CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1814|Reply: 0

Percaya pada yang karut

[Copy link]
Post time 14-9-2021 01:10 AM | Show all posts |Read mode
Percaya pada yang karut



SETIAP orang Islam yang mukalaf dan berakal waras wajib percaya atau beriman kepada perkara ghaib.
Pada zaman dahulu, kepercayaan kepada semangat merupakan suatu kepercayaan yang meluas terdapat di kalangan orang Melayu terutama kepercayaan kepada semangat padi. Terdapat banyak upacara yang dijalankan oleh orang Melayu seperti semasa menyiapkan benih-benih padi, menyemai benih padi, mengubah anak padi, membela pokok padi dan menuai padi.

Selain itu, terdapat banyak jampi mantera, tangkal dan azimat yang digunakan untuk memanggil, memujuk dan menjaga serta mengawal semangat padi. Demikian pula terdapat upacara dan istiadat untuk menghalau pengaruh jahat, jin, hantu, jembalang, tikus, babi, burung dan seumpamanya yang telah dijalankan dalam bentuk berpuar, bersengketa, menghilirkan sumbang, puji padi, semah dan sebagainya. Tujuannya ialah untuk menjauhkan musuh-musuh ini atau supaya semua musuh ini tidak mengganggu semangat padi dan juga tanaman padi mereka.

Dalam masyarakat Melayu, semangat satu konsep umum yang mengandungi berbagai jenis hantu umpamanya yang menjaga tempat dipanggil penunggu, yang menjaga bumi digelar jembalang, manakala yang menjaga air, bulan dan matahari pula disebut mambang.   

Abdullah Munsyi turut mengesahkan orang Melayu masih berpegang pada kepercayaan purba dalam karyanya Hikayat Abdullah yang ditulisnya sekitar 1830-an. Walaupun Abdullah Munsyi mengkritik kepercayaan purba itu hampir 200 tahun yang lalu, namun pada alaf baru ini masih terdapat sebahagian umat Islam yang masih terpengaruh dan berpegang pada kepercayaan benda ghaib seperti toyol, pelesit, hantu, bomoh dan sebagainya.

Padahal, kepercayaan purba yang mengandungi unsur khurafat dan tahyul pada hakikatnya bukan sahaja bercanggah dengan akidah Islam, malah ia tidak dapat diterima realitinya oleh akal yang waras dan pertimbangan ilmu yang benar.

Kepercayaan orang Melayu terhadap perkara khurafat ada kaitannya dengan sejarah mereka itu sendiri. Sejarah orang Melayu yang banyak berbaur dengan kepercayaan animisme, tamadun atau kebudayaan Hindu dan sebagainya di samping kejahilan terhadap Islam terutamanya ilmu akidah Islam memberi sumbangan kepada berkembangnya kepercayaan yang bersifat khurafat di dalam kehidupan mereka. Ringkasnya, kepercayaan animisme dan Hindu-Buddha tidak mampu dipadam sepenuhnya daripada pemikiran dan pengamalan orang Melayu.  

Perlu ditegaskan kepercayaan kepada alam ghaib, jin dan sebagainya adalah sesuatu yang jelas di dalam al-Quran. Ini kerana istilah ghaib dan jin jelas terungkap di dalam al-Quran. Ini bermakna di dalam Islam, alam ghaib dan jin adalah persoalan yang wajib diimani kewujudannya sekalipun manusia tidak dapat melihatnya. Walau bagaimanapun, dalam masyarakat Melayu, alam ghaib dan jin dirujuk dengan istilah semangat, makhluk halus, hantu, jembalang, puaka, dewa, roh dan sebagainya.

Malah salah satu daripada ciri-ciri orang yang bertakwa kepada Allah ialah beriman kepada perkara ghaib.

Hal ini telah ditegaskan oleh Allah melalui firman-Nya yang bermaksud: "(Orang-orang yang bertakwa itu adalah) orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, mendirikan (mengerjakan) solat dan membelanjakan (mendermakan) sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka." (Surah al-Baqarah, ayat 3)

Menurut bahasa, istilah ghaib berasal daripada akar kata ghaaba-yaghiibu-ghaiban bermaksud sesuatu yang tidak dapat dilihat atau dirasai oleh pancaindera manusia yang lima kerana ia terlalu jauh atau pancaindera manusia tidak berupaya menjangkauinya.

Manakala menurut istilah pula, perkara ghaib merujuk kepada sesuatu yang tidak dapat dilihat atau dirasai oleh pancaindera yang lima bagi seorang manusia biasa, tetapi diakui dan diyakini dengan jalan pemerhatian dan fikiran berdasarkan dalil yang boleh diterima oleh akal yang sempurna dan waras seperti wujud Allah dan sifat-sifat-Nya, malaikat, Hari Akhirat, syurga, neraka dan lain-lainnya.

