PULANG: Sebahagian PTI yang dihantar pulang ke negara asal.
KOTA KINABALU: Seramai 650 pendatang tanpa izin (PTI) warga Filipina dipindahkan melalui Pelabuhan Sandakan untuk balik ke negara asal.
Program Pemindahan Tahanan PTI itu dijalankan menggunakan pengangkutan laut terus ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina.
Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, pemindahan kali ini membabitkan seramai 415 lelaki dan 170 wanita itu.
“Pada masa sama, JIM turut menghantar pulang 56 kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia 12 tahun ke bawah serta sembilan bayi berusia dibawah 23 bulan.
"Ini adalah program pemindahan siri ke-15 untuk kategori Usir melalui laut bagi tahun 2024 ke negara asal masing-masing menggunakan pengangkutan Feri MV Antonia 1.
"Semua PTI berusia lingkungan satu hingga 67 tahun ini melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963," katanya dalam kenyataan media di sini.
SH Sitti Saleha berkata, pemindahan kali ini juga hanya membabitkan tahanan warga Filipina dari Depot Imigresen Kota Kinabalu.
Katanya, sehingga kini seramai 3,768 tahanan warga Filipina sudah dihantar balik dan menjadikan jumlah keseluruhan PTI dihantar pulang mencecah 5,701 orang.
"Hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara.
"Kekerapan pemindahan ini adalah tertakluk kepada kerjasama pihak Kedutaan Filipina untuk mempercepatkan pengeluaran dokumen perjalanan sebelum boleh dihantar pulang," katanya.
Sementara itu, SH Sitti Saleha berkata, para majikan yang menggaji pekerja asing dinasihatkan supaya memastikan pekerja mempunyai pas PLKS yang sesuai untuk bekerja di negeri ini.
Katanya, pelancong yang datang ke negeri ini juga dinasihatkan supaya tidak menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk tujuan lain.
Sehubungan itu, SH Sitti Saleha berkata, Jabatan Imigresen Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa.
Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara.
|