Sesuaikah saya menjadi doktor?
Bidang perubatan antara pilihan yang sering dipertimbangkan oleh lepasan SPM cemerlang. Menjelang 2030, Malaysia memerlukan sekitar 114,187 doktor perubatan, namun sebelum membuat pilihan, sebaiknya anda memahami dengan jelas kelebihan dan cabaran kerjaya ini.
Perjalanan kerjaya perubatan mengambil masa yang agak panjang. Selepas program persediaan (satu hingga dua tahun), pelajar perlu menamatkan ijazah sarjana muda perubatan (lima ke enam tahun) dan latihan perubatan siswazah (dua tahun),
Sehingga kini, terdapat lebih kurang 25 bidang kepakaran yang diiktiraf Majlis Perubatan Malaysia termasuklah pakar perubatan, pembedahan, perubatan nuklear dan perubatan sukan. Untuk menjadi pakar, anda perlu menjalani latihan selama empat tahun, manakala bergelar pakar perunding, memerlukan doktor pakar menjalani latihan subkepakaran selama tiga tahun.
Justeru, minat mendalam dalam bidang ini adalah keutamaan, bukan memilihnya disebabkan desakan keluarga. Selain minat, semangat altruisma (berbuat kebajikan tanpa mengharap balasan) dan iltizam kemanusiaan yang tinggi juga memainkan peranan.
Pelajar yang berminat haruslah menyertai laluan kemasukan yang sesuai seperti asasi, matrikulasi, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia, diploma atau peringkat A Level. Pastikan juga anda menguasai subjek Biologi dan Kimia serta purata nilai gred kumulatif (CGPA) yang cemerlang.
Memilih bidang perubatan bermaksud anda haruslah bersedia untuk komited mempelajari silibus yang semakin berkembang. Namun, prestasi akademik cemerlang bukanlah satu-satunya faktor kejayaan dalam program perubatan. Kajian menunjukkan pencapaian akademik hanya menyumbang 23 peratus daripada prestasi semasa latihan perubatan, dan hanya enam peratus daripada prestasi semasa latihan kepakaran.
Kejayaan dalam bidang perubatan tidaklah bergantung kepada kebolehan menghafal, sebaliknya memerlukan anda menguasai kemahiran berfikir secara kritis. Seseorang doktor perlu menganalisa situasi pesakit yang berbeza-beza dan mengaplikasikan ilmu yang dipelajari. Pada situasi kecemasan, mereka juga perlu membuat keputusan penting dalam masa singkat.
Kebolehan berkomunikasi dan mengambil sejarah pesakit dengan baik juga adalah faktor penting membuat diagnosis tepat. Dalam era penjagaan berpusatkan pesakit, mereka mahukan doktor yang mampu berkomunikasi dengan baik dan menunjukkan sifat empati. Kemahiran ini bukan sahaja membantu membina kepercayaan dengan pesakit, malah dapat mengurangkan risiko salah faham yang membawa kepada tindakan saman.
Doktor tidak bekerja sendirian, sama ada semasa latihan atau alam pekerjaan, sebaliknya bekerjasama dengan jururawat, pegawai farmasi dan ahli terapi. Doktor juga perlu sentiasa bersedia membentangkan kes pesakit bagi mendapatkan pandangan daripada bidang kepakaran lain.
Melihat kepada keperluan komunikasi yang amat baik, adalah penting untuk mengenalpasti kewujudan ciri-ciri autisma fungsi tinggi pada pelajar. Pelajar autisma fungsi tinggi mempunyai IQ luar biasa dan berupaya belajar dengan cemerlang dalam tahun praklinikal.
Namun mereka berkemungkinan berhadapan dengan cabaran apabila sampai ke fasa klinikal membabitkan interaksi sosial yang intensif dengan pesakit dan staf-staf perubatan lain.
Kerjaya ini bukanlah bidang penuh pesona seperti yang sering dilihat di kaca televisyen. Walaupun waktu syif sudah diperkenalkan, doktor lazimnya bekerja dalam waktu kerja yang panjang. Situasi bekerja yang tidak sama setiap hari juga menuntutdoktor bersedia sepanjang masa. Ada kalanya, pesakit boleh rebah secara tiba-tiba, atau bilangan pesakit meningkat dengan mendadak. Jadi, stamina fizikal amat penting untuk menghadapi situasi sebegini.
Dalam suasana genting, doktor perlu kekal tenang, berfikir pantas, dan membuat keputusan yang tepat tanpa membiarkan emosi menguasai tindakan. Doktor juga perlu mengawal emosi apabila berhadapan dengan situasi penuh tekanan, seperti kehilangan pesakit atau berhadapan dengan keluarga mereka yang kecewa.
Dahulu, profesion doktor dikaitkan dengan jaminan kerjaya kerajaan. Melalui polisi terkini, graduan jurusan perubatan dari universiti yang diiktiraf diberikan pos kontrak untuk menjalani latihan perubatan siswazah.
Setelah tamat latihan, mereka boleh diserapkan kepada status lantikan tetap dalam Kementerian Kesihatan Malaysia. Dalam situasi semasa, kerajaan berhasrat untuk menyerap 12,000 doktor kontrak ke pos tetap sehingga 2025.
Bagi doktor kontrak yang tidak diserap ke pos tetap, mereka juga boleh menyambung latihan kepakaran melalui program Hadiah Latihan Persekutuan. Namun tidak dinafikan, perubahan polisi ini mendorong graduan perubatan untuk menerokai kerjaya di luar negara.
Dalam era perubatan yang kian berkembang, potensi kerjaya graduan perubatan juga tidak terhad kepada rawatan pesakit. Graduan perubatan boleh mengembangkan kerjaya dalam bidang pendidikan tinggi, penyelidikan, pentadbiran, khidmat rundingan, dan menceburi pelbagai kerjaya yang menyangga amalan klinikal atau mempunyai pertindanan dengan bidang perubatan.
Walaupun latihan serta kerjaya dalam bidang ini penuh dengan cabaran, ia memberi kepuasan tersendiri dan impak besar, bukan sahaja kepada pesakit tetapi juga negara.
Malaysia memerlukan lebih ramai doktor untuk memastikan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti untuk semua lapisan masyarakat. Oleh itu, penting bagi pelajar yang berminat dan berkelayakan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan.
Hari ini terdapat beberapa cabaran dalam polisi semasa, seperti isu doktor kontrak, justeru kita berharap kerajaan akan terus memperbaiki dasar-dasar demi mengukuhkan sistem kesihatan negara serta memelihara kebajikan profesion ini.
* Dr Nurhanis Syazni Roslan adalah Pensyarah Perubatan, Universiti Sains Malaysia
* Prof Dr Zaleha Abdullah Mahdy, ahli Academy of Medicine Malaysia
Pages:
[1]