|
Post Last Edit by hijau88 at 17-12-2011 20:07
dr BH Online
Juvana didik penonton
Oleh Fatin Farhana Ariffin
[email protected]
2011/04/05
Kisah remaja dituduh membunuh, jadi mangsa buli
DRAMA tempatan adalah antara medium yang mempunyai pengaruh yang agak besar dalam mendidik minda masyarakat kita. Oleh itu, penggiat seni seharusnya mempunyai daya pemikiran kreatif kerana selain daripada meraih keuntungan, setidak tidaknya hasil karya mereka dapat mendidik penonton supaya sama-sama dapat mencapai kesedaran.
tulah yang ingin disampaikan oleh sutradara, Faisal Ishak, menerusi drama bersiri arahan terbarunya, Juvana. Ia bukan sekadar hiburan semata-mata, malah mahu mendidik penonton di samping ingin menampilkan kelainan dalam memperkenalkan sisi gelap kehidupan masyarakat kita.
Faisal yang banyak bekerjasama dengan pengarah terkenal, Khabir Bhatia ini berkata drama arahannya ini mempunyai moral yang memberi inspirasi kepada sesiapa yang menontonnya.
“Drama Juvana ialah sebuah cereka berdasarkan kehidupan realiti di mana kita lihat kini gejala sosial di kalangan remaja sedang menghantui kehidupan seisi masyarakat. Namun masalah sosial ini bukannya datang daripada keturunan, tapi datangnya dari pelbagai sisi.
“Drama ini mempunyai kekuatan di dalam jalan ceritanya, di mana ia berkisarkan orang tidak bersalah menjadi mangsa tuduhan, seseorang yang ada di suatu tempat pada satu masa yang salah. Menerusi drama ini juga, penonton dapat melihat sisi kehidupan yang jarang digambarkan.
“Bukan semua remaja yang bermasalah mempunyai masa depan yang gelap, apa yang penting adalah keinginan diri sendiri untuk memperbaiki cara hidup. Kita selalu mahu gerak ke hadapan dan bukannya ke belakang, oleh itu drama ini dihasilkan bukan saja untuk penonton yang mahukan kelainan, namun untuk mencabar diri menghasilkan yang terbaik,” katanya.
Faisal sebelum ini pernah mengarahkan drama Natasha, Rafflesia, Nur Kasih, Tiramisu, Tudung Ekspress, Habil Qabil, Kabir Hero Kabir Zero dan banyak lagi.
Antara pelakon yang terbabit dalam drama ini ialah Bront Palarae, Izreen Azminda, Zahiril Adzim, Irfan Roslan dan Beto Khusairy.
Drama bersiri sebanyak 13 episod yang akan menemui penonton mulai 25 April ini berkisarkan mengenai seorang remaja berusia 17 tahun, Daim Yahya, yang didapati bersalah atas tuduhan membunuh ibu serta teman lelaki ibunya.
Mahkamah menjatuhkan hukuman agar dia dihantar ke Sekolah Pemulihan Akhlak Wira Bakti, iaitu sebuah sekolah Badan Bukan Kerajaan (NGO), sehingga dia cukup umur untuk dibicarakan semula.
Daim menjadi mangsa buli oleh sekumpulan pelajar yang terbabit dengan kes jenayah yang serius. Raja, watak yang dibawa oleh Bront Palarae, warden yang tidak mempunyai perasaan belas kasihan enggan campur tangan dan hanya membiarkan kejadian itu terus berlaku.
Tidak selamanya bernasib malang, Daim mempunyai harapan apabila Cikgu Zakiah (Izreen Azminda), satu-satunya guru wanita di situ, ditugaskan ke sekolah terbabit.
Zahiril banyak bermain emosi
DAIM, watak utama yang dibawakan oleh Zahiril Adzim, 27, seorang yang pendiam, kurang keyakinan diri dan sentiasa ditindas di atas kesalahan yang bukan miliknya. Disebabkan saiz tubuh badannya yang kecil, Zahiril sering membawakan watak remaja, namun kali ini watak yang diterimanya diakui agak berat berbanding sebelum ini.
“Watak Daim satu watak yang menarik dan tanpa berfikir dua kali saya terus setuju untuk melakonkan watak itu, iaitu sebagai seorang budak juvana.
“Ia adalah satu watak yang agak berat dan tidak senang untuk menjayakannya, tapi syukur saya boleh melakukannya. Pada mulanya, saya tidak banyak berdialog, di mana mimik muka banyak memainkan peranan. Bukan senang untuk melahirkan reaksi, seperti perasaan marah melalui muka saja.
“Ini adalah suatu perkara yang saya pelajari di mana jika kita mahu penonton rasa yang ingin kita sampaikan, kita juga sebagai pelakon harus merasainya sendiri di samping mendalami sendiri perasaan terbabit,” katanya yang ditemui di lokasi penggambaran drama berkenaan, di Hulu Langat baru-baru ini.
Tidak ketinggalan beraksi dalam drama ini ialah Izreen Azminda. Mungkin ramai peminat kurang mengenali wanita ini, tapi Izreen sudah menjayakan hampir lebih 20 drama tempatan, antaranya ialah Gelora Di Hati Sarah, Nenek Kebaya, Isabella dan sedang ditayangkan kini, Samson dan Delaila.
“Sebelum ini saya banyak membawa watak kecil, dan sejak kebelakangan ini barulah saya mendapat watak yang menonjolkan diri saya. Begitu juga, dulu saya banyak menjayakan watak antagonis, namun drama Juvana memberikan saya peluang pertama melakonkan watak baik.
“Selain itu, ini juga adalah kali pertama saya memakai tudung dalam sesebuah drama. Saya sering menginginkan watak yang berlainan. Justeru apabila saya ditawarkan untuk berlakon dalam drama ini sebagai Cikgu Zakiah, tanpa rasa ragu, saya menerimanya dengan tangan terbuka,” kata bekas finalis Dewi Remaja 2007 ini.
Ingin menyaksikan cereka yang penuh dengan nilai moral ini menerusi lakonan pelakon pelapis yang tidak kurang hebatnya, jangan lupa nantikan kemunculannya mulai 25 April ini, bersiaran pada setiap Isnin, jam 9 malam, hanya di TV3. Last edited by eddlisa_uyuk on 23-2-2013 12:37 AM
|
|