|
FINK ketika beraksi dalam acara 100m kuak dada lelaki di Doha. -FOTO AFP
Doha: Perenang Amerika Syarikat (AS), Nic Fink meraih emas dalam acara 100m kuak dada lelaki ketika bintang Britain, Adam Peaty terpaksa berpuas hati dengan gangsa selepas kembali membuat kemunculan di Kejohanan Dunia di Doha.
Fink, pemenang pingat perak dan gangsa pada dua edisi lalu, menang dengan catatan 58.57 saat (s) manakala juara dunia Itali 2022 Nicolo Martinenghi meraih perak, ketinggalan 0.27s di belakang.
Juara Olimpik berganda dan pemegang rekod dunia Peaty melengkapkan podium, mencatat masa 59.10s.
Atlet berusia 29 tahun itu muncul di kejohanan dunia buat kali pertama sejak 2019. Dia berehat seketika dari sukan renang tahun lalu untuk memberi perhatian kepada kesihatan mentalnya.
Tanpa kehadiran Peaty, Qin Haiyang dari China menyapu bersih acara 50m, 100m dan 200m kuak dada di Fukuoka, Jepun tahun lalu, menjadi ancaman serius kepada Peaty di Sukan Olimpik Paris nanti.
Namun Qin yang berusia 24 tahun tidak beraksi di Qatar untuk kejohanan dunia kali ini.
Peaty menyifatkan prestasi pingat gangsanya sebagai "pahit dan manis."
"Kelajuan berenang baik, dalam tempoh lima bulan akan datang, saya tahu ia akan bertambah baik dan itu yang akan saya tekankan tetapi kemahiran itu tidak cukup baik pada masa ini," komennya.
"Jadi ia adalah pahit dan manis kerana kami tidak datang ke sini untuk pingat, saya tidak terlalu menyasar pingat di sini kerana itu bukan sasaran, kami bekerja keras dan malam tadi memberi saya sedikit harapan bahawa saya boleh menjadi lebih pantas dari hari ini."
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... unia-100m-kuak-dada |
|