Hak Khunsa Dalam perkahwinan Walaupun khunsa mempunyai dua alat kelamin, namun ia tidak menghalangnya membina sebuah keluarga. Perkahwinan adalah fitrah dan keinginan setiap manusia termasuk golongan khunsa.
Meskipun begitu, Islam membataskan had demi menjaga maqasid syariah. Oleh itu, Islam meletakkan bahawa harus bagi seorang khunsa wadih berkahwin dengan pasangan yang berbeza jantina. Ibn Qudamah menyatakan, jika tanda menunjukkan jantina jelas, tidak menjadi masalah baginya berkahwin.
Namun begitu, tidak bagi khunsa musykil, di mana majoriti ulama menyatakan bahawa tidak sah perkahwinan golongan ini. Ini disebabkan jantina khunsa itu sendiri tidak mampu dikenal pasti dan mempunyai pelbagai kemungkinan sama ada dia lelaki ataupun perempuan.
Namun begitu, jika golongan khunsa musykil ini didatangi nafsu syahwat, bagaimana cara mengatasinya? Rasulullah SAW bersabda dalam hadis bermaksud: “Barang siapa di antara kamu berkemampuan, maka laksanakanlah perkahwinan kerana sesungguhnya ia mampu menjaga pandangan dan kemaluan kamu (daripada zina). Dan barang siapa yang tidak mampu, maka berpuasalah. Sesungguhnya puasa itu mampu menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang terlarang.”
Bagaimanpun, sekiranya mereka tidak mampu berpuasa dan dalam keadaan seperti ini, Sheikh Muhammad Bin Shalih al-Utsaimin, ulama kontemporari dalam bidang sains fiqh menyatakan, adalah perlu untuk mereka mendapatkan nasihat doktor serta mengambil ubat-ubatan disarankan.
|