SIBU: Aktiviti subsidi petrol anjuran Pusat Khidmat P.212 Sibu kembali lagi pada 21 September ini, bertempat di Grolite Petrol Station, Jalan Ling Kai Cheng.
Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling dalam satu kenyataan memberitahu, aktiviti subsidi petrol oleh kerajaan Madani ini bertujuan memberi manfaat kepada rakyat secara terus.
"Pada Sabtu ini (21 September), Pusat Khidmat saya sekali lagi akan mengadakan aktiviti subsidi bertempat di Stesen Minyak Shell, Jalan Ling Kai Cheng dari jam 8.30 pagi hingga 10.30 pagi," ujarnya.
Sehubungan itu, Ling mengalu-alukan orang ramai terutama pemilik kenderaan untuk datang bagi mengisi petrol serta mendapatkan subsidi yang diberikan.
Bagi pemilik kenderaan yang mengisi petrol RM30 atau lebih, mereka akan diberikan rebat atau subsidi sebanyak RM5 pada hari tersebut.
Sementara bagi pemilik motosikal, mereka berpeluang mendapat petrol percuma bagi pengisian petrol sebanyak RM5.
"Pemilik kenderaan tidak dibenarkan membawa sebarang bekas untuk mengisi petrol," jelas Ling sambil berharap aktiviti itu dapat mengurangkan beban hidup rakyat.
|