Seringkali apabila membincangkan bab keibubapaan, kita selalu menekankan peranan seorang ibu. Namun jangan sesekali melupakan kepentingan peranan ayah dalam mendidik anak menjadi insan soleh dan solehah. Memang tidak dinafikan ibulah yang bersusah-payah mengandungkan anak selama sembilan bulan, bertarung nyawa berjam-jam untuk melahirkan zuriat tersayang, menyusu dan berkorban kesakitan demi memastikan si anak sihat dan sempurna tumbesarannya. Tetapi pengorbanan dan peranan seorang ayah dalam kehidupan seorang anak tidak harus dilupakan. Didiklah anak untuk mengasihi ayah dan menghargai pengorbanannya. Biasanya, peranan ayah hanya dilihat dalam aspek pemberi nafkah berupa sara hidup, makan minum, tempat tinggal untuk keluarga selain sebagai insan yang bertanggungjawab membiayai pendidikan anak-anak. Namun adakah setakat itu sahaja peranan seorang ayah? Hakikatnya ayah adalah pemangkin utama penggerak kepada pembentukan hero-hero di dalam keluarganya sendiri. Jika ditanya kepada anak kecil tentang ayah mereka, maka inilah kebanyakan jawapan mereka ”nak kerja macam ayah”, “nak jadi macam papa”, “daddy kita paling hebat.” Nah, ternyata anak-anak sejak dari usia kecil lagi menjadikan ayah masing-masing sebagai idola mereka. Kebanyakannya tegas memberitahu ayah merekalah yang paling hebat. Justeru, ayah perlu membuktikan diri mereka sentiasa bekerja keras dan bersemangat menjadi individu terbaik buat anak dan isteri. Dalam Islam sendiri menegaskan peranan seorang ayah sebagai pemimpin dalam keluarga. Prinsip kepimpinan melalui teladan harus diterapkan dalam rumah tangga kerana ia antara kaedah berkesan memastikan setiap ahli keluarga berada dalam keadaan baik. Usahlah menjadi ayah yang sering melindungi atau membela kesilapan dan kesalahan yang dilakukan oleh si anak. Ia hanya akan membuatkan anak semakin sukar menerima teguran dan terus melakukan kesilapan. Jika mahu isteri dan anak menjadi insan bertakwa, maka suami atau ayah itu terlebih dahulu mesti bertakwa. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud “Orang lelaki adalah penjaga ke atas ahli keluarganya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka dan perempuan penjaga ke atas rumah tangga dan anak-anaknya dan dia bertanggungjawab terhadap mereka.” (Hadis Riwayat Imam Bukhari).
Last edited by miesya88 on 18-2-2014 04:54 PM
|