View: 2662|Reply: 1
|
[Lain-Lain]
Aidilfitri Yang Istimewa Buat Penduduk Kampung Rakapopram
[Copy link]
|
|
Oleh Erma Idayu Mohd Yusop
PHNOM PENH, 15 Julai (Bernama) -- Masyarakat Islam di Kampung Rakapopram, Phnom Penh berkata mereka selama ini menyambut bulan puasa dan Aidilfitri sama seperti hari-hari lain tanpa sebarang persiapan baju baharu atau kuih muih beraneka jenis.
Malah seorang penduduk berkata dia langsung tidak membuat persiapan kerana tidak mempunyai wang dan hanya mampu merebus ubi dan mengutip sayur-sayuran di perkarangan rumah untuk dimasak.
"Saya kini tinggal bersama dua orang anak berumur 10 tahun dan satu tahun. Suami saya pergi bekerja di Thailand sejak tahun lepas dan langsung tidak balik lagi.
"Sayalah yang bekerja untuk menampung kami sekeluarga. Puasa atau raya sama sahaja, hari biasa pun kadang-kadang saya terpaksa berpuasa untuk mengikat perut kerana tiada bekalan makanan di rumah.
"Cuma raya tahun ini berbeza sikit kerana ada pihak yang membantu (Nashmir Holdings dari Malaysia)," kata Kariah Yusof, 29.
Bantuan yang diberikan baru-baru ini berupa beras, susu pekat, gula dan air berperisa malah wang untuk membeli pakaian baharu terutama bagi kanak-kanak.
Sumbangan diberikan sempena perasmian sebuah surau yang dibina pihak Nashmir.
Ibu tunggal kepada 11 orang anak berusia dua hingga 16 tahun, Aseah Ismail, 46, menangis teresak-esak selepas menerima bantuan kerana menurutnya ini pertama kali dia mendapat bantuan seperti itu.
Dia yang kematian suami tahun lepas hanya berniaga kecil-kecilan dengan pendapatan tidak sampai RM5 sehari.
"Sebelum ini hari raya sama sahaja. Tapi kali ini agak istimewa kerana selain dapat bersolat hari raya di surau, saya dan anak-anak juga mempunyai pakaian baharu.
"Terima kasih, raya ini anak-anak dapat makan nasi yang diberi dengan sayur yang kami tanam berhampiran rumah. Kami juga dapat merasa baju raya," katanya menerusi jurubahasa.
Amai Ali, 11, yang tidak bersekolah dan menjaga ibunya yang mengalami masalah mental berkata wang 10 dolar Amerika yang diterimanya akan disimpan untuk rawatan ibu dan belanja keluarganya.
Dia yang kematian bapa sejak empat tahun lepas dan mempunyai dua adik lelaki tinggal di pondok daif yang sudah reput dengan hanya berbuka puasa bersama sayur atau ubi.
"Tapi hari ini kami sekeluarga akan dapat masak nasi dan makan bersama sup air. Ini makanan sangat istimewa," katanya.
Dua hari berada di bumi Kemboja, dapat dirasakan bahawa Malaysia adalah dekat di hati penduduk malah ada yang secara terbuka menyatakan hasrat untuk ke negara ini bagi mencari rezeki.
Ketua Kampung, Hassan Ahmad berkata rakyat Malaysia sangat pemurah dan terdapat pihak yang sanggup menyalurkan bantuan kepada orang lain.
"Selain sumbangan bagi pembinaan infrastruktur, banyak juga bantuan daripada syarikat dan rakyat Malaysia berupa bekalan makanan, al-Quran dan pakaian disumbang untuk warga Islam Kemboja," katanya.
-- BERNAMA
|
|
|
|
|
|
|
|
subhanallah, masyallah, sedihnya baca ......syukurlah maseh ada insan insan yg perihatin...
semoga murah rezki dan beroleh berkah rahmat, insyallah... |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Hari Raya Aidilfitri
|