View: 1269|Reply: 0
|
[Lain-Lain]
Novel sejarah perlu difilemkan
[Copy link]
|
|
Novel sejarah perlu difilemkan
Novel sejarah mampu memberi impak lebih mendalam kepada awam apabila difilemkan seperti filem Mat Kilau yang mencetus fenomena, baru-baru ini. Gambar NSTP
KUALA LUMPUR: Novel sastera yang berunsurkan perjuangan melawan penjajah Tanah Melayu bagi membangkitkan semangat nasionalisme harus dihayati oleh generasi muda walaupun dunia kini sudah beralih kepada Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).
Pengkaji dan Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Dr Mohamad Saleeh Rahamad, berkata manusia boleh dibentuk pemikirannya dengan teks sastera sekiranya dibaca atau dipindahkan melalui perfileman yang dapat memberi impak lebih mendalam umpamanya seperti filem Mat Kilau baru-baru ini.
Katanya, menerusi filem Mat Kilau, selain teknik perfileman yang ditampilkan, isi kandungan Melayu melawan penjajah itu yang menarik perhatian yang secara tidak langsung memberi kesan halus kepada semangat nasionalisme itu
"Jika novel sejarah sebenar itu dapat dibaca oleh generasi muda, nescaya mereka tidak akan buta sejarah dan akan dapat manfaatnya.
"Novel sejarah adalah satu naskhah yang mengemukakan plot dan watak-watak sejarah yang sebenar berdasarkan peristiwa besar di negara ini.
"Jika peristiwa itu bersifat sejarah tetapi wataknya fiksyen, maka karya itu tidak dapat dianggap sebagai novel sastera kerana ia mesti menggabungkan kedua-dua elemen, barulah semangat nasionalisme itu dapat dirasai," katanya ketika mengupas tajuk, Novel Sejarah Pembangkit Nasionalisme menerusi Kuliah Penyelidikan Sastera yang disiarkan secara langsung menerusi laman sosial Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohamad Saleeh berkata, tidak dinafikan di mana-mana negara pascakolonial sebelum ini, sastera memainkan peranan secara halus untuk menundukkan semangat peribumi kerana mereka tidak dapat menakluk sepenuhnya.
"Dari sudut pemikiran, mereka gunakan karya kesusasteraan untuk mengabsahkan kuasa mereka dan meyakinkan peribumi bahawa penjajah adalah kuasa yang perlu bagi peribumi.
"Melalui teks sastera, mereka memberikan satu gambaran bahawa Barat adalah kuasa besar, bawa tamadun dan peribumi perlu terima.
"Namun, atas kebijaksanaan pengarang peribumi menerusi pendidikan dan pembacaannya, mereka perlu lawan perkara yang sama juga, iaitu melalui pemikiran juga," katanya.
Beliau berkata, fungsi novel sejarah itu kemudiannya dihidupkan oleh pengarang yang terdiri daripada guru-guru Melayu, namun disebabkan Inggeris memberi penekanan dalam sistem pendidikan negara ketika awal tahun 20-an, pejuang intelektual tidak berani menyuarakan pandangan.
"Ini satu bentuk tekanan halus kerana Inggeris meminggirkan sejarah nasional dan dalam sistem pendidikan negara kita dapati yang diangkat ialah tokoh-tokoh Barat.
"Ini kerana tanah air kita masih dijajah oleh kolonial," katanya.
Namun, pada tahun 1937, novel Putera Gunung Tahan menunjukkan semangat nasionalisme dan dari situ sudah terlihat bibit kesedaran sejarah.
Selain itu, ada rangsangan lain yang menggerakkan perkembangan novel sejarah iaitu Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Tanjung Malim di mana kebebasan diberikan dan menggerakkan kesedaran peribumi untuk bangkit.
"Pengajarnya sangat nasionalisme seperti Abdul Hadi Hassan dan Buyong Adil dan dari situlah kita lihat banyak karya lahir terutamanya oleh Ahmad Bakhtiar dan Harun Aminurrashid.
"Di MPSI, ia sudah kemukakan satu bentuk kurikulum yang mengangkat sejarah peribumi. Selepas penjajahan Jepun, semangat nasionalisme dan gerakan terbuka berbanding zaman kolonial.
"Selepas kekalahan Jepun, banyak novel sejarah terhasil seperti Panah Beracun, Keris Melaka, Korban Keris Melaka dan sebagainya malah sejarah Melaka adalah sesuatu yang popular ketika itu," katanya.
Beliau berkata, pada tahun 50-an, novel sejarah tidak menunjukkan pendekatan besar tetapi dengan munculnya Harun Aminurrashid dengan novel Panglima Awang pada tahun 1958, ia menjadi satu titik tolak yang berpengaruh.
"Persekutuan Tanah Melayu merdeka pada Tahun 1957 dan beliau merebut peluang itu untuk lahirkan teks bagi memberi kesedaran kepada peribumi amnya, berbanding pendedahan untuk Eropah saja.
"Ia kemudian menjadi buku teks di sekolah yang menjadi kebangsaan bangsa," katanya.
Selain itu, beliau berkata novelis Shaharom Hussain juga memperjuangkan novel sejarah yang bukan hanya membangkitkan semangat kebangsaan, tetapi merangkumi wacana bina negara bangsa.
"Beliau menggunakan novel sejarah untuk wacana balas kerana Barat menggunakan wacana pejuang tempatan sebagai pengkhianat antaranya Mat Kilau.
"Sebenarnya pengkhianat ialah penjajah dan pejuang peribumi adalah yang sepatutnya disanjung.
"Justeru teks kolonial itu haruslah dilawan dengan teks nasional, timur mesti mengangkat timur," katanya.
Justeru beliau berkata, dalam usaha menyebarkan semangat nasionalisme menerusi novel sejarah, Dewan Bahasa Pustaka sudah menjalankan tanggungjawab, dan berharap Kementerian Pendidikan (KPM) dapat merealisasikan perkara ini.
"Tetapi disebabkan faktor politik, ia menjadi tersepit bila elemen mengangkat kemelayuan itu sensitif untuk golongan lain.
"Dalam peristiwa novel Interlok pada tahun 1971, tiada isu pun ketika itu, tetapi apabila dipilih sebagai teks sekolah ada penentangan sebab ada unsur sensitif yang memperlihatkan berlakunya perubahan persepsi.
"Jadi satu kaedah perlu difikirkan untuk memastikan sastera Melayu itu dapat dibaca tetapi faktanya tidak boleh diseleweng," katanya.
Sumber:https://www.bharian.com.my/renca ... ah-perlu-difilemkan
|
|
|
|
|
|
|
| |
|