Edited by maklukpenggoda at 12-3-2024 12:05 AM
PETALING JAYA – Enggan membiarkan dirinya terus dihentam dan dibenci ramai, pelakon Ruhainies yang ditangkap atas tuduhan berkhalwat bersama Aliff Aziz pada awal pagi semalam membuka mulut menyangkal beberapa perkara dalam berita penangkapan tersebut sebagai tidak tepat.
Menerusi hantaran yang dikongsikan pemilik lengkapnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 32, dalam InstaStory, pelakon cantik itu dengan rendah diri ingin menepis beberapa dakwaan yang ditulis dalam laporan berita tentang kejadian tangkap khalwat melibatkan dirinya sebagai tidak benar.
“Assalamualaikum. Bagi menjawab segala spekulasi atas apa yang sedang diperkatakan dalam semua platform sosial media, saya dengan rendah diri ingin nyatakan di sini, ada beberapa kenyataan yang kurang tepat telah tersebar,” tulisnya.
------------------------------
Nama pelakon Aliff Aziz sekali lagi menjadi bualan hangat apabila dilaporkan ditangkap khalwat bersama seorang pelakon wanita di sebuah kondominium di ibu negara awal pagi tadi.
Perkara itu disahkan oleh adik iparnya iaitu Didi Astillah yang ditemui di lokasi kejadian bagi menemani kakaknya, Bella Astillah.
Menurutnya, dia bersama Bella hadir ke pejabat Jawi selepas dimaklumkan mengenai tangkapan yang dibuat pasukan penguat kuasa terbabit.
“Bagi pihak Bella, saya tak mahu beri sebarang kenyataan berhubung isu ini.
“Kalau boleh beri ruang kepada kakak saya untuk dia bertenang terlebih dulu sebab apa yang berlaku ini amat mengejutkan kami sekeluarga.
“Sebagai adik saya tidak mahu masuk campur urusan keluarga kakak saya. Cuma kami sekeluarga kenal rapat dengan pelakon wanita itu tetapi tak tahu sejauh mana hubungan mereka,” katanya.
Sementara itu, Bella yang ditemui enggan memberikan sebarang kenyataan berhubung tangkapan yang dibuat terhadap suaminya dan hanya dilihat mengesat air mata sahaja.
Terdahulu, tular laporan berita mendakwa seorang artis berstatus suami orang dan pasangannya seorang pelakon wanita dicekup berkhalwat selepas didakwa bersekedudukan di sebuah kondominium mewah di sini, awal pagi tadi.
Menurut sumber, pasangan selebriti yang kini sedang menjalani penggambaran sebuah drama itu ditahan di kediaman milik pelakon wanita berkenaan.
Difahamkan, mereka hadir ke lokasi selepas dihubungi pelakon wanita terbabit.
Bagaimanapun, mereka kemudian beredar selepas penguat kuasa Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi) dan pengawal keselamatan kondominium berkenaan meminta mereka berbuat demikian.
Namun, mereka tidak kelihatan di pejabat Jawi ketika pasangan itu dibawa ke sana untuk prosedur selanjutnya. – KOSOMO! ONLINE
|