View: 2074|Reply: 0
|
Ziyad 'tercabar' catatan rekod kebangsaan Jonah
[Copy link]
|
|
ZIYAD (kiri) bersama rakan sepasukan, Mohamad Aliff Mohamad Awi menggigit pingat yang dimenangi dalam acara lontar peluru F20 pada temasya Sukan Para Asia Hangzhou 2022 di Stadium Huang Long semalam. -FOTO Bernama
Kuala Lumpur: Jaguh olahraga para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli mengakui 'tercabar' dengan kejayaan bintang dalam pembikinan Jonah Chang Rigan yang berjaya memecahkan rekod kebangsaan lontar peluru pada Kejohanan Balingan Asia 2023 di Mokpo, Korea Selatan, baru-baru ini.
Juara lontar peluru F20 (kecacatan intelektual) Sukan Paralimpik 2016 itu berkata kejayaan dilakar Jonah, yang merekodkan 17.67 meter (m) sekali gus memecahkan rekod kebangsaan 12 tahun milik Adi Alifuddin Hussin ketika Sukan Sea 2011 di Palembang, Indonesia (17.54m), sudah semestinya membakar semangatnya untuk cuba menyaingi atlet dari Sarikei, Sarawak itu.
"Bila ada pesaing macam Jonah, kita akan bersaing dengan sihat. Insya-Allah saya akan cuba lakukan lontaran berhampiran dengan dia punya jarak," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Walaupun bergelar atlet para, Muhammad Ziyad pernah bersaing dengan atlet normal selain menyumbang beberapa pingat untuk negara termasuk gangsa pada Sukan Sea 2023 di Phnom Penh, Kemboja, Mei lepas dengan catatan 17.30m.
Atlet berusia 33 tahun itu juga pernah membuat lontaran 17.94m yang melepasi rekod kebangsaan dicatat Adi Alifuddin, sewaktu beraksi pada Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo, sebelum penyertaannya dibatalkan susulan lewat tiba ke bilik panggilan sebelum turun beraksi di Stadium Olimpik Tokyo.
Muhammad Ziyad pada masa sama berazam untuk memadamkan rekod dunia lontar peluru F20 dipegang Maksym Koval iaitu 17.57m dengan melakukan lontaran 18m di Sukan Paralimpik 2024 sekali gus merampas emas dari wakil Ukraine itu.
Minggu lalu atlet kelahiran Selangor itu sekali lagi membuktikan penguasaannya di benua Asia selepas mempertahankan pingat emas lontar peluru F20 pada Sukan Para Asia (APG) Hangzhou 2022 dengan catatan 16.65m.
Dia mengatasi rakan senegara Mohamad Aliff Mohamad Awi, yang merangkul perak dengan catatan 13.75m, manakala atlet Thailand Sanepoot Boonkong memenangi gangsa (13.67m) pada aksi berlangsung di Stadium Pusat Sukan Huanglong.
Lebih manis, pencapaian membanggakan di APG Hangzhou menyaksikan beliau melakar kejayaan 'hatrik' memenangi emas lontar peluru F20 selepas menjuarai dua edisi terdahulu di Incheon, Korea Selatan pada 2014 diikuti Jakarta-Palembang, Indonesia pada 2018.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... od-kebangsaan-jonah |
|
|
|
|
|
|
| |
|