Tetapi, dunia fesyen dikejutkan dengan berita kehilangan sosialit berusia 28 tahun itu yang lebih mesra dengan panggilan Abby Choi pada Selasa lalu dan kemudiannya digemparkan dengan penemuan bahagian tubuh miliknya, tiga hari kemudian.
Sebelum ini, ikon fesyen dan pempengaruh media sosial itu telah mencipta nama sebagai salah seorang individu paling disegani dalam industri berkenaan.
Wanita yang mempunyai gaya unik tersendiri itu bukan hanya popular di Hong Kong malah turut mempunyai peminat di seluruh dunia.
Abby sering dilihat menghadiri acara Paris Fashion Week dan tampil dalam sejumlah majalah terkenal seperti Elle, Vogue dan Harper's Bazaar.
“Saya adalah seorang individu yang sentiasa mengambil inspirasi dan mencuba gaya baharu. Kadangkala saya juga cuba mengenakan busana lebih mewah dengan gaya suai dan padan untuk tampak berbeza,” katanya menerusi wawancara baru-baru ini.
Tetapi, kehidupan glamor beliau berakhir dengan tragis apabila menjadi mangsa pembunuhan kejam yang dipercayai telah didalangi oleh bekas bapa mertuanya.
Siasatan awal pihak berkuasa mendapati rumah tiga tingkat yang menjadi lokasi penemuan bahagian tubuhnya dalam keadaan mengerikan dijadikan sebagai tempat 'menyembelih' Abby.
Beberapa laporan media mendakwa bekas bapa mertuanya tidak berpuas hati dengan cara pengendalian hartanah mewah yang menjadi punca pertikaian hingga mereka tergamak membunuhnya tanpa perikemanusiaan.
Pihak berkuasa sedang berusaha mencari bahagian kepala, tangan dan tubuh mangsa.
Hanya kaki dijumpai
Pada Jumaat, polis Hong Kong menyifatkan kejadian itu sebagai pembunuhan terancang susulan penemuan pelbagai bukti jelas di sebuah rumah di perkampungan Lung Mei Tsuen di Tai Po yang terletak di pinggir bandar raya tersebut.
“Kami sedang berusaha mencari kepala mangsa,” kata jurucakap polis, Alan Chung ketika mengesahkan sepasang kaki mangsa ditemui di dalam sebuah peti sejuk.Menurutnya, rumah itu turut dilengkapi dengan gergaji elektrik dan pengisar daging, namun tidak mempunyai sebarang perabot.
“Kami percaya kediaman itu disewa semata-mata untuk melupuskan mayatnya. Dua bekas mengandungi tisu manusia ditinggalkan di lokasi kejadian. Bahagian badan dan tangannya juga belum ditemui,” jelasnya lagi.
Sebagai usaha menjejaki bahagian lain tubuhnya, kira-kira 100 anggota termasuk penyelam dari unit khas digelar Flying Tigers telah dikerahkan untuk melakukan carian di kawasan tadahan air di tanah perkuburan Tseung Kwan O.
Operasi itu dilancarkan selepas siasatan awal mendapati bekas bapa mertua dan abang iparnya dilihat di kawasan itu pada Rabu, sehari selepas Abby dilaporkan hilang.
Ketika penemuan mengejutkan itu heboh diperkatakan media, bekas suaminya, Alex Kwong akhirnya berjaya ditahan di kawasan dermaga Tung Chung pada Sabtu.
“Kami percaya dia mungkin sedang menunggu bot laju sebagai cubaan untuk melarikan diri,” lapor South China Morning Post memetik sumber rapat dengan pihak berkuasa sambil menambah Kwong turut membawa wang tunai HK$500,000 (RM282,532) dan beberapa jam tangan mewah bernilai kira-kira HK$4 juta (RM2.3 juta) bersamanya.
Tanggung keluarga bekas suami
Walaupun sudah berpisah dengan Kwong, Abby dikatakan masih menanggung bekas suami dan keluarganya.
Wanita itu juga membeli hartanah di Kadoorie Hill di Ho Man Tin, sebuah kawasan kejiranan mewah di tengah Kowloon di bawah nama bekas bapa mertuanya.
Difahamkan, nilai pasaran hartanah itu dianggarkan berjumlah HK$45 juta (RM25.4 juta).
Pada tahun lalu, Abby memaklumkan rancangannya untuk menjual hartanah mewah tersebut.
Rancangan untuk menjual hartanah mewah Kadoorie Hill di Ho Man Tin telah mencetuskan kemarahan bekas bapa mertuanya.
Wanita jelita itu juga berjanji untuk menempatkan keluarga bekas suaminya ke kediaman lain, namun rancangan itu mencetuskan bantahan daripada mereka hingga membawa kepada pertengkaran mulut.
Siasatan pihak berkuasa juga mendapati Abby tidak mendaftarkan perkahwinan terbaharunya pada 2016 bersama Tam Chuk-Kwan anak kepada pengasas rangkaian restoran kasual di Hong Kong, TamJai Yunnan Mixian yang beroperasi di Tanah Besar China.
Kegagalan Abby berbuat demikian akan menyebabkan aset miliknya bakal diwarisi dua anaknya bersama Kwong.
Sementara itu, beberapa penduduk kampung itu menyatakan berasa 'terganggu' dengan insiden pembunuhan ngeri tersebut.
“Ada yang mencadangkan kami melakukan upacara keagamaan untuk menenangkan roh si mati,” kata seorang penduduk yang enggan identitinya didedahkan.
Sebelum wanita itu dilaporkan hilang, Abby dikatakan menaiki kereta bersama bekas abang iparnya yang bekerja sebagai pemandunya.
Tetapi, media tempatan melaporkan Abby tidak sempat mengambil anak perempuannya dan ia adalah kali terakhir wanita itu dilihat masih hidup.
Pada Ahad, bekas bapa mertuanya dan abang iparnya telah didakwa atas tuduhan membunuh manakala bekas ibu mertuanya berdepan tuduhan menghalang keadilan.
Ketiga-tiga suspek berusia antara 31 dan 65 tahun itu yang diberkas pada Jumaat akan dihadapkan di Mahkamah Bandar Kowloon pada Isnin. - Agensi