View: 5923|Reply: 0
|
[Selangor]
PRK KKB: Pengundi kembar terkejut jumpa dua Pang
[Copy link]
|
|
CALON PH, Pang Sock Tao (dua, kanan) bersama kembarnya Pang Sock Ying (kanan) bergambar kenangan bersama pengundi kembar, Chan Sher Ni (dua, kiri) dan Chan Sher Er (kiri) pada PRK Dun KKB di SJKC Khing Ming, hari ini. FOTO Bernama
Hulu Selangor: Keterujaan satu pasangan kembar untuk mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khing Ming pagi ini, tambah melonjak apabila tanpa disangka mereka dapat bertemu dengan satu lagi pasangan kembar di pusat mengundi berkenaan, yakni calon Pakatan Harapan (PH) Pang Sock Tao sendiri bersama kembarnya Pang Sock Ying.
Chan Sher Er dan kembarnya Chan Sher Ni, 25, yang baru selesai menunaikan mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Kubu Baharu (KKB) jam 8.30 pagi, jelas tidak menyangka akan dapat bertemu calon PH itu bersama kembarnya.
Pang, 31, yang ditemani kembarnya itu berada di pusat mengundi sekolah berkenaan bagi meninjau perjalanan proses pengundian, dan kesempatan itu dimanfaatkan kedua-dua pasangan kembar berkenaan untuk bergambar sebagai kenangan.
"Ini kali kedua kami mengundi dan saya juga agak terkejut kerana rupa-rupanya salah seorang calon yang bertanding juga kembar macam kami, kami agak teruja," kata Sher Ni kepada pemberita ketika ditemui di pusat pengundian itu.
Sementara itu seorang lagi pengundi Yap Yu Heng, 19, yang pertama kali terbabit dalam proses demokrasi itu berkata, dia amat bersemangat melaksanakan tanggungjawabnya dengan hadir ke pusat pengundian SJKC Khing Ming seawal 7.30 pagi.
"Saya agak teruja kerana pertama kali (mengundi), dan berharap pengundi serta mereka yang sebaya dengan saya keluar awal untuk mengundi...jangan tidur, kita takut petang nanti hujan, nanti terlepas peluang mengundi, rugilah," katanya.
Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan setakat 10 pagi ini, sebanyak 18.05 peratus pemilih telahpun menunaikan tanggungjawab mengundi pada PRK berkenaan.
Sebanyak 18 pusat pengundian dengan 74 tempat mengundi atau saluran bagi PRK itu dibuka serentak pada 8 pagi tadi dan ia akan ditutup pada 6 petang, kecuali pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bukit Fraser yang mempunyai 40 pengundi, ditutup pada 2 petang ini.
PRK KKB menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang, Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).
Ia diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.
Proses pengundian hari ini membabitkan 39,269 pengundi yang akan menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih wakil rakyat baharu kawasan itu.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ejut-jumpa-dua-pang |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|