flora berkerawang dan corak ombak beralun yang dilukis di antara garis bingkai bersimetri serta corak dedaun dan bunga berkerawang di empat penjuru atas dan bawah halaman dengan kombinasi warna merah, kuning, hijau, biru dan hitam.

"Penonjolan gaya seni hias sebegini lebih bercirikan gaya Pantai Timur dan kita dapat melihat pelbagai olahan motif berdasarkan kecerdasan watan penghias manuskrip Melayu lama," katanya.



Katanya, kedudukan Hayat Agaci dalam ragam hias manuskrip itu berada pada bahagian puncak kepala jidar (ruang di antara ruangan teks al-Quran dengan permukaan hujung lembaran) dan dibuat secara simetri.

Manuskrip kedua pula ialah MSS 5116, naskhah al-Quran gaya Patani yang bermula dari surah al-Baqarah sehingga surah al-lkhlas.

Katanya, bagi kedua-dua manuskrip itu, terdapat persamaan dari segi rupa iaitu kubah yang menghunjam ke atas dengan bahagian sisinya seperti sulur.

Manuskrip ketiga yang dikaji ialah MSS 2314 yang mengandungi bacaan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW berserta terjemahannya.

"Di beberapa halaman manuskrip ini mempunyai pelbagai catatan yang ditulis oleh beberapa orang penyalin dengan hiasan berbentuk kubah bermotif tumbuhan berwarna merah, hitam, hijau, biru dan kuning.

"Pada masa sama, terdapat juga hiasan rupa bulat dan corak geometrik pada permulaan ayat berwarna kuning dan jingga selain pembahagi ruang yang turut dihias dengan corak geometrik dan motif tumbuhan," katanya.

Bayam Peraksi

Katanya, dalam beberapa manuskrip yang dikaji itu, manuskrip gaya Madura sangat ketara menampilkan ciri rupa bentuk motif Hayat Agaci yang berada pada empat penjuru jidar.

Harleny turut berkongsi pengalaman kajian terdahulu dan rasa terujanya mengenal pasti jenis motif yang terdapat pada ukiran mimbar gaya Pantai Timur.

Katanya, dia membuat penerokaan di kawasan kampung sekitar Pasir Puteh, Kelantan dan meminta bantuan daripada masyarakat setempat untuk mencarikan tumbuhan sebenar bagi melihat ciri-ciri rupa bentuk yang jelas secara nyata.

"Sebelum ini, ketika di awal kajian mimbar, saya tidak pernah mendengar motif Bayam Peraksi dan setelah mengetahuinya, saya begitu teruja melihat bagaimana rupa bentuk sebenar tumbuhan itu secara realitinya.

"Sebaik membuat carian, Bayam Peraksi adalah motif istimewa yang bukan sahaja diserlahkan dalam ukiran kayu tradisional masyarakat Melayu lama, bahkan turut dikenal sebagai tumbuhan herba dalam perubatan masyarakat Melayu lama," katanya.

Katanya, hasil dapatan kajian berkaitan motif dalam ragam hias pada manuskrip nusantara ini mempunyai persamaan yang amat ketara dengan pengaruh identiti era Turki Uthmaniyah.

"Selain itu, wujudnya pertembungan budaya di antara kedua-dua batasan kajian dilihat sebagai asimilasi budaya yang berkembang dan memperkaya identiti visual budaya bangsa," katanya. - BH Online



Pages: [1]
View full version: Motif seni Uthmaniyah pengaruhi hiasan manuskrip Melayu


ADVERTISEMENT