|
Elly baru sahaja meraikan ulang tahun keempat perkahwinan bersama suami tercinta, Muhammad Azlan Che Nuh. - Foto IG Elly Mazlein
KUALA LUMPUR: Kisah kecurangan pasangan hingga runtuhnya mahligai dibina seperti berlaku ketika ini ternyata amat menakutkan buat pasangan yang sudah mendirikan rumah tangga.
Kebimbangan sama berlaku terhadap artis serba boleh, Elly Mazlein yang baru sahaja meraikan ulang tahun keempat perkahwinannya bersama suami tercinta, Muhammad Azlan Che Nuh.
Namun, Elly atau nama sebenarnya, Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 44, mengakui, apa yang berlaku di sekeliling perlu dilihat dari segi tersirat dan dijadikan pengalaman dalam menjaga keharmonian rumah tangga.
"Kita bukanlah manusia sempurna, jadi kenalah saling ingat mengingati. Bagi saya, isu semasa mengajar saya untuk lebih berhati-hati.
"Apa yang berlaku, kesannya adalah kepada anak-anak. Kasihan mereka. Saya selalu berpesan kepada suami supaya apa sahaja yang dilakukan kena ingat anak-anak.
"Kami sudah cukup dewasa untuk memikirkan semua itu," katanya kepada BH Online.
Meskipun mengakui takut dengan pelbagai isu rumah tangga yang berlaku di depan mata, apatah lagi, Elly atau lebih mesra dipanggil Kak Lina Pom Pom pernah melalui pengalaman memeritkan, namun ia tak bermakna kebimbangan itu menjadi lesen untuk mempersoalkan kesetiaan suami.
Penyanyi Bungaku Bakawali itu berkata, dia tidak akan sesekali melakukan perkara yang boleh mencetuskan perbalahan hanya kerana dihantui perasaan sangsi.
"Alhamdulillah, sudah empat tahun kami hidup bersama. Masih jauh perjalanan kami.
"Saya sentiasa doakan semoga kami bahagia sampai hujung nyawa dan membesarkan anak-anak bersama.
"Bukanlah saya nak bangga diri, tetapi saya bersyukur kerana bahagia dengan kehidupan saya sekarang dan sentiasa doakan yang baik-baik untuk rumah tangga kami.
"Justeru, saya tak akan lakukan perkara yang boleh mencetuskan perbalahan seperti periksa telefon suami.
"Tindakan ini tidak sepatutnya dilakukan kerana ia akan membuat sesebuah perhubungan menjadi toksik.
"Walaupun saya ada kata laluan, namun saya tak pernah periksa telefon bimbitnya kerana saya percaya kepada suami sepenuhnya," ungkap bekas pengacara Gegar Vaganza ini.
Elly jadikan situasi semasa sebagai pengalaman dalam menjaga keharmonian rumah tangga. - Foto NSTP
Elly jadikan situasi semasa sebagai pengalaman dalam menjaga keharmonian rumah tangga. - Foto NSTP
Tidak niat untuk menghakimi, namun ibu kepada sepasang cahaya mata itu mengakui perbuatan memeriksa telefon suami adalah disebabkan hilang kepercayaan kerana pernah 'kantoi' berlaku curang sebelum ini.
"Biasanya isteri yang suka periksa telefon suami adalah disebabkan suaminya pernah ditangkap bermain kayu tiga sebelum ini.
"Isteri tak akan melanggar privasi jika suaminya pernah 'kantoi'," katanya rumus Elly yang hadir untuk memeriahkan majlis sambutan Hari Raya Media Prima Berhad (MPB) di Balai Berita, Bangsar, baru-baru ini.
Dalam perkembangan lain, pelakon drama rantaian popular, Kampung People itu turut berkongsi berita gembira apabila dilantik menjadi Ikon Hari Peneroka Felda 2024.
Mengulas lanjut perkara itu, Elly meluahkan keterujaan kerana menerusi tugasan itu dirinya diberi peluang mendekati penduduk tanah rancangan.
"Mungkin ramai tidak tahu, saya pernah membesar di FELDA. Ini kerana ramai saudara-mara saya masih tinggal di FELDA Sungai Behrang, Tanjung Malim, Perak.
"Setiap kali cuti sekolah atau raya, di sanalah keluarga saya akan berkumpul. Jadi, kehidupan di FELDA bukanlah sesuatu yang asing buat saya.
"Jangan risau, walaupun penampilan di kaca televisyen nampak glamor, tapi saya masih boleh sesuaikan diri dengan situasi di FELDA.
"Saya buang semua kasut tinggi dan pakai selipar sahaja. Bahkan, saya tak kekok bercampur dan beramah mesra dengan penduduk FELDA.
"Justeru, apabila dilantik menjadi Ikon Hari Peneroka Felda 2024, saya sangat teruja dan amat berterima kasih dengan kepercayaan yang diberikan," kata artis berkarakter manja dan peramah ini.
Sebagai ikon, kata Elly, selain perlu mengikuti aktiviti dijalankan, dirinya juga bertindak sebagai pengacara program Feel Da Starz iaitu program pertandingan nyanyian membabitkan komuniti felda.
"Masa mengendalikan program pada peringkat saringan, saya lihat ramai anak FELDA yang mempunyai bakat terpendam dan bukan bakat biasa-biasa.
"Cuma mereka tiada platform untuk ketengahkan bakat. Jadi, menerusi pertandingan ini, saya harap impian mereka untuk menjadi penyanyi akan menjadi kenyataan.
"Peranan saya selain pengacara, saya juga akan berkongsi tip dan pengalaman yang boleh dimanfaatkan serta memberikan kata-kata semangat sebelum membuat persembahan," cerita Elly.
|
|