Sejak kebelakangan ini semakin ramai penduduk di Malaysia umumnya mempunyai pelbagai masalah penyakit. Hal ini seterusnya sedikit sebanyak telah menjejaskan kualiti ibadah terutamanya yang ingin meraih banyak pahala di bulan Ramadan.
Terdapat beberapa pertanyaan yang sering bermain di fikiran masyarakat berkaitan solat. Tetapi disebabkan keterbatasan ilmu mereka tidak tahu dimana untuk mendapatkan jawapan untuk kepastian.Antaranya yang menjadi tanda tanya adalah berkaitan dengan hukum solat di atas kerusi.Adakah sah atau tidak? Bagaimana keadaan yang dikatakan sah solat diatas kerusi dan bagaimana pula dikatakan haram.
Kenapa solat atas kerusi haram ???.
Adapun begitu kami cuba mencari kepastian daripada sumber-sumber lain yang sahih. Kami mendapatkan rujukan daripada mufti wilayah persekutuan. Berikut adalah jawapan dan penjelasan lengkap daripada mufti berkenaan solat di atas kerusi.
Solat merupakan suatu ibadah yang paling besar dalam kehidupan setiap insan yang beragama Islam. Perintah untuk bersolat dalam setiap keadaan baik ketika bermusafir atau bermukim, dalam keadaan sakit atau sihat, sama ada solat dilakukan secara berdiri, duduk, atau dalam keadaan berbaring, semua ini jelas menunjukkan akan peri pentingnya kedudukan solat di dalam agama kita.
Kebelakangan ini, kami sering diajukan soalan berkenaan permasalahan solat secara duduk di atas kerusi. Justeru, dalam ruangan Tahqiq al-Masail edisi kali ini kami akan mengupas berkenaan satu isu penting yang sering menjadi pertanyaan di minda masyarakat awam dengan tajuk yang kami namakan: Persoalan Dan Juga Hukum-Hakam Yang Berkaitan Dengan Isu Solat Duduk Di Atas Kerusi.
Kedudukan Solat Di Dalam Kehidupan
Peri pentingnya solat dapat dilihat melalui beberapa nas dari al-Quran mahupun al-Sunnah. Berdasarkan sebuah riwayat daripada Abdullah Ibn Umar R.Anhuma beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
‏ بُنِيَ الإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ وَإِقَامِ الصَّلاَةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَحَجِّ الْبَيْتِ وَصَوْمِ رَمَضَانَ
Maksudnya: Dibina Islam itu di atas lima iaitu kalimah La Ilaaha IllaLlaah dan sesungguhnya Muhammad itu adalah hamba dan Rasul-Nya, dan mendirikan solat, menunaikan zakat, menunaikan haji di baitullah, serta berpuasa pada bulan Ramadhan.
Riwayat Muslim (16)
Hadis ini jelas menunjukkan bahawa ibadah solat adalah merupakan salah satu rukun daripada lima rukun Islam yang wajib dilaksanakan bagi setiap muslim yang mukallaf.
Hukum Solat Secara Duduk Di Atas Kerusi
Di antara dalil yang membolehkan seseorang itu solat dalam keadaan duduk sekiranya dia tidak mampu untuk solat secara berdiri adalah sebuah riwayat daripada ‘Imran bin Husin R.A yang mana beliau mengadu kepada Rasulullah bahawa dirinya mengalami penyakit buasir.
Maka Rasulullah S.A.W bersabda:
صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ Maksudnya: Solatlah kamu dalam keadaan berdiri, sekiranya kamu tidak mampu (untuk berdiri) maka solatlah dalam keadaan duduk, dan sekiranya kamu tidak mampu untuk solat secara duduk, maka solatlah di atas lambung.
Riwayat Al-Bukhari (1117)
Kata Imam Ibn Hajar al-Asqalani Rahimahullah apabila mensyarahkan hadis ini: Hadis ini menunjukkan bahawa tidak dibolehkan seseorang yang sakit itu berpindah kepada duduk (ketika solat) melainkan setelah dia tidak mampu untuk berdiri.
Telah berkata ‘Iyadh daripada Imam al-Syafie dan daripada Imam Malik, Imam Ahmad serta Ishak bahawa tidak disyaratkan tidak mampu berdiri bahkan cukup jika wujudnya masyaqqah (kesusahan).
Yang makruf di sisi ulama’ al-Syafie’yyah bahawa yang dimaksudkan dengan ternafinya kemampuan dengan wujudnya kesusahan yang berat sekiranya berdiri, atau dikhuatiri sakit itu semakin teruk atau berlaku kerosakan dan tidaklah berpada dengan masyaqqah (kepayahan) yang ringan.
Antara kesusahan yang berat itu adalah seperti pening kepala pada hak orang yang menaiki kapal dan takut akan tenggelam jika dia solat dalam keadaan berdiri di dalam kapal tersebut. Adakah dikira tidak mampu (berdiri) seseorang yang bersembunyi ketika berjihad dan jika dia solat dalam keadaan berdiri maka musuh akan melihatnya. Maka dengan itu, dibolehkan baginya untuk solat dalam keadaan duduk atau tidak pada waktu itu. Terdapat pada masalah ini dua pandangan disisi ulama’ al-Syafie’yyah, yang paling tepat adalah dibolehkan tetapi perlu diqadha’ kerana itu adalah uzur yang jarang berlaku. Lihat: Fath al-Bari, Ibn Hajar (588/2).
