SESUNGGUHNYA haram menyamakan kalam Allah dengan kalam manusia iaitu kata-kata manusia yang bersifat bersuara dan berhuruf.
DEWASA ini muncul Sufaha Al-Ahlam yang mengatakan bahawa al-Quran yang tertulis di mashaf yang berbentuk buku itu adalah bukan makhluk. Hal ini terjadi kerana mereka gagal memahami aspek khaliq, sifat khaliq, makhluk dan juga sifat makhluk.
Sufaha Ahlam ini sebenarnya menyamakan Allah itu dengan makhluk. Hal ini kerana mereka menyamakan hasil tulisan manusia/mesin di mashaf itu dengan Kalamullah yang qadim. Mereka berpandangan bacaan al-Quran yang dilafazkan oleh lidah manusia yang berbentuk suara juga merupakan bukan makhluk.
Hal ini terjadi disebabkan gagal memahami aspek ta'alluq sifat kalam suluhi qadim, tanjizul qadim dan tanjizul hadis. Ini juga bermakna mereka tidak dapat bezakan antara kalamun nafsi dan kalamul lafzi.
Kegagalan memahami hal ini menyebabkan dua fahaman yang ekstrim iaitu Muktazilah dan juga Mujassimah (Gulatul Hanabilah). Fahaman Muktazilah berpandangan al-Quran itu makhluk daripada aspek di Luh Mahfuz dan juga yang tertulis di mashaf. Manakala fahaman Mujassimah (Gulatul Hanabilah) pula beranggapan bahawa al-Quran itu bukan makhluk sama ada di Luh Mahfuz dan juga yang tertulis di mashaf al-Quran.
Kedua-dua fahaman yang ekstrim tersebut berbeza dengan fahaman wasatiyyah yang diketengahkan Ahli Sunnah Wal Jama'ah.
Menurut Ahli Sunnah Wal Jama'ah Kalamullah itu adalah sifat Allah yang qadim. Apabila sifat Allah, maka ia bukan makhluk. Al-Quran pula adalah kalamullah yang qadim secara nafsi. Namun al-Quran yang berbentuk lafaz, huruf, kalimah, sebutan serta suara yang tertulis di dalam mashaf adalah makhluk.
Golongan Wahabi, Ghulatul Hanabilah dan Mujassimah menyatakan bahawa tulisan al-Quran di mashaf itu juga adalah bukan makhluk. Situasi ini akan menyebabkan kalamullah yang qadim dan kalam manusia yang membaca al-Quran adalah sama taraf. Hal ini kerana sebutan dari lidah manusia yang membaca al-Quran juga dikatakan bukan makhluk menurut mereka. Sedangkan hakikatnya sebutan lafaz lisan manusia yang membaca al-Quran adalah sesuatu keadaan yang baharu bukan qadim. Pandangan ini menyamakan ciptaan manusia itu (Tulisan Tekstual al-Qur'an di Mashaf / suara manusia yang membaca al-Qur'an) sama dengan sifat Allah (Kalam).
Ia juga menyebabkan mesin yang mencetak mashaf al-Quran, CD atau kaset yang mengalunkan al-Quran atau manusia yang membaca al-Quran itu sebagai qadim. Apabila qadim, ia telah menyamakan keadaan tersebut dengan Allah yang bersifat qidam. Sedangkan tulisan al-Quran di mashaf, suara bacaan al-Quran dari CD kaset atau peti suara manusia yang membaca al-Quran itu hakikatnya adalah situasi yang baharu dan ia adalah makhluk serta bukan qadim.
Oleh sebab itulah Ahli Sunnah Wal Jamaah telah membahagikan Kalamullah itu kepada kalamun nafsi dan kalamul lafzi. Hakikat kalamullah itu adalah sifat Allah yang qadim dan bukan makhluk. Adapun kalamul lafzi yang tertulis di mashaf al-Quran itu adalah makhluk kerana ia benda yang baharu tercipta kerana ia ada pemulaan.
Al-Quran yang tertulis di mashaf itu boleh terhapus, boleh dibakar, boleh terpadam dan sebagainya. Kesemua ini adalah makhluk kerana ia boleh hilang dan boleh ditiadakan. Golongan Sufaha' Al-Ahlam kini mengatakan ia bukan makhluk. Apabila dikatakan sedemikian maka tulisan di mashaf itu tidak boleh terhapus, tidak boleh dipadam dan tidak boleh dimusnahkan kerana ia qadim. Namun ia sebaliknya iaitu ia boleh dihilangkan dan dihapuskan. Maka situasi ini menunjukkan ia adalah makhluk.
