|
BOMBA sedang melakukan pemadaman di lokasi kebakaran kontena. FOTO ihsan BOMBA
Klang: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor masih meneruskan operasi pemadaman baki lapan daripada 14 kontena yang terbakar di Pelabuhan Barat, Pulau Indah di sini, semalam.
Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, kebakaran lima kontena berjaya dipadamkan setakat 7.40 pagi tadi, manakala sebuah kontena, semalam.
"Ketika ini, masih berbaki lapan kontena sedang dipadamkan dengan laksana kerja-kerja pengasingan.
"Pasukan menggunakan bantuan jentera (ALP ) daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petaling Jaya untuk operasi pemadaman.
"Sekarang di peringkat 'overhaul'. Dianggarkan operasi pemadaman baki kontena ini selesai pada tengah hari," katanya ketika dihubungi hari ini.
Ahmad Mukhlis berkata, siasatan pihaknya mendapati kebakaran meningkat sehingga 14 kontena semalam, berikutan ada kontena terbakar di bahagian dalam.
"Petang semalam, kerja-kerja pangasingan kontena yang terbakar dilakukan oleh pihak West Port dengan dipantau oleh anggota bomba," katanya.
Terdahulu Pengarah JBPM Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail dilapor berkata, kebakaran 14 kontena berukuran 12.1 meter setiap satu (40 kaki) berjaya dikawal pada 2.39 petang semalam.
Katanya, siasatan awal mendapati semua kontena berkenaan mengandungi pelbagai barangan merangkumi kertas, besi keluli, kayu pokok pain, bahan mineral, aluminium dan mesin basuh untuk dobi.
"Kebakaran tidak membabitkan mangsa dan panggilan kejadian diterima pada 1.40 tengah hari, sebelum 24 anggota bergegas ke lokasi bersama tujuh jentera termasuk EMRS. Semuanya dari BBP Pulau Indah, Pelabuhan Klang, Sungai Pinang, Andalas dan Shah Alam," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... adam-giat-dilaksana |
|