Pendapat Para FuqahaKata Imam Al-Nawawi Rahimahullah: Sekiranya seseorang (yang solat secara berdiri) itu takutkan kesusahan yang kuat atau bertambahnya kesakitan, ataupun seorang yang berada di atas sampan takut tenggelam (jika solat berdiri) ataupun dia berasa pening kepala maka dia boleh untuk solat secara duduk serta tidak perlu untuk mengulanginya. Lihat Al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, Al-Nawawi (4/310).
Kata Imam Al-Nawawi dalam Al-Majmu’, Al-Nawawi (4/226) lagi: Umat telah bersepakat bahawa sesiapa yang tidak mampu untuk berdiri di dalam solat fardhu maka dia boleh melakukannya secara duduk dan solat tersebut tidak perlu diulangi. Demikian juga pahalanya (solat secara duduk) tidak berkurang daripada solat secara berdiri kerana dia diberikan keuzuran. Telah sabit di dalam Sahih Al-Bukhari bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda:
إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ كُتِبَ لَهُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا
Maksudnya: Apabila seseorang hamba itu sakit ataupun dia bermusafir akan dituliskan (ganjaran) untuknya sama seperti mana yang dilakukan oleh seorang yang dalam keadaan bermukim dan juga seorang yang dalam keadaan sihat.
Riwayat al-Bukhari (2774)
Manakala Imam Al-Syaukani Rahimahullah ketika mengulas hadis Imran bin Husein R.A di atas berkata: Hadis Imran menunjukkan kepada keharusan bagi sesiapa yang mempunyai keuzuran yang menyebabkan dirinya tidak mampu berdiri untuk solat dalam keadaan duduk.
Manakala sesiapa yang mempunyai keuzuran yang menyebabkan dirinya tidak boleh duduk maka dia boleh untuk solat di atas lambungnya. Rujuk Nail Al-Authar, Al-Syaukani (3/243).
Kata Imam Ibn Qudamah Al-Maqdisi Rahimahullah: Telah ijma’ (sepakat) para ulama bahawasanya sesiapa yang tidak mampu untuk solat secara berdiri maka dia boleh melakukannya secara duduk. Lihat Al-Mughni, Ibn Qudamah (1/443).
Keadaan Yang Membolehkan Seseorang Solat Secara DudukDi dalam kitab-kitab feqh para ulama terdahulu, terdapat beberapa perkara yang dianggap sebagai masyaqqah (kepayahan) yang membolehkan seseorang itu solat secara duduk. Berikut kami nyatakan beberapa contohnya: - Tidak mampu untuk berdiri.
- Mempunyai penyakit yang akan bertambah teruk sekiranya dia bersolat secara berdiri.
- Seseorang yang berada di atas kapal, sampan, ataupun perahu, yang takut akan tenggelam sekiranya dia melakukan solat secara berdiri di atas kenderaan tersebut.
- Seseorang yang berasa pening kepala.
- Sakit yang boleh mengganggu khusyuk di dalam solat.
- Solat di atas kapal terbang jika dikhuatiri jatuh apabila dilakukan solat secara berdiri.
- Solat di dalam keretapi seperti perkhidmatan ETS (Electric Train Service) dan seumpamanya.
- Seseorang yang mengalami penyakit salis al-baul. Yang mana jika dia berdiri akan menyebabkan air kencingnya mengalir.
Ini semua adalah berdasarkan kata-kata Imam Al-Nawawi Rahimahullah: Sekiranya seseorang (yang solat secara berdiri) itu takutkan kesusahan yang kuat atau bertambahnya kesakitan, ataupun seorang yang berada di atas sampan takut tenggelam (jika solat berdiri), ataupun seseorang berasa pening kepala maka dia boleh untuk solat secara duduk serta tidak perlu untuk mengulanginya. Lihat Al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, Al-Nawawi (4/310).
Begitu juga berdasarkan pendapat yang disebut oleh Imam Al-Ramli yang menyatakan bahawa dibolehkan untuk seseorang itu solat secara duduk apabila terdapatnya masyaqqah (kepayahan) yang boleh menghilangkan kekhusyukan semasa solat. Lihat Al-Taqrirat Al-Sadidah, Hasan Bin Ahmad Al-Kaf (214).
Kata Imam al-Haramain Abdul Malik al-Juwaini: Aku berpandangan bahawa kriteria tidak mampu berdiri itu adalah sekiranya dia berdiri, akan menyebabkan masyaqqah yang menghilangkan kekhusyukannya. Rujuk al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, al-Nawawi (4/310).
Selain itu, kami juga menyatakan bahawa dibolehkan juga bagi sesiapa yang melakukan solat di atas kapal terbang untuk solat secara duduk demikian juga halnya bagi sesiapa yang menaiki keretapi dan ingin melakukan solat di dalamnya.
|