|
Hi All
assalamualaikum,
Have a read on ...the legacy of Muslim scholars
Akhlak, etika dalam pendidikan
- Encik Muhammad Husni bin Mohd Amin
|
|
|
|
|
|
|
|
Pada tahun 1596, seorang pegawai istana Inggeris Sir John Harrington menggambarkan sebagai tamsilan di dalam karyanya berjudul A New Discourse of a Stale Subject suatu tandas curah yang terpasang di kediamannya di Kelston, England. Gambaran itu mewujudkan tanggapan bahawa beliaulah pencipta tandas moden yang digunakan secara meluas di masa kini.
Sungguhpun demikian, kalau tidak kerana terciptanya injap pengisi tangki, pastinya mekanisme curahan tidak dapat berfungsi. Alat ini yang terpasang di dalam tangki air setiap tandas curah moden menggunakan pelampung di hujung tuil bagi mengawal paras air dalam tangki.
Di dalam sebuah naskhah manuskrip Kitab al-Hiyal (Buku berkenaan Helah) berusia 1100 tahun ada tersimpan di Muzium Istana Topkapi di Turki mengandungi buat pertama kalinya gambaran dan lakaran injap pengisi tangki yang direka cipta oleh sekumpulan ahli sains dan jurutera Islam abad ke-9 dikenali sebagai Banu Musa.
Walaupun suatu alat mudah, ianya komponen perlu dalam penyimpanan air yang tidak terbatas penggunaan kepada rumah kediaman malahan juga industri-industri pembinaan, pembuatan, dan pertanian. Tanpanya, besar kemungkinan urbanisasi peradaban manusia tidak dapat berkembang sebagaimana yang diketahui. |
|
|
|
|
|
|
|
Banu Musa atau ‘Anak-anak Musa’ ialah tiga bersaudara iaitu Abu Ja‘far Muhammad, Abu’l-Qasim Ahmad, dan al-Hasan yang memiliki himpunan kepakaran meliputi astronomi, matematik, kejuruteraan, dan geometri. Antara tokoh-tokoh sezaman termasuklah al-Khawarizmi (m. 850 Masihi) yang mempelopori ilmu algebra dan ilmu kira-kira (aritmetik) dan al-Kindi (m. 873) yang mengkaji serta memperkenalkan falsafah Yunani kepada dunia Islam.
Persahabatan erat antara Musa ibn Shakir dengan Khalifah al-Ma’mun telah memberikan peluang pendidikan teristimewa yang mengasah tajam bakat anak-anaknya, seterusnya membuka ruang penglibatan mereka di kemudian hari dalam bidang politik dan kerja raya.
Kerjaya penuh gemilang Banu Musa mencapai kemuncak apabila mereka menyertai Gerakan Penterjemahan naungan khalifah yang begitu giat mengumpul, mengkaji, menterjemah, dan mewacanakan karya-karya zaman terdahulu Yunani, Parsi, dan India yang berhasil menyumbang kepada korpus keilmuan Islam pada masa itu. |
|
|
|
|
|
|
|
Di samping memanfaatkan Baitul Hikmah (Teratak Kebijaksanaan), iaitu sebuah pusat penyelidikan termasyhur di Kota Baghdad yang diasaskan oleh Khalifah Harun al-Rashid, untuk kegiatan ilmiah mereka, Banu Musa turut menggajikan sarjana-sarjana berpengaruh seperti Hunayn ibn Ishaq dan Thabit ibn Qurrah bagi mendapatkan dan menterjemahkan banyak manuskrip ilmiah dahulu kala.
Di Baitul Hikmah, Banu Musa giat mereka cipta dan membina alat-alat yang mempesonakan seperti pancur air, jentera berdaya kendiri, bahkan lampu taufan yang “nyala apinya terlindung dengan bilah yang sentiasa berputar agar ia di sudut betul kepada arah angin.”
Banu Musa juga menyarankan pelbagai kegunaan sistem ciptaan mereka termasuklah minum, membasuh, dan berwuduk. Tiada syak lagi bahawa Islam – agama yang terdapat di dalamnya suruhan menjaga kebersihan dan dorongan memberi bakti kepada orang lain – adalah sumber ilham kepada daya cipta dan buah fikir pembaharuan Banu Musa.
Dapat dilihat bagaimana wewenang diraja berperanan lebih besar memangkinkan kemajuan sains dan teknologi berbanding usaha perseorangan. Di samping mengurniakan naungan dan tajaan, raja memiliki kuasa untuk mengarahkan usaha bersama ke arah tujuan yang satu. |
|
|
|
|
|
|
|
Namun, setiap urusan pasti ada pengakhirannya. Sejarawan Ibn Abi Usaybi‘ah mengisahkan di dalam karyanya ‘Uyun al-Anba’ bermula kejatuhan Banu Musa apabila Khalifah al-Mutawakkil mempertanggungjawabkan mereka dengan amanah besar membina terusan yang bakal melencongkan laluan air sungai Tigris dari perbandaran baharu Ja‘fariyyah terletak bersebelahan tebing sungai di Samarra, Iraq.
