|
Nadiya Nisaa julang dua trofi dalam masa dua mingguKETIKA wanita ini hadir ke Balai Berita untuk memenuhi undangan fotografi dan temubual bersama Hip, dia baru saja beberapa hari habis berpantang selepas melahirkan anak sulung, Omar Saiful Razman. \n\n\n\nSaat bertemunya, pelakon Nadiya Nisaa masih kelihatan seperti mengawal pergerakannya. Wajahnya juga kelihatan sedikit pucat, sewaktu menjengah ke studio. Baru beberapa minggu melahirkan cahaya mata sulung, keadaan itu amat difahami. Begitupun, atas dasar kerja dan menghargai undangan akhbar ini untuk merakamkan foto serta cerita terbarunya, Nadiya gagahkan juga diri untuk hadir. \n\n\n\n\nWaktu itu, dia baru saja dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Anugerah Skrin (ASK) 2011, menerusi filem Cun arahan Osman Ali. Ketika hadir ke studio NSTP, dia juga sedang berdebar menunggu keputusan kategori Pelakon Harapan Wanita Terbaik yang turut menyenaraikan namanya sebagai calon akhir, pada Festival Filem Malaysia (FFM) ke-24.Pada 16 November lalu, dia sekali lagi menaiki pentas menerima trofi yang mengiktiraf lakonannya dalam filem komedi cinta itu. Dua trofi dalam masa sebulan tentu saja memperkenalkan lagi nama wanita berbakat ini kepada peminat dunia seni tanah air. Sepanjang dua jam lebih bersama dengannya petang itu, Nadiya nyata seorang yang penuh kelembutan dan menjaga pertuturannya dengan cukup baik. Wajahnya cukup manis setiap kali melemparkan senyuman. Apatah lagi dengan wajah yang kembali berseri, hasil sentuhan solekan Syafieq Ayman.Pada awalnya, sesi temubual sedikit kaku kerana tidak dinafikan wanita ini agak pendiam. Namun, sebaik enjin bicara dihangatkan dengan pelbagai soalan, sifat ramahnya mula terserlah, sehingga suasana kembali ceria.\n\n\n\n“Sudah rezeki anak sulung saya, Omar. Kemenangan saya pada ASK baru-baru ini mungkin berkait rapat dengan rezeki untuk anak saya yang lahir pada 28 September lalu itu. “Selepas kemenangan itu, saya dicalonkan pula sebagai Pelakon Harapan untuk FFM24. Saya sungguh bertuah kerana selamat melahirkan anak dan pada masa yang sama dilimpahi rezeki,” kata Nadiya.Mengimbas kembali kemenangan lalu, anak kelahiran Kuala Lumpur ini memberitahu, ketika hadir ke majlis ASK2011 lalu, dia sebenarnya masih dalam pantang. Maka tidak hairanlah apabila langkahnya di dalam dewan, ketika menuju ke pentas menerima trofi, begitu juga ketika mengatur jejak ke majlis keraian selepas itu disusun seelok mungkin.“Ketika mengandung sehingga bersalin, boleh dikatakan saya terputus sementara daripada dunia seni. Jadi tidak banyak perkembangan hiburan saya dapat ketahui. Pencalonan saya sendiri pun hanya diketahui pada kira-kira jam 2 petang, pada hari majlis itu berlangsung, apabila dihubungi penganjur yang meminta saya menghadirkan diri memberi sokongan kepada majlis terbabit.“Apa lagi, kelam kabutlah saya mencari jurusolek dan pakaian yang sesuai untuk ke majlis seperti itu. Setelah rasa bersedia, saya menghubungi kembali penganjur mengesahkan kehadiran. \"Memang sangat tidak bersedia pada masa itu sehinggalah ketika nama diumumkan, saya masih tidak percaya, terpinga-pinga dan masa ambil trofi itu pun saya rasa terawang-awang,” katanya ketawa kecil sambil memberitahu, dia menjangkakan Sherry Merlis yang akan memenangi anugerah itu, menerusi filem Janin.Sementara itu, ketika ditemui selepas menerima trofi pelakon harapan FFM24 pula dia berkata, kemenangan yang diraih dua kali berturut-turut sememangnya menyuntik semangat dirinya untuk lebih mendalami bidang lakonan.“Sebagai orang baru, sudah tentu saya terharu apabila juri nampak potensi dan kesungguhan saya. Awal-awal dulu, saya menceburi bidang lakonan hanya untuk mencuba. Namun dengan kemenangan ini sudah pasti saya melipatgandakan usaha.“Sedikit sebanyak tentu ada tekanan kerana hasil kerja selepas ini sudah pasti dinilai penonton dengan lebih teliti. Apa pun saya melihat semua ini dari sudut positif terutama dalam meningkatkan mutu lakonan,” katanya.Kenang jasa Osman AliMENYELAK semula lembaran perjalanan kerjayanya, Nadiya yang membawakan watak gadis lembam, Manis, dalam Cun, mungkin dilihat begitu dekat dengan Osman, sutradara yang pernah menghasilkan Puaka Tebing Biru, Anak Halal dan Malaikat Di Jendela.Ia diakui pelakon filem Dukun dan Karaoke ini sendiri, yang memberitahu, pengarah itu ialah insan seni yang mencungkil bakatnya dan sentiasa menggalakkan dia menjadi pelakon.“Saya memang minat berlakon. Ketika menghadiri sesi uji bakat untuk Spanar Jaya, saya bertemu Osman yang ketika itu turut berada di lokasi berkenaan. Dari situlah titik perkenalan kami dan selepas itu dia ada menghubungi saya untuk tawaran berlakon filem Cun.“Pada awalnya saya hampir menolak kerana berasa tidak yakin untuk berlakon filem, apatah lagi membawakan watak Manis. Osman memberikan kata-kata semangat untuk menerima tawaran itu. Jadi, saya meminta sedikit masa untuk berfikir, melakukan kajian dan seterusnya membuat keputusan,” katanya yang memberitahu, dia menjayakan watak Manis dengan menonton filem luar negara seperti What\'s Eating Gilbert Grape (1993) dan I Am Sam (2001). Katanya, walaupun watak kebudak-budakan dalam kedua filem itu dimainkan pelakon lelaki, dia cuba mengadun perwatakan itu ke dalam watak Manis.Nadiya yang sebelum ini pernah berlakon dalam drama Donut berkata, dia berharap selepas memenangi anugerah, peminat seni akan lebih mengenali dirinya dan mendapat tawaran watak yang mencabar.\"Jika ditanya watak impian, saya mahukan watak seperti Manis yang tidak perlu berpakaian cantik, tetapi hidup dalam wataknya sendiri untuk menguatkan jalan cerita.“Lagipun saya seorang yang terlalu mahukan kesempurnaan. Jadi, dalam menerima sebarang tawaran saya sangat berharap dapat memberikan yang terbaik dalam lakonan. Jika tidak saya rasa bersalah memikul tanggungjawab itu,” kata pemilik nama sebenar Nadiyatul Nisaa Kamaruddin ini.Pemegang Ijazah Sarjana Muda Penyiaran, Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini turut menegaskan, langkah seninya selepas ini mungkin lebih ligat memandangkan bakatnya sudah membuka sebahagian mata penggiat seni. Sebelum ini, dia tidak begitu aktif kerana sudah mempunyai pekerjaan tetap sebagai pegawai perhubungan awam di sebuah agensi kerajaan.
[Source] [Go Back to Citizen Journalist] [Pump!]
|
|