Sagah ketika ditemui pemberita di SMK Lanang hari ini selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Future Skills For All Central Zone 2024.
SIBU: Dasar pendidikan percuma yang diperkenalkan oleh Kerajaan Sarawak memberi tumpuan khusus kepada kursus dalam bidang sains dan teknikal.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, walaupun pendidikan percuma disediakan ia tidak merangkumi semua bidang pengajian secara keseluruhan.
Sebaliknya jelas beliau, inisiatif ini mengutamakan kursus yang dianggap mempunyai potensi tinggi untuk menjana peluang pekerjaan.
"Premier (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg) telah menjelaskan bahawa penekanan adalah pada kursus sains dan teknikal," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Terdahulu, Sagah menyempurnakan Majlis Penutupan Future Skills For All Central Zone 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lanang.
Beliau menambah, walaupun kursus dalam perakaunan, undang-undang dan kewangan antara yang disenaraikan dalam dasar tersebut, perhatian utama tetap pada bidang yang memerlukan kepakaran teknikal.
Sagah menjelaskan, keputusan ini diambil berikutan kebimbangan mengenai peningkatan bilangan graduan dalam bidang sains sosial dan kemanusiaan yang menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan.
“Kita tidak mahu menghantar pelajar ke universiti hanya untuk mereka pulang tanpa pekerjaan.
"Ini bukan sahaja merugikan mereka tetapi juga boleh menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan,” ujarnya.
Beliau juga menegaskan kepentingan kursus teknikal berkaitan dengan industri yang sedang dibangunkan di Sarawak seperti pengeluaran hidrogen dan penyimpanan karbon.
“Ekonomi kita berharap untuk berkembang melalui sumber-sumber ini.
"Dengan memilih kursus yang tepat, graduan akan mempunyai peluang untuk mendapatkan pekerjaan yang baik dan gaji yang lebih tinggi,” tambah beliau.
Sagah turut menolak pandangan bahawa semua bidang pengajian adalah sama penting untuk masa depan negeri.
Tegas beliau, penekanan kini adalah pada kursus teknikal kerana bidang ini semakin mendesak.
“Bagaimana kita akan mempunyai tenaga kerja yang dapat menangani isu-isu seperti penghasilan hidrogen jika mereka tidak mempunyai asas sains?” soal beliau.
Beliau juga memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan terus membimbing pelajar dalam memilih kursus yang menawarkan peluang kerjaya yang lebih baik, selaras dengan usaha negeri untuk mencapai kemakmuran ekonomi.
|