Sebaliknya, Banu Musa mengupah konco mereka Ahmad al-Farghani – seorang ahli astronomi yang berpengetahuan akan tetapi jurutera yang tidak cekap – sebagai subkontraktor untuk mereka bentuk nilometer terusan itu.
Akibat kecuaian al-Farghani dalam mengira pendataran nilometer, terusan baru itu gagal berfungsi sebagaimana dirancang. Kesilapan ini hanya disedari apabila air pasang sungai Tigris menenggelamkan seluruh kawasan pembinaan dan akhirnya memusnahkan ia sama sekali. |
|
|
|
|
|
|
|
Setelah al-Mutawakkil mangkat dibunuh, penggantinya iaitu al-Musta‘in menghukum salah Banu Musa di atas kelalaian mereka. Berpunca dari kegagalan mereka itulah, kota Ja‘fariyyah tiada lagi disebutkan melainkan hanya sebagai suatu nama di dalam lipatan sejarah.
Bencana ini adalah contoh kegagalan etika; sifat pilih kasih telah membutakan tiga bersaudara itu dari memilih calon lain yang lebih baik. Peristiwa ini mempersaksikan bahawa rasuah boleh berlaku sama ada melalui perlakuan mahupun kealpaan dan setiap amalan tidak beretika berupaya menjadi punca malapetaka.
Sungguhpun demikian, peranan besar dan sumbangan ilmiah Banu Musa dalam Gerakan Penterjemahan tidak dapat dinafikan kedudukan tinggi yang dihormati dalam sejarah orang Islam terbilang.
Sebelum kita mengutuk cerca sejarah atas kesilapan lalu, barang diingat bahawa upaya untuk mengakibatkan bencana tetap wujud di masa kini terutamanya dengan arah tuju pendidikan yang berterusan memisahkan sains dan teknologi dari wilayah pandangan alam, akhlak, dan masyarakat. |
|
|
|
|
|
|
|
Di satu sisi, masa silam yang dikaji berasingan dengan pandangan alam dan kerangka keilmuan para ahli sains dan ahli teknologi menyebabkan pemetakan ilmu dalam pengkhususan yang bersifat menuntun, di samping hilangnya kelebihan ilmiah untuk terus berdaya cipta dan memperkenalkan pembaharuan.
Dari satu sisi yang lain, meremehkan pelajaran akhlak dan etika, yang amat penting dalam membuat keputusan, dan menjadikan ia sebagai hanya satu mata pelajaran di dalam pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM), adalah suatu perjudian nasib bangsa yang menghasilkan para graduan berkebolehan tinggi namun miskin akhlak dan cenderung menyeleweng.
Tinjauan yang dilakukan pada 2017 oleh Institut Integriti Malaysia (IIM) mendapati bahawa 35 peratus bersamaan dengan satu daripada tiga penuntut universiti tempatan tidak menganggap penyogokan wang sebagai rasuah. |
|
|
|
|
|
|
|
Suatu contoh membayangkan hala tuju hal ini. Pada tahun 1995, keruntuhan pusat membeli-belah Sampoong, Seoul, Korea Selatan, telah mengorbankan 502 orang dan mencederakan 937 orang. Ianya tercatat sebagai bencana terbesar di masa aman sehinggalah berlakunya Peristiwa 9/11 di New York, Amerika Syarikat. Siasatan akhirnya mendapati bahawa kegagalan strukturnya adalah berpunca dari rasuah dan kecuaian jenayah oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab.
Suatu contoh yang lebih hampir dengan kita ialah keruntuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Terengganu yang bernilai sekitar RM300 juta pada tahun 2009, di mana media melaporkan bahawa pembinanya gagal mengikut spesifikasi yang ditetapkan.
Diriwayatkan seorang raja Bani Umayyah pernah ditanya, “Apakah sebab merosotnya kerajaan tuanku sekalian?” Lalu, baginda menjawab, “Kami meminta bantuan sekerdil-kerdil pegawai untuk sebesar-besar urusan, maka terjadilah urusan kami kepada apa yang telah terjadi.”
Oleh yang demikian, kegagalan menimbang tara secara adil pengalaman lalu dengan senario yang mungkin berlaku di masa hadapan mendekatkan risiko mengulangi kesilapan yang sama.
Memetik kata-kata ahli falsafah Amerika, George Santayana: “Barangsiapa yang tiada mengingati masa lalu akan ditakdirkan mengulanginya.” |
|
|
|
|
|
|
|
it so strange that someone from my past - a civil engineer by profesion , a few years back had , or shall i say , had talked to me about sampoong and the faulty construct - something about the beam , supporting beam , and cutting the costs.
and then to my surprise, the writer also mentioned about sampoong
hahaha strangely interesting ... |
|
|
|
|
|
|
| |
|