Sagah pada sidang media di Pusat Acara Hikmah Exchange, hari ini. - Gambar Mohd Faisal Ahmad
KUCHING: Pengambilan Khas Guru Sarawak 2024 meningkat kepada 2,180 kekosongan jawatan, kata Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn.
Menurutnya, sebelum ini terdapat 1,140 kekosongan jawatan menerusi inisiatif tersebut, namun peningkatan itu dicapai selepas pihaknya mengadakan mesyuarat dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) pada Khamis.
"Jadi semalam, selepas mensyuarat bersama SPP, mereka memutuskan bahawa kita akan mengambil 2,180 guru tahun ini di bawah Pengambilan Khas Guru Sarawak.
"Permohonan untuk mengisi kekosongan ini mendapat sambutan yang sangat baik.
Pemohon dari Sarawak sahaja lebih 15,000, manakala 2,000 lagi permohonan dari luar Sarawak," ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Pameran Kerjaya dan Latihan Sarawak (SCaT Fair) 2024 di Pusat Acara Hikmah Exchange di sini, hari ini.
Sagah memberitahu pemohon yang telah menjalani tapisan awal juga sudah dipanggil untuk ujian psikometrik baru-baru ini sacara dalam talian.
Jelasnya lagi, selepas itu calon akan dipanggil untuk temu duga secara bersemuka.
"Jadi dari sini, mereka yang dipanggil untuk temu duga fizikal akan dinilai sama ada mereka akan mendapat jawatan ini atau tidak," ujarnya.
Difahamkan, lebih kurang 6,000 calon yang melepasi ujian psikometrik akan dipanggil untuk temu duga pada minggu kedua Oktober untuk temu duga secara bersemuka yang dirancang diadakan di tiga lokasi iaitu Kuching, Sibu dan Miri.
Berdasarkan sumber dari Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), Sarawak dijangka menghadapi kekurangan seramai 2,373 guru di 30 daerah menjelang penghujung tahun ini.
|