|
Pelakon legenda tanah air, Datuk Sarimah Ahmad, 82, mendedahkan dia kini pulih dari kanser kolon atau usus tahap tiga selepas disahkan menghidap penyakit itu pada 2022.
Sarimah ketika ditemui berkata, beliau bersyukur masih dikurniakan kesihatan yang baik oleh Allah sekali gus bebas daripada penyakit itu selepas menjalani pembedahan membuang kanser pada tahun sama.
"Saya kini menjaga kesihatan dengan memastikan pemakanan harian diambil adalah berkhasiat dan berasaskan organik berikutan tidak mahu menjalani rawatan kemoterapi kerana faktor usia yang sudah meningkat.
"Antara makanan harian saya itu adalah salad, buah naga, avocado, madu, telur ayam kampung dan beberapa kekacang. Alhamdulillah, setakat ini Allah berikan saya kesihatan yang baik," katanya.
Terdahulu, Sarimah yang juga antara pelakon berkaliber sejak era Studio Jalan Ampas menerima kunjungan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Ahmad Farhan Fauzi yang hadir ke kediamannya sempena Program Ziarah Madani, di sini, hari ini.
Bercerita mengenai simptom awal dialami sebelum dikesan menghidap kanser kolon itu, Sarimah berkata, beliau mulanya berasa sakit di bahagian perut dan sudah lama, namun menganggap ia mungkin sakit biasa.
"Bagaimanapun, saya akhirnya jatuh pengsan di bilik air di rumah dan anak bongsu terus bawa saya ke pusat perubatan di Shah Alam dan selepas buat pemeriksaan, doktor kata tak ada sakit serius dan hanya bekalkan ubat.
"Namun, ubat itu buat keadaan saya jadi lebih teruk dan kemudian dirujuk ke Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut apabila saya disahkan menghidap kanser kolon tahap tiga serta kena pembedahan segera.
"Tapi, ketika itu saya sebetulnya berhadapan masalah kewangan untuk membiayai kos rawatan yang dianggar hampir RM60,000. Namun, saya tidak mahulah menagih simpati dan cuba meminta bantuan ramai," katanya.
Sarimah yang mula berlakon dalam filem Ali Baba Bujang Lapok berkata, dia mengambil inisiatif berusaha mengeluarkan simpanan peribadi untuk membiayai kos rawatan penyakitnya kerana enggan mengharap simpati dan berhutang.
"Alhamdulillah, semuanya sudah selesai kerana saya memang tidak mahu susahkan sesiapa. Saya tak nak berhutang atau menagih simpati dengan sesiapa pun sebab tidak mahu jadi ungkitan pada masa akan datang," katanya.
Pada 2011, Sarimah yang mempunyai enam cahaya mata itu dilaporkan pernah disahkan menghidap kanser hidung, namun rezekinya diberikan kesembuhan juga oleh Allah.
Sumber : Harian Metro |
|