Edited by maklukpenggoda at 16-3-2024 02:54 AM
PETALING JAYA – Gara-gara terpalit dengan kes khalwat, sebuah jenama produk kecantikan popular mengambil tindakan mengaburkan wajah pelakon Ruhainies dalam iklan sempena Ramadan dan Aidilfitri.
Wakil syarikat menegaskan tindakan sedemikian bagi mengelak salah faham selain enggan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang berkelakuan buruk atau terbabit dalam sebarang kontroversi.
“Sempena bulan Ramadan Al Mubarak ini, kami dengan rendah diri ingin memohon ampun dan maaf atas segala kesulitan dan kekeliruan yang berlaku terutama membabitkan seorang artis terkenal tanah air.
“Penggambaran iklan produk ini menggabungkan tiga artis iaitu Wany Hasrita, Hisyam Hamid dan Ruhainies, manakala pemilihan mereka dibuat selepas penelitian rapi dilakukan pada Oktober 2023,” kata pihak terbabit dalam satu kenyataan media.
Wajah dua lagi selebriti yang terbabit dalam komersil tersebut iaitu Hisyam Hamid dan Wany Hasrita bagaimanapun tidak dikaburkan.
Pihak jenama turut berharap insiden membabitkan Ruhainies tidak memberi kesan dan menjejaskan penyiaran iklan berkenaan.
“Berhubung dakwaan ditangkap khalwat yang dihadapi seorang pelakon, kami harap perkara ini tidak memberi kesan kepada tayangan iklan yang dijayakan seramai 100 kru produksi,” ujarnya.
Video berdurasi 10 saat itu turut dimuat naik dan dikongsikan pengguna media sosial dalam pelbagai platform digital.
Menerusi semakan, dialog dilontarkan Ruhainies yang terpalit dengan kontroversi disyaki berkhalwat dengan pelakon Aliff Aziz pada 9 Mac lalu juga tidak dibuang.
Tindakan tegas syarikat pengeluar jenama dan pemasaran produk berkenaan meraih maklum balas ramai yang rata-rata memberikan sokongan padu.
“Mohon haramkan mana-mana artis yang memandang rendah wanita lain, apatah lagi terhadap agamanya sendiri,” kata seorang netizen.
“Harap ini yang terakhir, selepas ini jangan kutip lagi orang macam ni,” tulis pengguna lain.
“Harap selepas ini ambillah selebriti yang lebih layak,” komen pelanggan produk tersebut. – KOSMO! ONLINE
|