Pandangan yang mengatakan tulisan al-Quran yang berhuruf itu adalah bukan makhluk akan menyebabkan penyamaan kalam Allah dengan kalam makhluk. Hal ini kerana hakikatnya kertas yang berisi tulisan al-Quran itu boleh terhapus dan dihilangkan.
Sesungguhnya haram menyamakan kalam Allah dengan kalam manusia iaitu kata-kata manusia yang bersifat bersuara dan berhuruf.
Menurut Ahli Mutakallimun Pattani yang membahaskan Kalamullah ini telah membahagikan kepada empat bahagian iaitu:
1) Kalamul nafsi: Ia adalah ilmu tentang kalam Allah yang ada pada diri Allah itu sendiri. Kalam ismi atau nafsi diterjemahkan dengan pekata, iaitu suatu sifat yang sedia ada pada Zat Allah. Kalam ini qadim kerana ia sifat Tuhan dan jenisnya ada. Maka kalam ini bukanlah daripada jenis huruf suara, terdahulu dan terkemudian. Ahli Sunnah Wal Jama'ah menyatakan bahawa Kalam Allah itu tiada huruf, tidak bersuara dan tiada struktur. Ia adalah ta'alluq sifat kalam saluhil qadim.
2) Kalamun nafsani: Kalam nafsani adalah qadim kerana ia adalah ta'alluq dalalah sifat Kalam Allah yang nafsi. Ia diterjemahkan dengan berkata-kata, namun bukannya berkata-kata sebenar lagi. Sebahagian ulama menterjemahkan dengan mensediakan perkataan sejak azali atau bercadang untuk berkata. Ia adalah kemampuan Allah berkata-kata sejak azali walaupun tiada makhluk diciptakan lagi. Allah sudah berkata-kata dengan makna tanpa suara, tanpa kalimah, tanpa tulisan dan tanpa struktur. Ia adalah ta'alluq sifat kalam tanjizul qadim. Ia adalah qadim bukan makhluk kerana ia adalah sifat Allah yang qadim yang berdiri dengan Zat Allah.
3) Kalamul masdari: Ia adalah ta'alluq kalam Allah atau disebut fungsi kalam Allah. Jika tiada fungsi bermakna kalam Allah tiada makna dan tidak bermanfaat. Apabila Allah ingin memerintahkan hamba-Nya melalui khitab perintah dan larangan, maka dijadikan kalam itu boleh didengari yang mana ia adalah dalil petunjuk kepada kalam Allah yang qadim yang sebenar. Maka terjadilah mendengar Ia diterjemahkan dengan berkata-kata, iaitu berkata-kata yang sebenar-benarnya. Kalam ini baharu dan jenisnya sungguh. Ia bukanlah sifat Tuhan cuma ia ta'alluq kalam Allah yang tanjizul hadis. Melalui kalamul masdari inilah Allah menciptakan (khalqu) kalam Allah yang lafzi. Ia adalah hadis (baharu) menurut Mazhab Al-Maturidiyyah dalam Aqaid Nasafiyyah seperti yang dijelaskan Taftazani, Ramadhan dan Kustulani.
4) Kalamul lafzi (Ma Hasala Bil Masdari): Ia hasil daripada fungsi kalam. Ia berbentuk lafaz, kalimah, perkataan, suara dan sebagainya. Maka di sinilah terhasil bayang-bayang kalam Allah iaitu al-Quran dan kitab-kitab samawi yang lain. Kalam lafzi ini adalah makhluk kerana tertulis di mashaf, berstruktur, berbunyi dan bersuara di mulut pembaca al-Quran dan dicetak oleh mesin cetak.
Maka pandangan Ahli Sunnah Wal Jama'ah dalam aspek kalam Allah ini adalah bersifat tanzih iaitu mensucikan Allah daripada sifat kekurangan dan membersihkan Allah daripada fahaman Musyabbihah yang menyamakan kalam Allah itu sama seperti kalam makhluk. Ia juga menolak fahaman ta'til yang dipegang oleh golongan Muktazilah yang menafikan sifat kalam Allah. Sesungguhnya kalam Allah adalah sifat Allah yang qadim yang sudah ada sejak azali dan bukan makhluk. Lalu termanifestasi ke dalam al-Quran yang diturunkan dari Luh Mahfuz melalui Malaikat Jibrail kepada Nabi Muhammad SAW yang tertulis di Mashaf berbentuk tekstual, berhuruf, berbahasa Arab dan ia adalah makhluk.
Penulis Felo Counter Narrative Centre for Countering Violent Extremism (CONCAVE), Islamic and Strategic Studies Institute (ISSI)