View: 653|Reply: 0
|
Penganjuran ATC 2022 berjaya mencapai matlamat
[Copy link]
|
|
SAINGAN ATC 2022 menerima sambutan menggalakan bukan sahaja melibatkan peserta tempatan, tetapi turut menerima penyertaan dari luar negara.
SAINGAN Piala Triatlon Asia (ATC) 2022 yang julung kali diadakan di Silverlake Village Outlet, Batu Gajah, Perak berjaya mencapai objektif ditetapkan penganjur, Persatuan Triatlon Perak.
Presidennya merangkap pengerusi jawatankuasa penganjur, Dr. Khoo Peng Chuan berkata, ATC 2022 selama tiga hari yang berakhir kelmarin dianggap berjaya khususnya dari segi penganjuran dan penyertaan atlet.
“Saya amat bersyukur dan berpuas hati apabila kami berjaya menganjurkan ATC 2022 di Silverlake Village Outlet dari hari pertama hingga terakhir semalam (kelmarin). Cuaca amat baik sepanjang tiga hari ini.
“Ia satu penganjuran yang cukup baik walaupun kali pertama kami adakan kejohanan berskala besar. Kehadiran peserta dari lima benua termasuk Asia membuktikan kejayaan kami,” katanya.
Hampir 90 atlet dari 25 buah negara mengambil bahagian dalam kategori elit lelaki dan wanita, manakala 327 peserta bertanding kategori Olympic Distance (OD) dan Sprint Distance (SD).
Biarpun mendapat sambutan hangat, tetapi Peng Chuan mengakui, pihaknya masih belum membuat keputusan mengenai penganjuran edisi tahun depan.
Bagaimanapun, Persatuan Triatlon Perak sedia menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak untuk menganjurkan ATC pada masa depan yang dilihat mampu memacu ekonomi di negeri Perak.
“Sudah tentu kami berminat untuk menjadi tuan rumah sekali lagi bagi kejohanan triatlon antarabangsa seperti ATC. Kami mengalu-alukan pihak di luar sana untuk bekerjasama.
“Kita sudah membuktikan menerusi penganjuran tahun ini apabila dapat menarik ramai peserta luar negara. Saya diberitahu atlet-atlet luar negara cukup teruja dapat bertanding di Malaysia,” jelasnya.
Selain wakil Asia iaitu Uzbekistan, Kazakhstan, Jepun, Korea Selatan, Hong Kong dan beberapa negara jiran Asia Tenggara, penganjuran ATC itu turut berjaya menarik penyertaan wakil Eropah.
Antaranya Jerman, Kanada, Sepanyol, Romania, Switzerland, Slovakia dan Luxembourg selain Palestin, Guam, Afrika Selatan serta India.
https://www.kosmo.com.my/2022/11 ... -mencapai-matlamat/ |
|
|
|
|
|
|
| |
|