Sungai Buloh: Bekas Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Asisten Komisioner Shafa'aton Abu Bakar menjadi satu-satunya pegawai wanita pertama dalam sejarah menjadi Ketua Polis Daerah di Kontinjen Selangor.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sejak 24 Ogos 2018, Shafa'aton memimpin Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh selama lebih kurang 5 tahun 4 bulan dengan penuh dedikasi dan cemerlang.
Menurutnya, bagaimanapun arahan pertukaran membabitkan beliau dikeluarkan pada 21 Februari lalu selepas dinaikkan pangkat sebagai Ketua Jabatan Pengurusan Kontinjen Perak.
"Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor yang turut dinaikkan pangkat dari Deputi Superintendan ke Superintendan seterusnya menjawat jawatan sebagai Ketua Polis Daerah Sungai Buloh yang terbaharu.
"Pada hari ini juga kita turut menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pengerusi Perkep IPD Sungai Buloh antara Shafa'aton dengan Noorain Khairudin," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Sungai Buloh di IPD Sungai Buloh, di sini, hari ini.
Sementara itu, Mohd Hafiz berkata, beliau tidak pernah menyangka akan ditukarkan ke IPD Sungai Buloh sebagai Ketua Polis Daerah.
"Walaubagaimanapun, saya akur dan menyahut cabaran serta kepercayaan yang diberikan oleh pucuk pimpinan kepada saya.
"Seperti semua sedia maklum, saya sudah berkhidmat selama lima tahun lima bulan di IPD Jempol sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah.
"Sudah pasti banyak pengalaman pahit manis dan cabaran tugas yang saya rasai sepanjang tempoh berkhidmat di sana," katanya.
Mohd Hafiz berkata, semua pengalaman itu akan menjadi panduan dan pedoman kepadanya untuk menerajui kepimpinan IPD Sungai Buloh ini.