|
MARK Adam ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Global Station, Kemensah. FOTO Aizuddin Saad
Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon, Mark Adam, 45, mendedahkan dia trauma untuk memandu kereta kerana pernah terbabit dengan kemalangan motosikal pada usia 18 tahun.
Mark berkata, sejak kejadian itu dia tidak berani untuk memandu kereta kerana bimbang dengan keselamatan dirinya.
"Ramai yang tidak tahu, saya trauma dan tidak berani memandu kereta kerana pernah terbabit dengan kemalangan motosikal dulu.
"Dalam kejadian itu, saya yang bawa motosikal bapa saudara bersama seorang kawan yang membonceng. Kami terbabit dalam kemalangan sehingga kawan saya patah tangan dan kakinya. Bila saya cuba memandu kereta, saya akan teringat semula kejadian kemalangan itu," katanya kepada Harian Metro.
Kejadian itu juga menyebabkan Mark tidak memiliki lesen memandu hingga hari ini.
"Ketika penggambaran, saya terpaksa menolak untuk menjayakan babak memandu kerana bimbang kejadian tidak diingini.
"Ada juga pihak yang mencadangkan untuk saya bertemu pakar terapi untuk mengatasi trauma yang dihadapi itu," katanya.
Mark berkata, dia juga lebih selesa isterinya menjadi pemandu dan menemaninya di lokasi penggambaran ketika ini.
"Isteri saya seorang pemandu yang sangat bagus dan terbaik serta tidak pernah terbabit dengan kemalangan. Kalau adapun sekali tapi sikit saja.
"Saya juga mahu isteri sentiasa menemani kerana hidup ini singkat dan kita akan menyesal jika tidak luangkan banyak masa dengan keluarga.
"Bila bekerja sampai awal pagi, saya selalu fikir mengenai isteri di rumah. Sebab itu, lebih baik, isteri menemani saya di lokasi saja," katanya.
Mark berkahwin dengan Norazah Redzuan yang juga pengurusnya pada 2003 dan masih belum dikurniakan anak. |
|