Uggah pada sidang media semasa mengadakan lawatan ke Kompleks UNIFOR yang hampir siap pembinaannya di Jalan Ong Tiang Swee, Kuching hari ini.
KUCHING: Pelabuhan Bintulu dijangka diserahkan kerajaan persekutuan kepada Sarawak menjelang akhir tahun ini, kata Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Beliau yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata, penyerahan daripada kerajaan persekutuan itu dijangka selepas satu isu yang kini masih tinggal untuk diselesaikan.
“Kerajaan negeri dan persekutuan berada dalam fasa akhir rundingan, dengan hanya satu isu tertunggak yang perlu diselesaikan.
“Jawatankuasa kami sedang giat melibatkan Kementerian Pengangkutan untuk memuktamadkan isu itu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat projek pembinaan Kompleks UNIFOR di sini, hari ini.
Uggah berkata, sebaik sahaja isu berkenaan selesai, proses penyerahan Pelabuhan Bintulu daripada kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri akan dilakukan. Ditanya mengenai jumlah pampasan yang perlu dibayar kerajaan negeri untuk mengambil alih pelabuhan berkenaan, beliau memaklumkan ia masih dalam proses.
Rang Undang-undang (Pembubaran) Lembaga Pelabuhan Bintulu diluluskan di Parlimen pada 17 Julai, membuka laluan kepada penyerahan pelabuhan itu kepada Sarawak.
Bulan lalu, mesyuarat jawatankuasa negeri persekutuan yang dipengerusikan bersama oleh Uggah dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke menetapkan garis masa yang jelas untuk Pelabuhan Bintulu diserahkan pada akhir Disember.
Untuk rekod pada Januari 2024, mesyuarat Jawatankuasa Bersama Persekutuan-Negeri telah memuktamadkan keputusan untuk menyerahkan Pelabuhan Bintulu kepada kerajaan Sarawak pada Jun tahun ini.
Namun, Pelabuhan Bintulu diisytiharkan sebagai pelabuhan persekutuan melalui Akta Pelabuhan Persekutuan (Akta 217) 1981.
Parlimen kemudiannya meluluskan Akta Lembaga Pelabuhan Bintulu 1981 bagi membentuk Lembaga Pelabuhan Bintulu (BPA) yang ditugaskan membina, mengawal, mentadbir dan mengawal selia pelabuhan berkenaan.
Bagi merealisasikan sasaran Jun 2024 (pelabuhan diserahkan kepada Sarawak), jawatankuasa bersama itu telah bersetuju Rang Undang-Undang (RUU) bagi memansuhkan Akta Lembaga Pelabuhan Bintulu 1981 dibentangkan oleh Kementerian Pengangkutan di Parlimen.
|