Ini bermakna perkataan ghaib adalah lawan kepada perkataan syahadah yang bererti sesuatu yang dapat dilihat atau disaksikan oleh pancaindera manusia yang lima. Dalam Islam, kedua-dua hal tersebut iaitu ghaib dan syahadah ini merupakan neraca piawaian yang akan mengukur sejauh mana tahap keimanan seseorang manusia terhadap Allah.

Secara umumnya, umat manusia yang mendiami alam semesta ini terbahagi kepada dua kategori. Kategori pertama ialah golongan manusia yang hanya percaya kepada benda yang nyata dan dapat dilihat sahaja, bahkan mereka tidak mengakui bahawa ada pula sesuatu yang lain di sebalik bumi yang nyata ini.

Dalam hal ini, mereka tidak percayakan ada Tuhan atau malaikat dan dengan sendirinya mereka tidak percaya pula akan adanya lagi kehidupan yang lain selain daripada kehidupan dunia yang mereka rasai kini. Mereka inilah yang terdiri daripada golongan komunis, ateis, sosialis dan sebagainya.

Kategori yang kedua pula ialah golongan yang percaya bahawa di sebalik kehidupan dunia yang bersifat sementara ini, ada satu alam ghaib yang tersembunyi daripada pengetahuan manusia. Perkara ghaib ini sebenarnya berada di bawah Ilmu Allah Yang Maha Berkuasa di atas segala sesuatu.

Semakin bertambah banyak pengalaman hidup yang diperoleh oleh seseorang manusia di atas pentas kehidupan ini, maka akan semakin bertambah mendalamlah kepercayaan dan keimanan seseorang Muslim kepada perkara ghaib yang mewarnai kelangsungan hidupnya menuju keredaan Ilahi. Kepercayaan kepada perkara ghaib ini bukan hanya terdapat pada agama Islam sahaja, bahkan penganut agama samawi seperti Kristian, Yahudi, Buddha dan sebagainya juga turut mempercayai perkara ghaib yang terdapat dalam ajaran masing-masing.  

Setiap orang Islam yang mukalaf dan berakal waras wajib percaya atau beriman kepada perkara ghaib tersebut kerana Allah Taala yang merupakan Tuhan yang disembah adalah Zat yang Maha Ghaib. Zat Allah tidak dapat dicapai oleh pancaindera manusia yang lima, sebaliknya Ia hanya dapat dicapai dan dirasakan oleh jiwa yang beriman dan bertakwa. Kewujudan Allah dan kehadiran-Nya akan menjadi jiwa sanubari orang yang beriman itu menjadi tenang dan tenteram.

Selain itu, Allah juga telah menciptakan banyak makhluk yang tidak dapat dilihat dan disaksikan oleh pancaindera manusia seperti malaikat, jin dan syaitan. Ketiga-tiga makhluk ini mempunyai karakter berbeza di antara satu sama lain. Malaikat adalah makhluk Allah yang diciptakan daripada cahaya, memiliki sifat atau watak yang tetap iaitu sentiasa taat dan patuh melaksanakan segala apa yang diperintahkan oleh Allah. Oleh kerana itu malaikat akan sentiasa memberi ilham dan petunjuk kepada manusia agar sentiasa taat dan patuh kepada Allah.

Syaitan pula adalah makhluk yang Allah ciptakan daripada api, pada hakikatnya dia adalah musuh Allah yang selalu menggoda dan mendorong manusia supaya ingkar dan melakukan maksiat yang dilarang Allah, malah dia membisik dalam jiwa manusia agar tidak percayakan Allah di samping mendorong mereka untuk melakukan berbagai-bagai kejahatan dan kezaliman di atas muka bumi ini.

Sebaliknya jin pula adalah makhluk yang Allah ciptakan daripada api juga, tetapi memiliki karakter yang sama dengan manusia. Dengan lain perkataan, di kalangan jin tersebut ada yang ingkar dan kufur kepada Allah dan ada pula sebahagian jin yang taat dan beriman kepada Allah. Makhluk jin ini pada hakikatnya tidak dapat mempengaruhi manusia kerana mereka sendiri juga mendapat godaan dan bisikan syaitan sama seperti manusia. Oleh sebab itulah di kalangan jin itu ada yang beriman dan ada juga yang kafir.  

Demikianlah antara pengertian perkara ghaib yang wajib diimani oleh setiap Muslim yang mukalaf. Perlu diinsafi bahawa matlamat utama kepercayaan terhadap perkara ghaib ialah untuk menguji keimanan setiap Muslim ke hadrat Ilahi. Malah kesemua rukun iman yang wajib menjadi pegangan setiap Muslim pun berasaskan kepada perkara ghaib juga bermula daripada beriman kepada Allah hinggalah kepada beriman terhadap qada dan qadar Allah.

Penulis Profesor Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Sumber:https://www.hmetro.com.my

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

23-11-2024 11:36 PM GMT+8 , Processed in 0.052367 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list